Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Saturday, April 28, 2012

Sayembara Fiksyen Sains UTM-Utusan Mesti Diteruskan

Di Malaysia, semua penganugerahan dibelakangi dengan dana. Institusi dan persatuan seperti DBP, ITBM, PBN, PENA, GAPENA dan kadang-kala badan pendidikan tinggi, UTM dan kemudian penerbitan swasta, Utusan, selalunya dibelakangi kesedaran Kementerian atau Bank mahupun korperat antarabangsa (ESSO) memenuhi tanggungjawab sosial dalam menambah nilai "kemanusiaan" dan "budi murni" sosio masyarakatnya dengan menyalurkan "bantuan kewangan" menjayakan sayembara.

Sayembara di Malaysia seperti suatu acara yang diangkat sebagai penanda aras sebenar suatu karya yang boleh ditahan uji sifat pengisian intelektual dan nilai murninya (nilai murni ini subjektif, mengikut pemahaman sang penganjur). Tetapi bagi manusia bernama penulis, selain berkobar-kobar menunggu teks mereka di"pendidikan" menjadi bahan buku sekolah, menunggu keuntungan laba "hadiah" sayembara (yang bagi saya, nilai wangnya terlalu kecil sebenarnya, tidak memadai, kadang-kadang, dengan tumpah darah kajian, pengalaman, dan kesakitan fizikal, mental dan rohani si penulis curahkan) yang sedikit banyak "menambah rezeki". Itu sahajalah "pulangan utama" dunia penulisan, khusus mereka yang bergelumang dalam dunia kesusasteraan tulen.

Di Malaysia, tidak adanya suatu penganugerahan yang "pukul rata", sepertimana kita dapat lihat wujud dalam Pullitzer, ataupun Whitebread, ataupun Hugo, ataupun Nobel (yang sudah tentu, punya agenda subjektif ahlinya masing-masing) yang boleh diperuji sebagai "menyeluruh". Ya, kita mendengar tentang Hadiah Perdana Sastera Malaysia, yang masih dipersoal cara pemilihan karyanya (sang penganjur menunggu karya untuk sampai ke riba, bukan melakukan usaha perolehan secara keseluruhan buat setiap penerbitan) baru-baru ini, kemudian "dengar tak dengar" kaedah pemilihan Anugerah Buku Negara (contoh memberi kemenangan Tokoh Buku Negara kepada beberapa nama pemimpin politik yang tidak pernah pun menghasilkan karya yang boleh diperuji kekuatan sarwanilainya ataupun kerelevannya, kecuali Tun Mahathir baru-baru ini). Kemudian, dunia "sastera yang luas" ini hanya tertakluk kepada dunia kesusasteraan secara umum, novel fiksyen spekulatif, bergenre, mahupun popular (yang diraikan Kedai Popular sekarang) amat jarang diraikan.

Ini mungkin juga boleh dipersoalkan dalam kegiatan usaha ampuh golongan genre itu untuk menghasilkan karya-karya yang banyak dan bermutu, sepertimana yang berlaku di Amerika/UK dengan pelbagai anugerah genre yang sudah sampai ke tahap "keduniaan" sepertimana Nebula, Hugo, Bram Stoker dan BFSA.

DBP, contohnya, hanya akan melakukan "sayembara" yang selalunya "sejarah" ataupun "fiksyen sains" mengikut musim-musim tertentu, atas "permintaan ramai" dan tiada usaha melakukannya secara berterusan setiap tahun. Alasannya mungkin, "ketiadaan sambutan". 

Sebenarnya, sudah wujud buku bergenre yang boleh dimuatkan dalam satu pakej pemilihan. Kini, banyak novel "fantasi" sedang berlambak diusahakan, mengikut tahun. Penerbitan buku saga Artakusiad terbaru Ahmad Patria Abdullah, contohnya, pada tahun ini, Cabaran Lodra, merupakan antara novel fantasi yang ditunggu-tunggu serta mewarnakan lagi kehebatan prestij alur dunia sastera fantasi Malaysia. Kalau dunia "jenayah-ngeri", mungkin susah sedikit, walaupun FiXi kini cuba melawan himpunan novel Alaf21 yang masih terikat dengan dua tiga nama penulis "jenayah" dan "ngeri" (kedua-dua genre ini sahaja pun berlainan dalam banyak unsur). Suatu lagi genre yang sedang mendadak naik adalah "seram", dan setakat ini, penulisannya boleh dikatakan sudah mahu bergerak ke tahap "sederhana tinggi".

Yang lebih penting daripada itu, adalah genre fiksyen sains. Genre ini, saban tahun mendapat sambutan baik, lebih-lebih lagi usaha penulisan. Jika diperhatikan, banyak penulis, walaupun mereka tidak di dalam "latar" penulisan ini, CUBA menulis dalam genre ini. Hal ini pun, sudah lama digerakkan, sejak era Othman Puteh lagi! Malah kebanyakan penerbitan swasta, selalu sahaja akan menerbitkan genre ini, walaupun mereka tahu mereka menghadapi risiko lambakan buku yang mungkin tidak terjual (sebenarnya boleh, pemerhati atau pembaca sebenarnya mahukan kelainan, dan tidak mahu satu penceritaan yang biasa dan klise, mahupun mereka tidak tahu kewujudan judul. Contohnya, novel Invasi Raja Faisal bawah terbitan FiXi mendapat sambutan hangat kerana kehebatan strategi promosi penerbitnya, jika dibandingkan dengan kehebatan Manuklon atau Hikayat Neogenesis terbitan DBP yang kita tidak dengar pun).

