Saya Sedang Membaca

Batu Ketiga Dari Matahari oleh Sahidzan, Encik Psychopath, Lucifer, april, KHRLHSYM, Ophan Bunjos, nasyrun, Zoul Yazix| Hikayat Tiga Negara Jilid 3terjemahan oleh Yuen Boon Chan, Woo Tack Lok | Message to Adolf oleh Osamu Tezuka | Atlantis: The Lost Continent Finally Found oleh Prof. Arysio Santos | To the Devil a Daughter oleh Dennis Wheatley | The Mind of The Malay Author oleh Muhammad Haji Salleh | Kronikel Bumi oleh Nurul Izwazi Mohd Nor | Cloud Atlas oleh David Mitchell |

Sunday, April 18, 2010

Natrah: Cinta.Rusuhan.Air Mata


Tajuk: Natrah (1937-2009) Nadra@Huberdina Maria Hertogh@Bertha: Cinta. Rusuhan. Air Mata
Oleh: Fatini Yaacob
Terbitan: UTM
Tahun: 2010

Sinopsis:
Buku yang meniti hari-hari tragedi Natrah sejak di Indonesia, kemudian Tanah Melayu, Singapura, dan kes-kes yang telah menggegar dunia Melayu, Barat dan di antaranya. Fatini Yaacob yang menjadi wartawan pilihan menemuramah Natrah pada 1988 telah menuruti kembali fregmen-fregmen kisah Natrah pasca kes di Singapura, sehingga lawatan peribadi Natrah ke kampung halaman Che Aminah, ibu angkatnya yang tercinta pada sisa akhir hidupnya. Ini kisah cinta Natrah, rusuhan dan air matanya.

Rasa:
Saya mendapat beberapa kritikan daripada beberapa sahabat wartawan dan pembikin filem yang liberal berkenaan buku ini. Pertamanya, mereka mengeneralisasikan bahawa tragedi Natrah merupakan "kebodohan Melayu" untuk memaksa suapan agama kepada anak yang tidak bersalah (tanpa persetujuan ibu bapa biologinya), meracuninya dengan dakyah "semua agama lain memusihi Islam" sehingga membawa kepada rusuhan yang terbesar pramerdeka di Tanah Melayu. Keduanya, buku ini kononnya buku "mendabik dada" Fatini yang kononnya "kesatria" Melayu untuk menjadi "wartawan Melayu pertama menemuramah Natrah sejak meninggalkan Tanah Melayu", lantas menyatakan suaranya secara terang, mengacau "jalan cerita" yang sepatutnya berkenaan Natrah dengan dakyah dan pandangan peribadi Fatini, seperti hal yang berkenaan Islam, nasionalisme Melayu dan pelbagai lagi.

Saya tidak peduli tuduhan sebegitu sehinggalah saya membaca buku yang terjual beribu-ribu naskhah ini. Apa yang saya jumpai amat memeranjatkan, dan kadang-kala mengejutkan. Ya, kadang-kadang buku ini meletakkan agendanya melebihi sumber sebenar yang perlu disampaikan, Natrah, tetapi itu tidak menghindari saya untuk menyelam apa yang sebenarnya Fatini ingin sampaikan berkenaan Natrah, dan hal sekelilingnya yang boleh tidak boleh, masih berkait dengan politik, agama dan budaya zaman itu.

Antara yang melemahkan teks ini adalah cara Fatini untuk "kacau" masuk menyertai dunia Natrah dengan memberi pandangannya yang jelas datang daripadanya. Ini boleh dilihat secara jelas dengan hlm. 257 dengan kesimpulan yang Fatini gambarkan terhadap Vermeulen, lelaki Belanda yang cuba menyatukan Mansor dan Natrah kembali:

"Vermeulen memiliki jiwa belas kasihan, berani dan penyayang. Baginya tidak salah membantu orang yang teraniaya. Tidak kira apa bangsa, warna kulit dan agama."
(Natrah, hlm. 257)

Kesalahan Fatini ialah, pandangan ini diletak pada halaman awal bab berkenaan jihad Vermeulen untuk menyatukan Natrah dan Mansor. Pertama, kita tidak diberikan latar belakang Vermeulen untuk kita selami pandangan hakiki Fatini yang "agung" berkenaan lelaki ini. Mungkin kalau Fatini menjelaskan, bagaimana dia bertemu dengan Vermeulen, susah perit yang terpaksa beliau lalui, hal ini tampak lebih "credible". Atau mungkin juga dengan poin bahawa Vermeulen juga "inginkan" cerita daripada Natrah dan Mansor.

