Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Tuesday, May 31, 2011

Jalan Harmoni Ke Stesen Hang Tuah

Ada satu tempat yang agak unik di kawasan tempat kerja saya. Jalannya kecil tapi bermakna, berdekatan dengan Victoria Instituition, bersebelahan dengan pangsapuri murah dan berdekatan Stesen Hang Tuah. Tiga tempat ibadat utama etnik kita terletak di sebelah-menyebelah jalan, masjid, kemudian tokong Cina dan kuil India. Terdapat satu kontradiksi, mungkin "agama baharu" buat penduduk, iaitu orang-orangnya, lebih-lebih lagi yang keluar masuk dari stesten LRT Star tersebut:

Setiap kali petang,
Mataku singgah beri penghormatan,
Tokong merah di bawah pohon,
Sebelah kuil loceng berdering,
Dan kubah Mohgul putih Shah Jahan,
Masing-masing setempat memanggil
umatnya beribadat.

Lantas si pendatang bergegas pergi,
Baju dipakai wajah bodhistiva,
Datang import dari Amerika
Yang baru dua minggu melawatnya
Dalam mimpi atau konsert,
Yang separuh duit gajinya jadi milik dewa,
Agar dia mencapai hidup
Serahmat dan berkat hidup si dewa,
Punya awek cantik dan mewah setiap kembara.

Aku kemudian lihat,
Seorang tua tanpa sepatu,
Memijak poster Maulidur Rasul
Rasulullah dan Allah dalam rumi
Menjadi alas tumit dan jari
Menadah tangan mohon simpati
Agar dia mencapai hidup
Serahmat dan berkat si pejalan kaki,
Punya rumah untuk pulang,
Punya makanan di meja makan.

Saturday, May 21, 2011

Dialog Orang Muda: Reaksi Kembalinya PPSMI

Dialog Orang Muda ialah majlis ilmu yang lebih bersifat wacana tentang isu-isu yang ampuh, dihadapankan oleh orang-orang muda. Digerakkan oleh PENA. Sambungannya boleh diikuti dalam youtube.


Wednesday, May 18, 2011

Sajak Khusus Buat Penyair Sufi Tiada Tariqat

Wahai tuan yang mencari-cari sanubari,
Daripada tuan cuba memahami,
Lantas menulis Sang Rumi meninggal dua kali,
Asal baik sahaja tuan berdiam diri,
Sebaik-baik Alif yang berdiri mati,
tetap ia berdiam dengan seribu erti,
mendekati makna kamil insani,
sanubari hakiki yang tuan cari -
selama ini.

Sunday, May 15, 2011

Matinya Seorang Blogger

Saya ingatkan beliau bermain-main apabila menyatakan dalam entri terakhir beliau (yang akhir-akhir setahun dua ini penuh dengan poskad pelangi dunia Parsi dan polemik Syiah belaka) bahawa beliau akan berhenti dan itu merupakan entri terakhir beliau.

Rupa-rupanya, beliau betul-betul pergi.

Saya tidak tahu, tetapi saya ada rasa kekosongan. Saya merupakan antara peminatnya (sasteranya), juga pengikut blognya.

Semalam, sewaktu balik dari ofis (kini saya bekerja Sabtu Ahad, kerana kerja di Buku Sekolah, tempat yang sepatutnya tidak digalakkan bagi para penulis), saya melihat sesuatu yang indah. Pada masa sekarang, orang Iran sudah ramai yang bermastautin di Malaysia, khusus Kuala Lumpur.