Saya amat menunggu, sebenarnya Malaysia mempunyai anugerah seumpama Nebula ataupun Hugo. Tetapi saya bersyukur, UTM-Utusan sekurang-kurangnya, memberi laluan sayembara (di Malaysia, sayembara adalah suatu usaha menambahkan judul buku kerana kononnya kita kekurangan pengeluar buku [sudah tiba masanya wujud agen penerbit yang betul-betul boleh menggerakkan pemasaran dan perolehan penerbit bagi penulis, bukan seperti nyawa-nyawa ikan satu dua agen yang kita tidak dengar proaktifnya, mungkin juga kerana kelemahan penerbit sendiri dalam berkerjasama dengan mereka], sekali gus penghargaan genre/karya, berbeza dengan penganugerahan yang wujud di Amerika yang mempunyai badan bebas yang memilih pelbagai buku dari penerbit berbeza tanpa perlu menghantar manuskrip baharu yang belum terbit) yang sudah dua tahun diusahakan (sebenarnya, mereka sudah bermula sejak kemenangan novel Wira Pesona Avatari, walaupun pembukaannya khusus kepada kategori remaja). Saya menyatakan dengan jujur, bukan semua judul yang diperolehi kemudian dinilai dan diperuji bagus dalam erti kata sarwanilai fiksyen sainsnya, tetapi ada beberapa yang sememangnya boleh diraikan sebagai suatu hasil karya tempatan yang boleh dibanggakan, sekurang-kurangnya dalam lingkar sempadan tempatan.

Jika sayembara "perolehan judul" seperti ini tidak diteruskan, habislah, usah bercakap fasal pengkayaan imaginasi dan usaha menangkap minat masyarakat terhadap pemikiran sofistikated dan kesivilan. Percayalah, perlu Kementerian sekurang-kurangnya, dengan usaha (melawan kekurangan perbelanjaan) Perpustakaan Negara Malaysia dan mungkin badan-badan tertentu untuk menyebar-luaskan buku-buku tersebut ke setiap ceruk perpustakaan sekolah, baik kebangsaan, SJK, mahupun "antarabangsa". Bayangkan, jika ada sahaja judul cereka fiksyen sains yang masuk ke meja editorial Dewan Kosmik saban bulan, bukankah itu petanda perekayasaan yang lebih baik terhadap fiksyen sains perlu dipertingkatkan?

Atas sebab itu, saya melihat, Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi UTM-Utusan, yang sudah masuk ke penggal kedua (dan masih menunggu yang ketiga) harus diraikan oleh mana-mana pembaca yang mahu mengenali dunia fiksyen sains tempatan. Sebenarnya publisitinya wujud (ada rakan-rakan pembaca fiksyen sains Inggeris yang selalu bertanya kepada saya, novel sai-fai Melayu apa yang terbaik pada tahun itu yang sempat saya baca), hanya perlu penyebarluasan yang lebih bersikap "kebangsaan". Bagaimana? Mahu tidak mahu, penyebaran publisitinya tidak haruslah terikat dengan akhbar "cenderung kerajaan" Utusan dan Berita Harian sahaja, perlulau ia disiarkan oleh akhbar Inggeris (yang tak habis-habis hanya menyiarkan dunia sastera luar yang entah puak elit mana sahaja yang membacanya), akhbar Mandarin dan akhbar Tamil, mahupun akhbar Nepal dan akhbar Bangladesh yangf mula wujud sekarang (jangan terkejut, ada juga yang membaca bahan tempatan berbahasa Melayu!). Itulah yang sebenarnya memungkinkan 1Malaysia yang meraikan kepelbagaian, mahu tidak mahu, jika acara pemberian paket beli buku, kedai rakyat, subsidi buat si miskin boleh disalurkan secara menyeluruh, bukankah apa-apa acara sastera (khusus seperti ini) yang dapat meningkatkan nilai pemikiran dan pengetahuan manusianya menangkap alam yang lebih sofistikated sepatutnya diraikan semua, tanpa batasan apa-apa lagi?

Monday, April 23, 2012

Rahsia Malam Merdeka



Tajuk: Rahsia Malam Merdeka
Oleh: Mohd. Saat Omar
Terbitan: DBP
Tahun: 2008

Sinopsis:
Seorang lelaki Melayu pertengahan usia, Rahim ingin membersihkan nama ayahnya yang dikatakan berjuang untuk komunis di tengah hutan. Dia dikenalkan kepada seorang wanita Cina, Swee Lan yang dikatakan "saudara kembar"nya. Suatu enigma berlaku, kekusutan dan konflik keluarga, rahsia-rahsia yang mohon disenyapkan, atas nama penjagaan martabat dan semangat wira dalam darah, keturunan Nadim yang melihat bagaimana tanah airnya jatuh dan akan bersiap sentiasa melawan penjajah. 

Rasa:
Antara novel tahun ini yang saya terpegun, ditulis seorang penulis muda. Satu yang menarik dilakukan oleh Saat Omar adalah penceritaan novel ini, bersangkut-paut dengan Liew, anak Siew Lan yang sedang "mendokumentari"kan kisah ibunya, dikatakan anak "komunis" tetapi bersikap cintakan negaranya. Ini suara "subversif" diam yang sungguh enak, bukan sahaja dari sisi bagaimana Saat "menampilkan rahsia watak-watak" tetapi naratif luas yang memohon "sejarah perlu dirakam semula jika tidak mahu ditulis semula" kerana "setiap cerita ada haknya yang tersendiri dalam sejarah", malah ada agenda Saat melunak dan memurnikan watak "hitam" novel ini dengan cara dan gaya humanis yang cukup dalam "menghukum" kesalahan lalu mereka, dan ini kelihatan humanis dan realis secara langsung.

