Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Tuesday, May 11, 2010

Inilah Pusat Sehenti Zine Yang Masyhur! dan Bahasa Kebangsaan


Saya menjumpai sebuah blog yang amat-amat bermanfaat, menerjah segala kapitalis pembukuan negara sekarang, malah beberapa artikel di dalam zine-zine ini amatlah mengujakan! Semua zine boleh dimuat turun secara percuma, dan kualitinya tinggi (saiz muat turun agak tinggi). Bayangkan, Tuk Kenali pun ada zinenya yang tersendiri! Inilah subbudaya punk rock dan D.I.Y. yang menolak pengwujudan keuntungan dalam penyebaran ilmu. Semangat melampaui keuntungan kendiri kata mereka. Insya-Allah, saya akan bermohon kepada pihak berkenaan menolong saya mengeluarkan zine fiksyen sains yang saya tangani ini yang sudah lama tidak digerakkan kerana tidak ada yang sanggup menolong saya membuat "layout".. Barlah, cincai, asalkan ilmunya sampai!

Sila lihat blog yang hebat itu di sini.

Saya juga sedang membaca The Memoirs of Keris Mas: Spanning 30 Years of Literary Development. Buku ini terbitan DBP (boleh rujuk dan beli di sini), diterjemahkan ke bahasa Inggeris oleh Shah Rezad Ibrahim dan Nor Azizah Abu Bakar. Secara umum, ini sebuah memoir tulisan sasterawan/tokoh Malaysia yang amat jujur dan telus, malah amat-amat ditulis dengan baik sekali, malah terjemahannya juga antara yang terbaik dari Melayu ke Inggeris. Saya kagum dengan penulisan Keris Mas ini yang menyusuri semangat yang baharu hendak dibina berkenaan bahasa, sastera, penerbitan dan kewartawanan (yang kita boleh panggil pesuratan) Melayu dan umumnya Malaysia. Syabas juga buat DBP kerana buku ini membuka banyak mata kerana mengupas isu politik dan sastera dengan pandangan tanpa prejudis penulisnya, sesuatu yang kita takkan jumpa dalam memoir dan autobiografi tokoh-tokoh politik (yang ada juga saya tak kenal siapa, dan tak peduli jika ia mempunyai halaman menanam orkid di rumah atau pandai bersukan jetski di sungai) dan menteri yang bersepah di kedai buku (yang saya tidak tahu, siapa sahaja yang membelinya). Inilah sebuah buku memoir/sejarah peribadi/biografi "dari hati", dan bukan sebuah buku menggunakan tenaga penulis lain menulis sepertimana yang saya dapati dibikin untuk beberapa tokoh politik. Saya masih di halaman 76 dan saya tidak lagi membuka buku lain (ini petanda baik, ini bermakna buku ini jenis buku "telak halaman" atau "page turner"). Satu sedutan yang menarik yang saya baca, mungkin boleh dikongsi di sini sebagai satu hal yang boleh diiktibarkan:

"Looking Back, we can now say that the Malay language did become the political foundation of this independent nation as demanded by the leftwing Malay group, PUTRA, accepted by the non-Malay group, AMCJA, and included in the draft of the People's Constitution which was tendered to the British as a counter-proposal to the Federal Constitution compiled by a working committee set up by the British and UMNO to replace the Malayan Union. And as we know, the People's Constitution was rejected outright. It was the Federal Constitution of Malaya by which Malaya returned to its status quo before the war that was accepted by the British to fulfill the peoples' demand to reject the Malayan Union."
(The Memoirs of Keris Mas, hlm. 75)

Sunday, May 9, 2010

Ulasan "Saga Horizon" oleh Editor Tunas Cipta



"Membaca Saga Horizon nukilan Fadli Al-Akiti (Alaf 21 Sdn. Bhd., 2008) membawa para pembaca seolah-olah menikmati filem fiksyen sains yang mengujakan.

