Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Thursday, December 29, 2011

Sebongkah Batu Di Kuala Berang


Tajuk: Sebongkah Batu Di Kuala Berang
Oleh: Faisal Tehrani
Terbitan: PTS
Tahun: 2011

Sinopsis:
Akedemi Seni Islam mahu membikin dokumentari drama kedatangan Islam di Tanah Melayu. Pendebatan cerdik pandai pun bermula, berlumba-lumba memenangkan mazhab, kumpulan dan pemikiran yang mana dahulu meletakkan kalimah atas lidah bangsa Melayu. Selain itu, seorang pelakon wanita muda Sharifah Ezzati yang terkongkong dalam dunia keduniaan artisnya, dibawa masuk untuk berlakon di dalam projek sulung akademi itu, membuatnya mendepani realiti Islam dan keajaiban yang mula menggoncang jiwanya.

Rasa:
Saya membeli novel ini kerana mendapat berita pengharaman novel ini oleh JAKIM (kedengaran keputusan sudah menarik balik). Mungkin inilah tujuan saya menulis ulasan ini pun, mencari jika isi kandungan tulisan Faisal kali ini benar-benar kontroversi melanggar aqidah.

Buat saya tidak. Apa yang dibawa oleh Faisal hanyalah memaklumkan pengikut "Jafari" berkemungkinan menjadi peneraju pembawa Islam pertama ke tanah Jawi. Hal ini adalah polemik lama yang sudah bertahun-tahun diperdebatkan dalam kalangan cendiakawan sejarah, mengagak jika Sunni atau Syiah yang memperkenalkan agama suci ini di sini. Buat seorang seperti saya yang mengikuti perbincangan ini, hal ini tidak ada apa yang perlu ditakuti (atau tiba-tiba menganut agama sesat, yang mana menjadi paranoid masyarakat kita sekarang yang sangat menakutkan), malah Faisal menghidangkan hal ini dengan cara isi-isi itu dipersembahkan oleh beberapa watak tokoh pemikir (ini yang licik), maka idea-idea ini bukan datang daripada kepalanya(!) tetapi kepala tokoh-tokoh ini, termasuk pemetikan(citation) beberapa tulisan ilmiah berkenaan perkara ini.

Malah sebenarnya (walaupun secara halus, Faisal memenangkan gagasan Jafari tersebut dengan hujah-hujah tokoh wataknya di beberapa perenggan yang strategik) Faisal menggambarkan "perbincangan" perbezaan pendapat "siapa datang dahulu" ini berlaku daripada projek filem yang dilakukan oleh sekumpulan anak muda amatur. Ini menarik. Faisal secara prasedar memohon perbicaraan dan fakta ini didekonstruksi, melalui metafora pembikinan filem dokumentari ini (apabila kita membikin filem, kita melalui satu pengalaman baharu). Maka hal ini "dirakam dan siar" dan bukan semena-mena retorik penulis. Faisal sebenarnya mencari "gaya baharu" dalam memperkenalkan Persuratan Baharu yang diikutinya. Ini adalah antaranya, dan pemilihannya menarik.

Malah apa yang saya fikir mencuit, adalah percubaan Faisal memperkenalkan "praktikal" filem Islam (yang boleh berlaku) dan hal ini digambarkan di sini (saya kira, ini kali pertama difiksyenkan oleh seorang penulis tempatan), malah buat saya berjaya mengalahkan perangkap Juktaposisi Hizairi Othman yang menggunakan istilah-istilah Inggeris (masih!) dalam memperkenalkan jalan hidup "baharu" pembikin muda. Revolusi Faisal ini lebih saya hormati kerana menggunapakai habis-habisan isitulah Melayu dan ia langsung tidak kelihatan canggung! "Aksi" dan "potong" kelihatan hidup dan praktikal dan seharusnya suatu anjakan yang menarik dan diperhatikan oleh pembikin filem kini yang masih terbiasa dengan istilah-istilah Inggeris (ini adlaah satu cara mengacuankan sesebuah filem kita kepada kerangka milik kita).

Dari segi watak, Faisal masih mencuba, tetapi kali ini agak menarik dengan seorang dua watak yang kelihatan "berkembang", khusus Sharifah Ezzati (sindiran Faisal terhadap Syarifah Armani) dan Dr. Hayati. Yang lain-lain masih pepatung-pepatung berbicara sebagai penyampai "ilmu" Faisal. Tetapi saya agak kesal dengan pengakhiran novel ini. Sebenarnya, bab terakhir novel ini adalah "overture" novel ini yang membuatkan watak-watak "jahil" membuka jiwa mereka untuk memahami "hidayah indah" Islam. Tetapi hal ini tidak berlaku (sebaik yang saya jumpai dalam Muhammad Akhir) dan saya merasakan perubahan jiwa dua pelakon moden itu agak "sintetik". Inilah kelemahannya.