Memang, novel ini tidaklah sempurna (jika dibandingkan dengan perkembangan plot novel ini yang begitu mengujakan), ada bahagian-bahagian "Nadim" yang saya lihat sudah mula menerobos ke alam "monolog panjang" walaupun pemberian maklumat itu perlu (seperti pendedahan biografi Perdana Menteri kita yang pertama, ah, ini satu persoalan menarik mengapa beliau dipilih dengan senjaga), serta gaya bahasa Saat yang terlalu mudah kadang-kadang (dan sebenarnya mampu diperkembangkan lagi untuk menyamai kuasa realis Salina jika dia mahu), serta penggunaan kata yang begitu biasa. Tetapi hal ini "lebur" bila saya membaca Bab 3 "Nadim" novel ini, membuka kisah Nadim pra kejatuhan Empayar Melaka. Di sini, bahasa "biasa" Saat diuji dengan naratif penceritaan yang begitu hidup, begitu bernyawa menyampaikan kisah seorang anak tidak bersalah memahami rasa "jantan", "kedewasaan" dan erti "bermusuh". Inilah "roh" novel ini yang mengikat serta setiap unsur itu dalam pemahaman "kedewasaan melihat kemerdekaan". Buat saya, Bab 3 itu sahaja merupakan penulisan prosa terbaik yang pernah saya baca dihasilkan oleh seorang penulis muda.

Sebuah novel yang sarat dengan kuasa drama kekeluargaan sebagai tanda mikro terhadap keragaman masyarakat Malaysia yang sepatutnya "matang" mendepani sejarah dan merdekanya, tanpa melupai hal-hal semalam. Setentunya sebuah novel mesti baca buat semua pembaca muda yang tidak pernah kenal dunia darurat Malaya dan semangat dan erti kemerdekaan negara.

The Autobiography of Malcolm X




Tajuk: The Autobiography of Malcolm X
Oleh: Malcolm X (dengan bantuan Alex Haley)
Terbitan: Penguin Books
Tahun: 1968

Sinopsis:
Buku autobiografi seorang "syuhada" kulit hitam, perwira bangsanya, bermula sebagai penjenayah, kemudian pencetus semangat perkauman di bawah sebuah persatuan sebalik "agama sebenar", mengembalikan kepentingan ras, dan akhirnya perwira yang mahu menyatukan kaum. Kisah perwira ini boleh dibaca sebagai pengkajian, dan turut menjadi bahan dokumentari sejarah pelopor pengubahan hak asasi paling menyakitkan dalam sejarah moden Amerika Syarikat.

Rasa:
Sudah banyak kali saya cuba menghadam penulisan autobiografi (atau biografi, ada yang menyatakan, Alex Haley, penulis bertarikh lahir sama dengan saya, yang merupakan "suara sebenar" sebalik buku ini) ini dari rak buku ayah saya. Selalunya, saya terhenti di prakata "amat panjang" pembantunya, Alex Haley (yang kemudiannya menulis novel sejarah terkenal dan kontroversial, Roots) yang mana saya tersesat (kerana tidak tahu latar belakang Malcolm X selain menonton filem Spike Lee) dalam penjelasan "mad scientist Prof Yaacub". 

Tahun ini, saya memberi diri saya peluang membaca "bab 1" buku ini. Suatu perjalanan pembacaan yang langsung tidak membuat saya membelek buku apa-apa lagi, dramanya, emosinya lunas dan menyakitkan, kajian sosiologinya mengujakan. Kisahnya jujur dan menyakitkan. Lebih hiba lagi, kita mendapat dengar "suara rintih" perwira buku ini yang merasakan "akan dibunuh". Bab terakhir buku menampilkan hal ini, yang mana dengan sengaja sewaktu Alex Haley "merakam" kata-kata Malcolm X di atas buku nota (dan rakaman pita), penulisan terakhir ini lebih berbentuk "pendedahan", malah "pengakuan diri" Malcolm terhadap kekesalannya, sebak jiwanya, harapannya, dan kecaman yang dia rasa terhadap "ancaman membunuh" sekumpulan manusia (dan masih tetap menyalahkan sistem kulit putih yang menyebabkannya). Kita tak mungkin "bersetuju" dengan Malcolm X, tetapi penulisannya tulus, terus menubuk ke jiwa, mahu tidak mahu, kita mendengarnya dengan kedua-dua tangan yang terbuka.

Buat saya, buku ini bukan sahaja penting dalam pemahaman "apa yang berlaku" sewaktu perjuangan orang kulit hitam untuk sama-sama berdiri tinggi dengan orang kulit putih Amerika kerana beratus tahun ditindas dan dicuci minda mereka, tetapi satu perjalanan rohaniah Malcolm, mengenal dirinya, yang membawa kepada mengenal Tuhannya, Allah! Mana-mana pembaca akan tersentuh dengan perjalanan Malcolm X yang luhur menjumpai Islam (yang asal, bukan seperti ajaran Elijah Muhammad) di Mekkah, jauh lebih terkesan oleh saya daripada pembacaan penulis kita yang menulis "pengalaman" mereka. Atas pandangan "orang luar"nya, yang baru memahami "keindahan" Islam itu, dapat dia merasai "kekuasaan Tuhan" dan keindahan agama, menyelubungi dia, keluarga, masyarakat dan dia sedari, dunia. Inilah yang ingin Malcolm "perjuangkan" pada saat-saat akhir beliau, yang sudah tentu, jika ia berjaya, mungkin Amerika Syarikat lebih berlipat ganda dalam pemahaman mereka berkenaan Islam pasca 11-9, malah mungkin berlaku gegaran amat dalam konflik Paletin-Israel (Malcolm meninggal sebelum peperangan 1967, Malcolm menyedari berkenaan "kekuasaan muslihat" Yahudi Amerika dan ini yang beliau ingin suarakan dengan jujur, tetapi Alex Haley, mengetahui kesannya, telah menurunkan sensitiviti atau mentiadakan sikap keterlaluan Malcolm menuduh Yahudi dalam buku ini, membuatkan buku ini menjadi buku paling laris dan diangkat di Amerika dan kemudiannya mana-mana sarjana kajian hak asasi manusia). 

