Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Sunday, February 19, 2012

Ke Arah Masyarakat Berbudaya?

Saya amat pesimis terhadap masyarakat saya sekarang.

Tadi pagi, sewaktu menaiki monorel, di sebelah kanan saya seorang Bangladesh berbau (maaflah perkauman tetapi begitulah mereka, adakah mereka tidak mahu berbau elok pada waktu-waktu pagi?) dan sebelah kiri seorang lelaki sepet berbau arak di mulutnya (mungkin orang Vietnam, atau Myanmar, atau Nepal). Saya berdiri. kelihatan seorang buta memegang tiang tidak mahu jatuh, dekat dengannya seorang lelaki Melayu, Indonesia mungkin, duduk melihat dengan risau tetapi tidak berbuat apa-apa, sedang gadis Cina bertutur Mandarin berceloteh dengan kawan-kawannya di kerusi kuning tidak mengendahkan si buta.

Saya teringat beberapa hari sebelum itu, di sebuah kedai buku di Ipoh. Saya pergi membeli beberapa buku rujukan. Saya melihat ghairah dan bersemangatnya orang-orang berpusu masuk ke kedai, membeli. Di tangan mereka rupa-rupanya baucer buku diberi Kerajaan. Saya memerhati apa yang mereka beli. Fail, kertas warna, alatan tulis, pembalut. Ada seorang pelanggan, melampirkan berpuluh kertas warna yang dipilihnya secara teliti sambil menampilkan baucer buku kepada penjual. Saya terkesima.

Baucer pemberian Kerajaan hanya digunakan membeli kertas-kertas pelbagai warna.

Tidak mungkin saya menuduh semuanya begitu (yang saya tahu kebanyakannya akan digunakan untuk membeli novel popular, tetapi itulah, ini dunia kapitalisme, kita bukan sosialis atau autokratis), tetapi kertas warna? Bagi saya sudah cukup melampau, seakan-akan tanpa baucer pemberian Kerajaan itu, tidak akan adalah kertas-kertas warna di rumah.

Saya mengingat lagi zaman kanak-kanak saya yang mana betapa saya suka membuang masa di Galeri Buku DBP di Pusat Bandar Damansara. Era itu pun saya kira tak ramai yang seulat buku seperti saya, spesies seperti saya dipanggil "nerd" zaman itu (dan sekarang pun, dan ini datang dari kalangan pelajar sebaya). Selain daripada suka sangat membelek buku (dan tidak banyak faham pun makna dan ejaan kandungan buku-buku tersebut), saya memerhati telatah orang ramai yang memasuki kedai buku itu. Kebanyakannya (kerana mungkin imigresen terlalu dekat) akan bertanya, "Sini ada mesin fotokopi?" Sudah tentu penjual yang menjawab, "Tak ada." Kemudian, mereka akan selalu menjawab, "Kedai buku mesti ada fotokopi, apalah?!"

Kedai buku yang berlambak hasil keturunan India telah menyebabkan suatu budaya ini muncul: kedai buku mesti ada mesin fotokopi.

Itulah pengertian kedai buku pada zaman itu.

Pada akhir hujung 90-an, kedai buku yang aku selalu lawat itu terpaksa ditutup (atas kuasa orang atasan yang melihatkan menjual buku Melayu tak laku, mungkin, zaman itu ... ah lihatlah strategik Pn. Ainon sekarang!), aku rasa sedih. Semua buku dimasukkan dalam kotak-kotak berlambang daun lontar. Yang tinggal hanya kertas yang dilekat di tepi tingkap lutsinar kedai: "Di sini tidak ada khidmat fotokopi."

Berakhirlah suatu era.

Dan aku percaya, walaupun kedai buku menjual buku-buku Melayu itu masih berdiri di Pusat Bandar Damansara kini, akan masih ada orang yang masuk menjenguk, bertanya, "Sini ada fotokopi?"

Wednesday, February 15, 2012

Manifestasi Postmortal: Menyelongkar Rahsia Blok 1



Tajuk: Manifestasi Postmortal: Menyelongkar Rahsia Blok 1
Oleh: Mohammad Hafiz
Terbitan: Produksi Nur Johan
Tahun: 2011

Sinopsis:
Imtiyaz belajar di sekolah kampung atuk dan neneknya di Perak, bertemu dengan sahabat sejati, Ainul Hikmah yang pelik dan selalu diganggu oleh beberapa pembuli di sekolah. Tiba-tiba Imtiyaz menemui beberapa hal yang pelik, yang turut berkait dengan kuasa istimewa Ainul Hikmah. Mereka membuka rahsia sebuah blok sekolah yang tidak dapat digunakan lagi.