Satu hal lagi, saya dimaklumkan, teks Faisal berkenaan transkrip di bongkah batu Kuala Berang itu sudah tidak digunakan lagi (maka kebanyakan hujahnya sudah agak ketinggalan) oleh kalangan akademik dan arkeologi. Petikan "Rasul Allah dengan arwah santabi" sudah ketinggalan kerana transkrip yang lebih dipakai dan dipersetujui iaitu "Rasul Allah dengan yang orang sanabi" (bermakna Utusan Allah dengan umat Nabi Muhammad) yang mana diperbincangkan di seminar batu bersurat di Terengganu pada 2009.

Secara peribadi, atas kerana saya punya keturunan kerabat Acheh, saya agak tersinggung dengan pendedahan tokoh watak Faisal berkenaan Syeikh Nururddin ar-Raniri di bawah pemerintahan Sultan Iskandar Muda "yang despotik" dan "menyesatkan" (hlm. 57) yang mana adik saya yang belajar Pondok ada memaklumkan saya bukti bahawa Nuruddin tidak mencela Hamzah Fansuri. Tetapi sekali lagi, hal ini adalah polemik-polemik yang menarik untuk diperkatakan.

Novel ini turut mengancam golongan Wahabi. Saya mengandaikan, kemungkinan ini juga adalah antara alasan novel ini cuba diharamkan.

Secara keseluruhan, sekurang-kurangnya, Faisal cuba memberi semangat dan nafas segar dalam fiksyen menyelami kembali sejarah yang selalu dianggar bosan oleh khalayak kita, membawa kontroversi dan persoalan, dan inilah sepatutnya, bukan sahaja karya didaktisme berhala suapan.

PPMN III


Perhimpunan Penulis Muda Nasional III

Inilah pertama kali saya menghadiri serta menjadi sukarelawan kegiatan buat suatu perhimpunan yang agak bertaraf nasional, anjuran PENA dan badan-badan yang baik dan sedia membantu.

Macam-macam berlaku, seronok dan menyakitkan, celaan orang kepada saya kerana saya memperkenalkan bilik air di aras dewan seminar ("Buatpe dia tunjuk bilik air, lebih baik dia hidang kita air..." - buat penutur itu, sampai hari ini saya ingat wajah anda dan saya takkan tegur anda sampai bila-bila), bersiku dengan kawan-kawan, gelak ketawa tepuk bahu dengan Ali Atan sewaktu Azalan Sinaganaga memaksa kami bergaduh tumbuk kerana Ombak Rindu, semua itu saya simpan terus dalam hati. Mengasyikkan dan itulah yang membuat manusia hidup.

Tetapi PPMN juga berkenaan persembahan dan penyampaian kertas kerja. Saya boleh katakan, memang mengujakan himpunan pembentang yang menghadirinya. Hanya saya sedikit terkilan, kerana "bintang" sasterawan dan pemikir sastera mutakhir, Faisal Tehrani tidak menghadirinya. Ini kerana buat saya, antara semua kertas kerja yang gah dan menarik, kertas kerja Faisal lah yang paling "outstanding" dan membicara hal yang amat terkini. Inilah yang kita cari-cari dalam pembentangan penulisan susastera, sesuatu yang membawa polemik besar dan sepatutnya menggegar arasy tipikal dan lazimi kotemporari. Faisal buat saya, adalah seorang yang berani membawa perubahan itu, sesuatu yang biasa ditunggu-tunggu dalam mana-mana arena sastera dunia. Tetapi alas, Faisal tidak hadir kerana "dikecam" oleh segolongan orang yang tidak sependapat dengannya (yang buat saya hal ini tidak matang bagi suatu majlis wacana ilmu yang membuka ruang untuk sesiapa sahaja menjelaskan pemikiran mereka). Bagi pendirian peribadi saya sendiri, Faisal sepatutnya datang untuk mempertahankan kertas kerjanya yang dijelas-jelas dihentam oleh kalangan hadirin pada majlis itu. Inilah pendapat seorang sahabat saya, "di arena antarabangsa pun sebegitu rupa maka si pembentang haruslah menunjuk muka agar sekurang-kurangnya memenangkan moral dirinya dengan karya dan gagasan yang dibawa, sendiri buat sendiri tanggung". Begitulah.

Tetapi acara sebegini haruslah diraikan lagi oleh mana-mana golongan penulis, baik popular, sasterawan, agamawi, lendir, penyimpang, atau sesiapa.

Barulah gah ia dipanggil PPMN. Nasional. Muda.

ps: Saya tidak selalu berkunjung di sini kerana kini saya dalam proses menghabiskan novel terbaharu, doakan saya lancar dan siap dengan sempurna, Amin!