Saya tertarik melihat dunia liberal Amerika yang boleh mencipta pelbagai agama baharu kerana ketiadaan "pengawal agama". Sepertimana Nation of Islam pembawaan "mengaku nabi" Elijah Muhammad (dan diteruskan sekarang dengan Farrakhan), yang jika ini berlaku di Malaysia, sudah tentu tersiat Elijah setaraf Ustaz Ashaari ataupun Ayah Pin. Malcolm tidak menyedari bahawa dia "berperang" dengan suatu "kerosakan aqidah" yang amat menakutkan, walaupun beridealogi mengangkat kaum kulit hitam supaya tidak tertunduk dengan warna kulitnya. Hal inilah yang sengaja (mungkin) tidak Malcolm sentuh, walaupun kita ketahui, dia menyedarinya, lebih-lebih lagi dengan perhubungan kuatnya berserta beberapa mufti Sunnah dan pegawai agama Arab Saudi.

Sebuah buku yang tulus, yang tidak menyimpan, menyampaikan keburukan diri sebagai penunjukan "taubat diri" yang sempurna, suatu yang perlu dalam buku autobiografi Barat, serta penelitian perjalanan rohani yang sempurna (sang pendosa menyedari kesalahan, lalu berubah), sepertimana kisah St. Augustine menyedari dosa-dosanya tanpa perlu merintih emosi. Suatu buku yang telah mengangkat Malcolm X di tempat yang sepatutnya, ikon suatu perjuangan, buku yang penting, dan masih penting buat sekarang.

Sunday, April 15, 2012

Anjing dan Khinzir

Tabu mempunyai isi.
Najis mengajar sesuatu.

Anjing. Pernah seorang guru sufi menyatakan, dengan seekor anjing, para muridnya boleh belajar adab dan tingkah sopan. Si anjing jika diperhati, yang tidak bertuan dan tinggal menyendiri. Berjalan berhati-hati, memandang kanan memandang kiri. Jika ada yang berjalan di depannya, ia berhenti. Jika dihalau, ia pergi. Tidak membuat bising seperti kucing, jika bertemu pasangan tidak merayu iseng. Mengikut kata bila diperintah, menunduk kepala menghormati tuan.

Khinzir. Jika terbaca kisah lama, ada diceritakan dari mana ia datang. Dikatakan tidak wujud sedari era Nabi Nuh. Si Iblis laknat mengikut sama di atas bahtera sejahtera. Mencari ruang siapa digoda. Tinggal terpesuk belakang burit si gajah. Si gajah sengaja disentuh, dibelai punggung, ditampar gegar. Keluarlah khinzir dari punggung gajah, bulat sepertinya, telinga kelawar, hanya hidung kontot ke tanah. Menyukai tanah, unsur manusia. Mencalit kotor di atas bahtera.

Friday, April 13, 2012

Unsur dalam Fiksyen Sains

Unsur dalam fiksyen sains amat penting. Ianya terbahagi kepada dua, sesuatu yang pejal, yang boleh dilihat, dipegang, kadang-kadang, di rasa atau dengar atau pelbagai interaksi secara inderawiah (dalam pelbagai bentuk, daripada berbentuk seni, sebesar saga, sehingga sebesar alam) lantas senang untuk dibuat ujikaji terhadapnya.

Ujikaji ini bukan sahaja bermakna pengujian yang terkawal, iaitu di dalam makmal, di mana satu-satu unsur atau bahan ditelaah di bawah suatu penelitian yang terukur dan mengikut pengkaedahan yang tertentu, tetapi ujikaji secara akliah, iaitu pengambilan pemahaman terhadap unsur itu dan apa ia lakukan, dan kemudiannya berlaku analisa dalam pemikiran dan pengeluaran hipotesis, ataupun suatu kesimpulan, ataupun pandangan, yang mungkin akan mengejutkan, mengujakan, menakutkan, ataupun menggembirakan, dan hal inilah yang selalu dibawa, diangkat dan diselami oleh pengarang fiksyen sains terbaik. Ini kerana hal-hal yang berlaku di sekitar (bersangkut-paut dengan unsur atau objek itu) yang kemudiannya dihadam oleh watak dalam fiksyen, yang kemudiannya menjadi suatu "pengalaman baharu". Dari pengalaman baharu inilah, timbulnya "ujikaji" iaitu menganalisa secara penelitian yang mungkin mengambil masa panjang, dengan emosi serta akli dalam "memahami" fenomena terhadap kewujudan objek atau unsur itu (baru muncul atau tiba-tiba muncul atau sudah sebati dalam budaya/kehidupan masyarakat).

Unsur pejal sebegini bolehlah mengambil contoh, kehadiran telefon bimbit berskrin (yang kini bukan lagi suatu cabaran dalam pembikinan) yang menyebabkan berlaku kerapatan atau kependekan masa interaksi atau penyampaian berita, atau kehilangan semangat perhubungan sosial secara fizikal (separanya sudah tentu, sepertimana munculnya Facebook dan pelbagai lagi budaya maya yang mula menerobos dunia kebiasaan komunikasi fizikal manusia). Apabila seorang penulis "menulis" cereka sains, haruslah difahami "kewujudan" alat sebegini di dalam dunianya, di mana logika merupakan matlamat dan sarwa yang paling penting untuk ditanggapi. Maka berlakulah hal-hal seperti "gangguan bising" dan "daya gelombang lemah" yang disatupadukan dalam cerita, memberi kisah itu sedikit "dramatis". Rujuk bagaimana alam Star Trek berkali-kali bermain dengan unsur ini untuk kesan plot dan emosi. Di sinilah juga, seperti Nisah Haron pernah menyatakan bagaimana "sembarani"(?) suatu kenderaan ataupun haiwan yang memandu watak dalam Sulalatus al-Salatin merupakan unsur "fiksyen sains".