Dalam filem fantasi, kedapatan pada awal cerita teknologi robot digunakan untuk memudahkan kehidupan. Lalu diciptakan konflik kegagalan fungsi robot yang mesra manusia tersebut menyebabkan manusia menjadi sasaran robot berkenaan. Watak ASAIN merupakan penyebab kepada malapetaka besar yang disebutkan pada bahagian awal Saga Horizon. Buku ini cuba memberikan persepsi bahawa teknologi ciptaan manusia tidak semuanya membawa kebaikan, namun manusia juga yang berjaya menyelesaikan permasalahan yang terhasil daripada tangan mereka sendiri."
Ruslan Abdull Raffar
Editor Tunas Cipta

Wednesday, May 5, 2010

3 Buku: Kanisah, Light dan Godfather



Tajuk: Mencari Kanisah Yang Hilang

Oleh: Alias Jundullah
Terbitan: Pustaka Nasrullah
Tahun: 2007

Sinopsis:
Mengikuti rentetan peristiwa kaum Yahudi menduduki tanah Palestin, dan kemudiannya dihalau, dan akhirnya kembali untuk menuntut sebuah negara di tengah-tengah penempatan negara Islam. Buku ini membicarakan kenapa kaum Yahudi inginkan sangat pembentukan Israel serta tindakan mereka sekarang untuk masa depan mereka.

Rasa:
Buku ini sederhana baik bagi mereka yang ingin mengetahui secara sekilas lalu tentang sejarah kaum Yahudi, bermula daripada Nabi Ibrahim sehingga sekarang, serta berkenaan perjuangan mereka, dan mengikut sisi Islam, mengapa "orde baharu" mereka perlu ditentang habis-habisan. Beberapa jadual serta ilustrasi menarik, serta fakta-fakta ringkas dan kronologi yang cukup memaklumkan perihal ketangkasan, kelemahan dan sekali gus keganasan kaum Yahudi. Buku ini mungkin propaganda Islam untuk menafikan harapan orang Yahudi untuk sebuah negara, tetapi data-datanya cukup buat pembaca Islam meneliti kelicikan dan semangat dendam Zionis untuk mengembalikan "kegemilangan era Kanisah" mereka kembali, walau bagaimana kompleks sekali pun.



Tajuk: Into The Light (terjemahan novel Masuk ke dalam Cahaya)
Oleh: Abdullah Hussain
Terbitan: ITNM
Tahun: 2009

Sinopsis:
Zaman, seorang graduan pascamerdeka 70-an telah merasakan dirinya kosong, lalu ingin mencari "makna" dalam hidup. Zaman menemui secara misteri, sebuah kampung bernama Kampung Cahaya yang buat Zaman, orangnya pelik tetapi mempunyai jati diri yang teguh. Kampung Cahaya merupakan sebuah komuniti Islam yang membawa semangat baharu buat Zaman. Zaman mula terpesona dan mengikut cara hidup baharu daripada penduduk kampung. Pada masa yang sama, Iblis menjadi murka apabila mendapati sekumpulan manusia di Kampung Cahaya mula melempiaskan nur hidayat mereka dan mengubah beberapa orang "roh sesat" seperti Zaman untuk menyertai tujuan suci mereka, lalu mengutus pelbagai syaitan untuk memerangi isi Kampung Cahaya habis-habisan.