Bas yang saya naiki melalui jalan ke Chow Kit, berdekatan panggung Federal. Ada sebuah kedai makanan "beriyani" baharu, kelihatan milik seorang wanita Iran. Ruang dalamnya kosong, tak ada pelanggan. Waktu itu senja maka isi dalam restoran itu terang dengan meja bersalut alas merah putih terang, kerusi kayu ala restoran Yunani dengan papan tanda yang sudah bercahaya merah garang. Si wanita Iran itu berapron merah, tidak bertudung, rambutnya ikal gerbang diikat rapi seakan seorang wanita Mediterrenean. Di dalam tangannya ada sebatang rokok, lantas dia menghirup nakotina itu dalam-dalam lantas melemparkan balik tebal asapnya kepada udara kotor kota Kuala Lumpur. Dia melihat sayu kereta mundar-mandir yang tidak mempedulikan kedainya (mungkin baharu mungkin), juga perasaan reda dan geliat sekali gus. Tetapi lutut dan matanya lebih menawan, dia bercerita bagaimana bebasnya dia, di tepi kaki lima yang selalu terisi pondan dan pelacur bahawa dia boleh berdiri, sendiri, di hadapan kedainya, tanpa seorang lelaki.

Melihat imej itu, saya rasa seperti mahu menangis. Saya teringat akan Faisal Tehrani.

Thursday, May 5, 2011

Semangkuk Interlok

Tajuk: Semangkuk Interlok
Oleh: Beberapa Penulis (Editor - Hafiz Hamzah)
Terbitan: Matahari Books
Tahun: 2011

Sinopsis:
Kumpulan sepuluh esei yang membicarakan baik, buruk dan fenomena Interlok terhadap pendirian, individu, masyarakat dan sastera Malaysia.

Rasa:
Sebuah buku penting kiranya, khusus percubaan Amir Muhammad dan Hafiz Hamzah untuk mengumpul segala esei, khusus yang benar-benar kritis membahaskan segala yang melingkar padu terhadap novel kontroversi 2011 ini. Di dalamnya, terdapat kupasan yang benar-benar akademik dan telus berkenaan novel berikut, seperti tulisan S.M. Zakir (yang ada disiarkan dalam Dewan Masyarakat dalam talian), dan Dr. Fatimah Busu. Apa yang menariknya, kebijaksanaan editornya untuk memilih rasa "pelbagai" terhadap novel itu tanpa benar-benar memaparkan retorik emosional, tetapi hujah rasional. Misalnya, nota editor sendiri dalam "cuba memahami" novel tersebut (dengan pendekatan liberalnya) kepada sikap Mohd. Affandi Hassan yang menyerlah tajam sifat "Persuratan Baru" Islamnya terhadap realiti hakiki dan realiti semu (palsu: merujuk kepada ciptaan sastera Melayu mutakhir). Pendirian plural sebegini amat dikagumi boleh berlaku dalam buku projek "kecil" ini.

Tidak kurang menariknya juga, pandangan separa ilmu Uthaya Sankar (hanya buat saya, saya jumpai juga beberapa maklumat bahawa ada juga golongan anak tuhan yang tidak makan daging lembu), sesuatu yang saya kira "perlu" dimasukkan, walaupun hanya entri blog di dalam esei ini, memandangkan beliau adalah lelaki "infamous" buat masa sekarang buat segolongan sasterawan, mendayungi perahu politik yang disokonginya. Dua tulisan yang saya suka, Subashini yang memerhati dari sudut teori feminisme (atau sekurang-kurangnya kecitraan wanita sejagat) yang Interlok boleh sumbangkan (atau gagal sumbangkan), serta pemahaman Umapagan yang telus berkenaan novel sosial ini tanpa sikap yang prejudis malah senang dibaca. Lain-lain penyumbang termasuk Dr. Jeniri Amir yang lebih bersifat peribadi, dan S. Fatimah Said sebagai "pembaca" kalangan masyarakat.

Hanya penggunaan bahasa yang sedikit meragukan dalam kumpulan esei ini, khusus penulisan Hafiz sendiri dengan pelbagai kesalahan tatabahasa, serta beberapa bahan terjemahan Inggeris ke Melayu yang sederhana. Ini sahaja yang mencacatkan pembacaan.

Buku ini percuma. Dan ini suatu rahmat yang perlu dikongsi bersama.