Unsur kedua, sesuatu yang abstrak, ataupun sesuatu yang tidak boleh dilihat sebagai objek. Secara ringkas, "ide". JG Ballard memanggilnya "ruang dalaman" (inner space) yang banyak berkait dengan pemahaman psikologi dan persepsi pengalaman, Phillip K. Dick pula mengungguli persepsi kemanusiaan yang mana "ide", atau suatu fenomena (yang tidak boleh dipegang) atau suatu rangkaian kejadian memberi sudut pandangan kemanusiaan. Inilah unsur yang paling susah untuk dikecapi dalam penulisan fiksyen sains, dan jika ianya boleh dikuasai, seorang penulis fiksyen sains itu amat diraikan. Inilah juga mengapa cendekiawan cereka sains memperlihatkan bagaimana Utopia karya falsafah Thomas Moore itu diperihalkan sebagai fiksyen sains, oleh sebab kewujudan (yang tiada pun hal atau teknologi terkini) suatu "sistem pentadbiran" yang amat "di luar tanggapan biasa manusia" boleh dimanfaatkan/digambarkan dengan jaya (sekurang-kurangnya dalam karya tersebut). Inilah unsur yang ramai pengarang cuba lakukan, tetapi gagal. Ini juga berkait besar dengan gagasan fiksyen sains, iaitu suatu cakupan pemahaman "perubahan" yang besar merangkumi "dunia" cereka tersebut. Jika pengarang memahami unsur ini dan menggunapakai sebaiknya, karyanya mencapai suatu wacana yang akan terus diperbincangkan.

Saya tidak menyukai karya Faisal Tehrani Kombat: 1511 atas beberapa sebab. Tetapi apabila diselidik balik, novel itu mempunyai unsur idea fiksyen sains (yang tidak pejal) yang ampuh. Fenomenanya senang, generasi muda (Islam) menyatukan diri mereka dengan tasawuf. Hal ini pun bukanlah satu "kejutan" kerana wujud dari dulu hingga sekarang suatu pemahaman "kesan Mahdi" yang menyelusuri unsur-unsur yang begitu disampaikan dalam novel tersebut (yang juga wujud unsur pegangan ekstrem dengan kafir-mengkafir). Unsur "mahdi" di sini diambil sebahagian dalam pemahaman konteks besar novel ini, disulami dengan pemahaman "pemuda dari Timur dengan cogan hitam" yang kini amat popular dalam kalangan pencari salasilah Melayu. Apa yang lebih penting, teknologi dan aqidah tinggal sebelah-menyebelah tanpa rasa janggal atau kelihatan "meodenisasi", seakan suatu kesebatian kehidupan "utopia" sudah berjaya terwujud, dipergunakan dan diraikan dalam pertembungan agama-modenisasi. Hal inilah yang dicemburui pihak Barat (Dajal) dalam novel ini, yang memperlihatkan agama dan modenisasi tidak boleh dicampur-adukkan. Inilah ide dalam novel tersebut, yang mana digunapakai oleh golongan muda yang "bawah tanah" tetapi disokong oleh kerajaan-kerajaan Islam lain. Sekurang-kurangnya Faisal dari awal berpegang teguh dengan ide ini (yang takjub terhadap fenomena ini ialah kalangan Barat, antogonis dalam novel ini).

Rahmat Haroun dalam Manuklon lebih mencapai sasaran ini apabila menampilkan dalam dunia amat pascaapokalips, manusia bercampur klon dan android sudah hancur sifat moral dan moraliti. Manusia "tulen", oleh sebab ini (dalam novel ini ditampilkan bersemangat patriotik, sepertimana Robert A. Heinlein) memerangi golongan manklon tersebut. Tetapi hal ini pun tidak diberikan justifikasi senang "baik lawan jahat" seperti novel Faisal di atas, novel ini memunculkan pula "satu sistem" di atas pemberontakan manusia serta pentadbiran elit manuklon, yang juga merupakan satu jenis entiti "siber" yang merancang kejayaan manusia(!) Ini sebuah novel yang sememangnya mengejutkan, dan sepatutnya terus diperbincangkan. Sememangnya sebuah adikarya fiksyen sains kita yang pertama.

Wednesday, April 11, 2012

Sastera Urban: Metalatar Perbandaran

Sastera Urban amat senang difahami.

Apa-apa cerita, nafas dan perlakuan satu-satu watak di tengah-tengah kota, yang pancakemodenan di Tokyo, tersimpan dalam apartment di tengah hiruk Bangkok, atau kelam di kota hendak mati di Venice, adalah sastera urban. Titik.

Nafas yang dihirup mestilah kota. Itu yang pertama. Bayang, watak-watak yang terperangkap, dalam rasional dan kesahsian murni mereka di tengah-tengah kejahatan kota di Bukit Bintang dalam Dan Malam, Apabila ia Berlalu, itu sastera urban. Suara Zhafir yang bercerita gelendengan dan anak-anak duduk melepak di tepi laluan kompleks beli-belah, tanpa apa-apa nilai, tujuan atau kemahuan, itu sastera urban. Ridhwan Saidi yang bercerita akan gerak dan bising manusia dan kota, dengan jalan-jalannya, dengan makan-makanannya, dengan rokok dan pelacurnya, dalam Amerika, itu sastera urban.


Malah Oghe Kota Bharu karya Allahyarham S. Othman Kelantan yang lebih banyak menukilkan suatu suara dan mata pusat pentadbiran Kelantan pada era sebelum merdeka itu tetap sastera urban. Watak-wataknya bermain, berperang, belajar dan mengajar di tengah, sisi, dalam rumah bandar itu. Urban di sini bermaksud bandar, dan bandar ada pelbagai, mengikut latar zamannya, menampilkan strata sosialnya yang berlainan, maka ia tetap sesuatu yang berbeza dengan nyaman, hijau dan sawah, atau dusun, atau bukit gunung-ganang di desa. Ah, sastera desa pula mempunyai konotasi yang berlainan. Kita punya pelbagai sastera desa yang sudah mencapai tahap "klasik". Kini, masanya, kita meneliti sastera urban yang boleh dijulang sebagai "satu-satunya yang merangkumi semangat kota". Inilah yang saya jumpa dalam Amerika Ridhwan Saidi.