Rasa:
Kedengaran seperti sebuah novel yang fantastik, tetapi inilah "keluarbiasaan" Sasterawan Negara Abdullah Hussain untuk melakarkan sebuah komuniti Islam yang sempurna dan sejati (yang mana idealisme ini akan digunakan dengan lebih baik dan terfokus dalam novel Imam beliau) dalam memerangi kerakusan modenisasi dan hedonisme seisi dunia. Pembayangan Kampung Cahaya itu mungkin "baharu" buat pembaca 1983 (sewaktu novel ini dilancarkan) tetapi kini orang mungkin dapat mengkaitkannya dengan kampung Quaker dan beberapa kampung agama Kristian baharu-alternatif yang merata di Amerika, terpelusok jauh dan terpinggir daripada kemajuan dan kemasyarakatan tamadun. Tetapi idea ini memang menarik sebagai plot. Malah novel ini lebih sebagai sebuah novel idea (atau utopia) daripada sebuah novel pembacaan perwatakan atau kemanusiaan. Hal ini mungkin menjatuhkan sedikit martabat novel ini yang dibawa dan dipersembahkan secara berstruktur, adegan demi adegan yang kadangkala dirasakan cerita-ceritanya ditempelkan dalam sebuah bab. Ini tidak menolak pembaca untuk menyelami beberapa cerita yang agak menarik, khususnya bagaimana Abdullah Hussain menggambarkan jalan penceritaan buat pertama kalinya Zaman mengenali isi penduduk dan kegiatan Kampung Cahaya, dengan pelbagai watak dan peranan mereka, gambaran dunia Iblis yang terganggu dengan kejayaan Kampung Cahaya, serta sebuah cerita dalam cerita yang diperbualkan oleh Iblis dan konconya tentang seorang pendosa dan isterinya yang mendaki gunung untuk bertemu dengan abangnya yang zuhud. Cerita ini sungguh menarik kerana menyatakan pengisian yang amat humanis dalam lingkungan pemahaman sarwajagat tetapi ditetapkan oleh Abdullah Hussain dengan syariat dan ketentuan Islam. Termasuk cerita di akhir buku apabila Iblis bercadang untuk "beragama". Walaupun begitu, cerita-cerita ini, yang tampak "ditempelkan" memberi cadangan bahawa ianya bukan cerita asal penulisnya, memberi sedikit persoalan berkenaan kesesuaiannya. Pun begitu, dengan gaya Abdullah Hussain yang menolak tradisi "adat Melayu" (sebuah babak memaparkan pasangan berkahwin tidka perlu bersanding), novel ini merupakan percubaan berani Abdullah Hussain untuk menyatakan pendiriannya terhadap kesucian agama Islam yang dapat dimanfaatkan dalam semua bentuk kehidupan, suatu hal yang mengikut semangat masyarakat Melayu pada masa novel ini diterbitkan yang mula menyedari kesesuaian tempat dan identiti mereka pada zaman moden, sekular dan serba kebaratan.

Tajuk: The Godfather
Oleh: Mario Puzo
Terbitan: G.P. Putnam's Son
Tahun: 1969

Sinopsis:
Don Vito Carleone ditembak di luar pejabat kecilnya di New York. Vito Corleone merupakan seorang bos mafia yang amat terpengaruh di bandar New York. Anak-anaknya menjadi kaget, lalu peperangan antara keluarga mafia pun bermula.

Rasa:
Novel yang bergerak seperti sebuah novel detektif, dengan pengenalan dan pengolahan fakta yang begitu mendalam dan begitu mengancam, ia semacam ceritanya dalam dunia gelap penjenayah di Amerika. Watak-wataknya juga benar terhadap cerita, masing-masing tanpa hitam putih yang terang, malah pemahaman Puzo meyakinkan pembaca untuk melihat para mafia sebagai suatu kumpulan yang menperjuangkan sesuatu yang "adil" dan "benar", mengikut turun-temurun adat budaya mereka amat mendebarkan, turut menghiburkan. Kadnag-kala, watak-watak ini dilukis begitu romantis sekali, tetapi yang paling penting, Puzo langsung tidak menghakimi watak-wataknya, malah membenarkan mereka menyelusuri dunia membangun mereka seakan kesatria dan ahli korporat yang hanya menjalankan tugas. Grafik ganasnya menakutkan, turut adegan-adegan ranjangnya. Ini bukan sebuah sastera tetapi sebuah novel popular yang mengkagumkan kerana jalinan cerita yang mendebarkan dan bergerak seperti advencer. Sebuah novel yang sepatutnya dibaca oleh semua kaum lelaki.