Rasa:
Ulasan ini akan saya buat dengan pendek, memandangkan pembacaan novel remaja ini tidaklah mengambil masa yang berat dalam lama (seperti novel dewasa) malah temanya senang.

Saya sendiri sudah menasihatkan apa yang saya perlu nasihatkan kepada penulisnya, seorang anak muda yang berbakat. Saya memberi pandangan, bahawa penulisan ini lebih bersifat amatur, dan sememangnya pun pada mana-mana novel pertama (debut) seorang penulis muda. Hanya, kekuatan bermain dengan genre dan mengetahui selok-belok dan kuasanya perlulah dicapai dan digarap penulis, agar logik dan wacana kisahnya lebih sebu.

Saya membuat perbandingan ini dengan Nazri M. Annuar, seorang penulis muda (yang kini menulis skrip filem dan televisyen) yang amat-amat memahami dunia penulisan sebegini dalam novel Aliya Eliyananya. Genre novel ini (kedua-duanya) berkaitan dengan hal separa fiksyen sains separa fantasi (sai-fai) dalam pengkuasaan deria keenam. Genre penyiasatan turut termasuk, dalam tradisi Hardy Boys dan Nancy Drew kesukaan remaja. Apa yang meletakkan kedua-dua novel ini berjauhan adalah pengkisahan atau pembinaan plot, di mana Nazri, yang kita sedia tahu pakar dalam memutar-belit plot melancarkan ceritanya dengan babak-babak episodik yang mendebarkan. Hal ini tidak berapa nampak dalam novel ini walaupun mencuba kerana banyak plot lubang dan kejutan-kejutan yang boleh disangka. Inilah sebenarnya genre yang paling susah jika seorang penulis tidak tahu bermain dengan struktur plot, mencipta jangkaan luar batas, mengejutkan pembaca, maka plot yang kita akan temui klise dan sudah dapat dijangka.

Satu lagi adalah undang-undang atau kanun perwatakan atau kanun kuasa yang dijelmakan. Ini amat-amat penting dalam mana-mana novel sai-fai. Jika sejenis roh/spektra sudah boleh berkomunikasi (bercakap dengan monolog panjang, menunjukkan diri), bukankah pelik jika ia tidak terus menunjukkan di mana tempat dia dikuburkan? Hafiz haruslah memahami dengan jelas, apa yang boleh/tidak boleh dibuat jika satu-satu unsur diambil. Ini yang boleh mengeluarkan "kejutan". Filem-filem "hantu" barat sudah banyak menampilkan kepandaian ini, di mana "hantu" itu hanya menunjukkan diri, tidak bercakap, atau hantu itu tidak sedar mereka hantu, atau hantu itu hanya boleh berkomunikasi dengan mencampak barang sepertimana kajian poltergeist. Inilah yang perlu diselami oleh Hafiz dalam menguatkan struktur plot dan pembinaannya kepada sesuatu yang lebih ampuh.

Tetapi saya perlu juga puji Hafiz kerana dia dapat menggambarkan serta mencirikan hal-hal psikologi watak dan perwatakan dengan baik, bermotivasi dan "hidup", tidaklah satu watak sehala yang selapis tipikal dalam novel-novel sebegini. Hal ini amat dialukan dan merupakan kekuatan sebenar Hafiz.

Akhir kata, Hafiz juga perlu melihat judulnya. Judul yang panjang selalunya "susah nak jual" kecuali ia "menarik" (cth. Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur, Merunut Akar Meraih Bumi). Hal ini perlulah diwaspada oleh Hafiz yang sesungguhnya amat berbakat sebagai novelis.

Tunas Cipta Februari 2012



Ehem, ya, saya ada menulis di dalam TC Februari berkenaan media sosial. Ada tentang Fixi, Geng Kaki Tulis, Karmawizra, Sastera Melayu, Sindiket Sol-Jah, Pipiyapong, MPR & Rakan, PenulisMalaysia, Penulisan2u, BACA@LRT dan beberapa penulis. Sila-silalah rujuk.