Operasi Nasi Kerabu



Tajuk: Operation Nasi Kerabu: Finding Patani in an Islamic Insurgency
Oleh: Zan Azlee
Terbitan: Zi Publications
Tahun: 2011

Sinopsis:
Buku ini mendokumentari perjalanan kewartawanan Zan Azlee ke Selatan Thailand, atau lebih dikenali sebagai Patani pada hujung pergolakan yang menggoncang wilayah penududuk paling ramai Islam itu.

Rasa:
Pertamanya, buku ini sesuai dijadikan bahan 101 buat sesiapa yang ingin mengetahui pergolakan yang berlaku di Patani secara rambang atau umum, yang mana buku berharga RM25 ini amat berbaloi kerana disertakan dengan DVD yang ditangkap oleh Zan Azlee sebagai dokumentari "yang tidak dapat disiarkan" Kerajaan.

Ini bukan penggayaan kewartawanan yang mendalam, atau dengan penggunaan suara puitis (sepertimana banyak wartawan Peranchis lakukan sewaktu menulis pergolakan wilayah Kemboja oleh Khmer Rouge), teks Zan Azlee jujur malah kadang-kadang terlalu terus dan naif, walaupun Zan secara dasar seorang yang positif dan ceria, dia memerlukan kekuatan dalam mendalami keseriusan subjek, walaupun hal ini bukan kemestian.

Apa yang lebih baik daripada itu adalah suara kritikal Zan, bila diperlukan, mempersoal dan meneliti suatu-suatu hal dengan pengkaitan yang mengikat, khusus dalam perbandingan perspektif dan pengalamannya di Malaysia dan antarabangsa terhadap sifat dan latar Patani yang dia depani. Sikap jujur Zan ini menarik sehingga memperlihatkan juga kelemahan insaniahnya (dia baru menyedari dia sendiri tidak kuat berbahasa Melayu serta bagaimana dia asalnya tidak menyukai nasi kerabu, atau nasi kerabu "celup" masakan Kuala Lumpur) yang menjadi hal yang mendepani realiti-realiti Patani, yang kelihatan mencuitkan tetapi amat serius dan menangkap.

Banyak hal ironi yang dinyatakan juga sungguh berkesan. Ini ditulis sewaktu ISA masih lagi berkuasa (dan hal ini menguatkan justifikasi penulisan itu), lebih-lebih lagi berkenaan kebebasan media tempatan dibandingkan dengan media Thailand. Persepsi dan pertembungan inilah yang meletakkan pelbagai nilai yang boleh diselidiki dan dijadikan perbandingan untuk memahami lagi sifat "diam tetapi mendebarkan" yang berlaku di wilayah "ramai Melayu" itu. Sesungguhnya, sifat dan sikap menyakitkan berkenaan bahasa, hal harian dan kikisan budaya menjadi sesuatu yang dititikberatkan, walaupun tidak dinyatakan secara mendalam (serta masih tidak padat).

Suatu buku asas berkenaan Selatan Thailand dan segala kesusahannya yang berbaloi dan ringkas.

Sunday, April 8, 2012

Zombijaya



Tajuk: Zombijaya
Oleh: Adib Zaini (cerita asal oleh MJ Woo)
Terbitan: FIXI
Tahun: 2011

Sinopsis:
Tahun baharu tiba. Aliff mengajak Sofia kahwin, Ana bakal jadi cikgu sekolah rendah, Kamarul akan bertanding program realiti TV, dan Nipis merempit dalam dunianya sendiri. Tiba-tiba anjing menggigit, virus merebak, mata putih. Kawan jadi lawan. Lembah Klang bukan Lembah Klang yang lama.

Rasa:
Inilah julung-julung kalinya sebuah novel seram (komedi/satira) pop Melayu yang berbicara berkenaan zombi (erm, saya tak tahu jika ini benar, mengikut kepada ciptaan "mayat bangkit" yang saya sengajakan dalam novel sulung saya, JIAN), yang buat mana-mana peminat Romero akan menjerit suka. Ya, pengeluarannya sahaja sudah cukup untuk membeli novel ini.

Dari segi penceritaan dan struktur, saya begitu "terpesona", gayanya cepat dan menyakitkan, sepertimana filem-filem zombi (dan Alhamdulillah, Adib mengikut semangat zombi Romero, dan bukan pascamoden pembawaan Danny Boyle dan Alex Garland) yang pernah dibikin. Paling utamanya adalah pembauran rasa fatalistik dan kegelapan di akhir cerita yang mana merupakan suatu kemestian mengikut gagasan apokalips yang dibawa novel ini (malah saya bersyukur ia tidak terbabak ke pengakhiran Zombieland ataupun Shawn of the Dead).

Kekuatan novel ini sudah tentu watak Nipis yang dipaparkan, penuh dengan kelincahan luar kawalan yang kita lihat "wujud" dalam watak pemuda sebegini (orang panggil kutu) dalam persada tempatan, dan kelazimannya (sebagai "loser") diraikan dalam novel ini, serta mempunyai perwatakan yang cuba "diselami" dengan mendalam. Ini penceritaan anak-anak muda yang sesat dalam kota yang mereka ingat mereka kenal, memeranjatkan mereka apabila hal ini berlaku. Pembayangan Adib baik dalam memaparkan bagaimana manusia kota Malaysia "tidak faham" bila hal ini berlaku (ada dinyatakan, ada yang tidak peduli pun bila seseorang di gigit di sebuah restoran mamak) dan bagaiaman "berita merebak" ini dijangkakan sebagai "khabar angin", ini menyatakan hal yang politikal berkenaan semasa dunia kita, dan bagaimana "media alternatif" itu penting. Hanya saya mahu melihat Adib "cuba" lagi menyelami hal itu (dengan menyatakan seorang yang bermain blog dan menceritakan peristiwa yang berlaku) dan tidak hanya memaparkan babak-babak atas permukaan sebagai persembahan kreatif. Kekuatan juga wujud dalam ilustrasi indah Ho Sui-Jon yang memaparkan keMalaysiaan zombi dan kegelapan dunianya, tanpa terlalu menakutkan, komikal yang cukup sesuai dengan pendekatan humor penulisnya.

