Oleh: Stephen King
Terbitan: Heinemann
Tahun: 1977
Sinopsis:
Novel yang terus mengangkat nama Stephen King (yang juga memerangkapnya) sebagai penulis genre seram. Vampire datang ke sebuah pekan kecil di Utara Amerika, 'Salem's Lot di mana penduduknya mengenali antara satu sama lain, serta menyimpan rahsia dan mimpi hitam. Segalanya akan terbongkar apabila ada yang tiba-tiba hilang, sakit dan mati.
Rasa:
Novel King yang paling puas saya baca setakat ini, ya, sudah ada beberapa tetapi ini yang paling memuaskan, metaforanya jelas, senang dan menggigit, serta babak-babak seramnya benar-benar seram dan kini menjadi klasiknya yang tersendiri. Memanglah, jika dilihat dari tahun ia ditulis lalu diterbitkan, ianya sebuah karya kreatif "taking its craft really seriously" yang sezaman dengan era Peter Blatty menghasilkan The Exorcist. Maka percubaan King menyampaikan bagaimana sinikal manusia moden (waktu itu) terhadap hal-hal "tahyul" menarik (zaman ini di Malaysia pula, berlaku kebangkitan penulis kita menghasilkan karya menolak tahyul dan menerima rasional sains dan pembangunan moden sosial) dengan menyampaikan watak seorang cikgu dan watak utama, Ben Mears "mengkaji" hal vampire ini dengan metodologi sains (yang sebenarnya mengikuti gaya yang dilakukan oleh Bram Stoker dalam Dracula yang turut bersandarkan pengkajian sains melanggar hal ghaib, dengan watak penyiasatnya, Dr. Van Helsing). Lebih menarik dalam cara dan susunan King terhadap kisah-kisah manusia di pekan kecil ini, rahsia mereka, sakit mereka, dosa mereka, dibuka sedikit demi sedikit, sepertimana "mati"nya pekan kecil tersebut, sedikit demi sedikit. Metafora besar ini merupakan kritikan sosial King yang besar terhadap sikap "tidak apa" dan "buat-buat tak tahu" masyarakat pada masa itu (yang amat berkaitan dengan sikap sosio urban kita sekarang). Walaupun mungkin tidak kompleks, dan sememangnya lebih kelihatan tersusun jika dibandingkan dengan kisah penduduk "orang kecil" dalam It, setiap karikaturnya menjadi dan dirasai, seperti mana-mana watak dalam novel Charles Dickens. Ada beberapa babak seram masih diingati dan menyerap masuk dalam kulit. Saya masih tidak melupai kegerunan seorang watak menghantar keranda ke dalam rumah agam Marsten yang unsur ketakutannya amat dirasai. Juga babak Mark terikat dalam rumah sebelum Straker mendapatkannya untuk dijamu kepada si vampire Barlow. Buku ini sudah klasik buat saya, dan amat menghiburkan sebagai novel seram terulung 70-an.