Dari segi itu, untuk menyatakan novel ini "baik" hal itu punya sedikit masalah. Jika dibandingkan dengan novel "sarwaluas" cakupan dunianya, World War Z karya Mac Brooks (yang sememangnya adikarya genre zombi), kupasan mikro novel Adib ini amat susah hendak dinyatakan sebagai "klasik" kerana tiada percubaan Adib untuk pergi jauh, melihat falsafah atau kesakitan sebenar dunia zombi (walaupun ada percubaan di akhir cerita) dan pascamanusianya. Hanya satu tempok yang amat mencuit dan saya rasakan Adib "berjaya" juga apabila Adib bertanya (hlm. 181) "Adakah matlamat 1Malaysia hanya akan tercapai apabila seluruh negara menjadi zombi?" Hla ini benar-benar mengikat kekuatan novel ini sebagai "sindiran" yang amat setaraf kritikan sosial Romero terhadap latar sosialnya, dan di sini Adib hentam cukup-cukup, walaupun sebaris ayat (rujuk: bahasanya satu - dengung lapar, matlamatnya satu - makan daging, kebersamaannya satu - tidak memakan antara satu sama lain apabila sudah jadi zombi).

Masalah novel ini adalah bahasanya, gaya serta nahunya. Ada yang akan menyatakan hal ini "tak peduli" kerana ini fiksyen picisan (pulp fiction- terjemahan tepat Uthaya Sankar), tetapi saya tidak setuju, melihat kepada jenis fiksyen pulpa yang ada di Amerika yang mempunyai penggayaan yang "melanggar" dunia kebiasaan sastera waktu itu, bukan menunjukkan kelemahannya.

Masalah novel ini, ia terlalu deskriptif, menerangkan yang perlu diterang. Tulisannya lemah dan longlai. Nahu buruk ini boleh dirujuk pada hlm. 101, "Muka kesemuanya adalah campuran bosan dan marah."

Petikan ini memaparkan satu gaya yang mana Adib tidak punya kuasa "menguja" pembaca dengan keterangan aktif, untuk "sama-sama" merasai aksi (sebab semuanya diterangkan dengan terlalu mudah):

"Dua buah beg lagi turut keluar sebelum dituruti seorang zombi. Zombi tersebut terus menyerang wanita yang masih lagi memeriksa bagasinya." (hlm. 101)

Saya menjerit marah dengan perenggan ini, ayat yang menerangkan, seperti sinopsis, tanpa satu cubaan pun untuk memaparkan "aksi" dengan gaya ayat aktif. Sekurang-kurangnya Adib boleh menyusun ayat keterangan itu supaya wujud intrig, contohnya: "Dua buah beg turut keluar. Si wanita masih lagi memeriksa bagasinya. Dua beg yang keluar tadi dituruti seorang zombi, terus menyerang wanita itu."

Di hlm. 187 sebuah contoh yang membuat saya begitu bingit:
"Azman menggunakan jari telunjuk dan jari hantunya, menuding matanya sendiri, kemudian menuding ke arah mata Nipis, seolah-olah mengatakan aku memerhatikan kau."

Ayat ini contoh "stating the obvious" dan ini sesuatu yang amat dilarang dalam penulisan prosa.

Jika emosi, semangat tragik, dan kuasa dramatik tidak dapat dikuasai Adib, sekurang-kurangnya Adib seorang yang "pelawak" dan ini dapat disaksikan dengan leluasanya terisi dalam setiap bab novel ini, khusus pada bahagian hadapan dan terkemudian. Kuasa sarkastik watak-watak Adib membuatkan watak-wataknya sekurang-kurangnya hidup, dalam mendepani akhir zaman yang memakan diri mereka, sedikit demi sedikit.

Novel ini masih "mesti baca" buat peminat novel bergenre sebegini, sesuatu yang segar dan lari daripada mistik dan hantu, tetapi masih memerlukan pelancaran persembahan teks yang mantap dan dramatik untuk membawa maksud cerita yang sudah cukup dengan kritikan sosialnya.

Ulasan KO KB KU KL

Alhamdulillah:

"Fadli al-Akiti membawa pandangan aku tentang Kota Bharu yang sedikit berbeza selepas membaca (KO KB KU KL). Selepas ini kalau ke KB, aku mahu perhatikan keindahan yang dinyatakan."
-Zara

Boleh baca di: http://shafaza-zara.blogspot.com/2012/04/ulasan-ko-kb-ku-kl-fadli-al-akiti.html

"Novelet ini memberikan imbasan sepintas lalu terhadap persoalan agama dan permasalahan sosial dari kaca mata sastera tanpa terburu-buru menjatuhkan hukuman."
-Sastera, Berita Harian

Thursday, April 5, 2012

Ulasan Ini Buat Shafaza Zara Syed Yusof

Selepas Nabila, Shafaza atau lebih senang saya panggil Zara memohon saya mengulas cerpennya. Apalah yang ada dengan saya mahu mengulas cerpen-cerpen mereka yang begitu seronok sekali dibaca?

Seperti cerpen "Barista Cinta" (BC) dalam Antologi Kopi, Zara ini seorang penulis menarik. BC bagi saya merupakan analogi komplikasi kehidupan. Awal-awal lagi hal ini diterakan dengan pemahaman, "rasa" kopi itu kepada seseorang dan "nilai" terhadapnya, dan ia tidak berhenti di situ sahaja, nilai itu kemudian diperlihatkan dalam bentuk perhubungan manusia, dan ini yang menarik.

Saya merasakan, kebanyakan cerpen dalam antologi ini pun menampilkan perhubungan sesama manusia, dan ini logik untuk meletakkan "kopi" sebagai subjek di antara. BC mempunyai cakupan menarik ini dengan pendedahan yang sedikit "kotemporari sosial".

"Kotemporari sosial" ini berkaitan pula dengan seks, agama dan politik (walaupun tidak disentuh secara sedar, mempunyai konotasi prasedar) dan bagaimana subjek seperti "kopi" yang memberi "nilai" terhadap hidup dan kedalaman tindakan, psikologi dan motivasi satu-satu individu itu. Ini dilakukan mikro terhadap beberapa watak yang dinyatakan dalam cerpen Zara, paling tampak, watak "Imam Affan" yang dikaitkan dengan kopi-seks. Hal seksual ini amat mencuit dan menampar, langsung tidak akan pernah boleh terlihat disiar dalam mana-mana media perdana, tetapi amat berkesan sebagai pemahaman konteks penggunaan media dan "penjualan diri" para politikus sekarang kepadanya. Kesimpulan: hipokrisi. Sinikal ini yang dimainkan.

Saya menyenangi suara dan nahu Zara. Ayatnya pendek-pendek dan berkesan, tidak perlu banyak berbicara atau menerangkan, cukup menyatakan aksi, melakukan dialog dan yang lain yang menyelubungi imaginasi, walaupun kekuatan imaginasi "lucah" (baca: bukan erotis, tetapi LUCAH) Zara boleh tahan, mengejutkan ia datang daripada seorang wanita, dara pula tu. Zaman sudah berubah. Saya perlu akur itu.

Gagasan dalam Karya Fiksyen Sains Penting

Fiksyen sains bukan sahaja berkenaan piring terbang, robot bergerak dan dunia serba maju.

Fiksyen sains sepatutnya berkenaan gagasan, gagasan baharu. Gagasan unik. Gagasan yang mengganggu/menguja.

Saya baru beli Invasi tulisan Raja Faisal. Saya belum sempat membacanya, sedang menggulatiZombijaya, The Autobiography of Malcolm X, novel terbaharu Anwar Ridhwan, Mautopia, Choker Bali, Rahsia Malam Merdeka dan Rimba Harapan.

Saya "teringin" membaca Invasi kerana saya penggemar fiksyen sains. Baru-baru ini saya membaca cerpen fiksyen sains, tulisan Ummi Ammar(?) (teringat Saga Horizon!) dalam majalah yang satu-satunya mengangkat cereka fiksyen sains (dahulu ada Karya), Dewan Kosmik. Saya agak tersinggung dengan cerpen itu, kisah "sosial" atau "moral" seekor ikan yang terjebak "dalam landasan yang salah". Premis mungkin "menarik sedikit", berkenaan bagaimana ikan-ikan (jenis Arowana) ini dipupuk dalam suatu institusi "pembiakan" secara saintifik kerana kepupusannya. Satiranya sejalur, tidak pun mencapai sinis Tikus Rahmat ataupun Perlumbaan Kedua. Seharusnya penulis lebih menyelami dunia komunikasi dan sains pembiakan tersebut, dan apa yang menarik berkenaannya. Ini tidak, ikan dalam cereka ini seperti "manusia" malah "dimanusiakan", saya ingin benar merasai "keikanan" atau bagaimanalah ikan berkomunikasi secara benar dalam erti kata sains. Finding Nemo mungkin lebih berjaya dari segi itu daripada cereka ini.

Saya tidak pula menyatakan fiksyen sains (FS) perlu ada satu matlamat sahaja. Saya setuju dengan Margaret Atwood, yang mana melihat dalam dunia pascamoden ini, seharusnya karya FS tidak lagi tertakluk "sains" tetapi "fiksyen spekulatif" yang membuka rangka dan cerapan tema yang lebih luas untuk penulis "berimaginasi". Tetapi jika dirujuk pun karyanya, ia tetap mempunyai semangat FS itu: yang penting bermain dengan satu gagasan, dan itulah yang dilakukan.

Gagasan ini tidak susah. Saya pernah membaca sebuah buku kajian yang menggunakan konsep "novum". Cristopher Priest dalam buku 100 Must Read Science Fiction Novels pula menyatakan konsep "anjakan paradigma" itulah FS. Anjakan yang dimaksudkan ini adalah "gerakan" atau "perubahan". Paradigma boleh sahaja suatu perspektif atau pemikiran. Di sini, suatu "perubahan pemikiran" berlaku. Di sini, ada pelbagai jenis "perubahan" boleh diperlihatkan, sama ada dari segi alamiah (contohnya, Malaysia tiba-tiba diselaputi salji sepanjang tahun dengan konsep sains yang dipercayai [plausible explaination]), boleh juga dengan perbuatan tangan manusia (Frankenstein mencipta mayat hidup, hal berkenaan teknologi dalam FS banyak terangkum di sini), boleh juga suatu yang tidak disangka, dari luar yang menganggu kesemulajadian kita (kedatangan makhluk asing). Hal ini tidak sahaja "mengubah" ketakjuban pembaca/manusia dalam cerita, tetapi membentuk satu "budaya" baharu (kadang-kadang, agama baharu, tetapi hal ini lebih sesuai dalam novel barat) dan "cara pemikiran" baharu, inilah yang ingin cuba dicapai atau dimaksudkan dalam satu-satu penceritaan FS yang sebenar.

Saya mengharapkan Invasi oleh Raja Faisal mempunyai sekurang-kurangnya kekuatan ini.