Tetapi semua ini tidaklah mencacatkan sangat pendedahan Fatini yang agak terperinci tentang kisah hidup Natrah. Malah Fatini mengambil masa dan usaha yang agak berat dan mendalam untuk memberi pembaca pemahaman yang luas dan teliti berkenaan tragedi Natrah. Ini dapat kita lihat dalam kronologi dan detik-detik Natrah diserahkan kepada Che Aminah, dan kes-kes mahkamah yang menyusul. Malah hal-hal yang berlaku di gereja ditulis dengan teliti sekali oleh Fatini. Di sini, kita dapat melihat, bukan orang Melayu "bodoh" untuk meletakkan "suapan" kepada Natrah, tetapi atas keadaan yang menyebabkan. Malah secara jelas, Natrah membenci (walaupun tidak menyimpan dendam) ibu kandugnya, dan mendapat "cinta ibu sebenar" daripada Che Aminah. Itu yang saya lihat, yang paling penting buat Natrah. Usianya yang begitu muda menguatkan hal ini. Sense of belonging Natrah terlalu sesuai di Kemaman daripada Bergen Op Zoom.

Hal inilah yang kuat disampaikan oleh Fatini, hal-hal "garisan halus" berkenaan undang-undang yang juga berlawanan dengan perasaan dan kepentingan hakiki individu yang dizalimi undang-undang atas pengaruh kuasa. Tidak dinafikan hal ini begitu relevan sehingga sekarang sebagai kajian kritis berkenaan penguatkuasaan undang-undang, oleh sebab, seperti yang dinyatakan dalam Dewan Masyarakat April 2010, mahkamah syariah kita sendiri, walaupun mempunyai peguam syarie yang hebat dalam persatuan peguam, menulis tentang undang-undang Islam dan memberi pendapat berkenaan hukum Islam di akhbar dan televisyen, mereka tidak dapat lari daripada membuat keputusan yang tidak adil di mahkamah dan menzalimi para wanita yang keadilannya tidak terbela walaupun hukum Islam sudah menyatakan sebaliknya. Inilah kesedihan yang perlu kita sendiri alami di bumi sendiri (dan tidak perlu pun memerhati mahkamah di luar negara) walaupun pascamerdeka.

Apa yang menarik berkenaan Fatini ialah, Fatini tetap menulis dalam aura dan gaya Melayu, membuatkan buku ini bukan sahaja buku biografi, tetapi buku biografi-sejarah yang bercita-rasa Melayu. Ini dapat dilihat dengan pemilihan laras bahasa dan kata yang semahu-mahunya Fatini menyatakan ianya perlu berdarah kepengarangan Melayu. Lihat sahaja petikan Fatini berkenaan nasib malang Mansor di hlm. 287:

"... akhbar terbitannya, The Dawn digantung penerbitannya. Mansor kini termangu-mangu. Nasib malangnya bertimpa-timpa. Nasib baik masih belum menyebelahinya."

Kekuatan Fatini juga mendekatkan pembaca dengan kisah dan berita yang berlaku di depan pembaca, seakan sebuah fiksyen. Ini sememangnya satu usaha yang sebenar dalam mana-mana buku sejarah dan biografi mutakhir, juga teksnya mempunyai impak-impak new journalism seperti yang diperjuangkan oleh Karim Raslan. Memang, melihat daripada penglibatan Fatini sewaktu dia di Dewan Bahasa dan Pustaka dan membuat laporan buat Dewan Masyarakat, Fatini sendiri tidak menyedari bagaimana terlibatnya nanti dia dengan Natrah. Ini sebenarnya elok, walaupun kawan wartawan saya menyatakan seorang penulis harus objektif terhadap subjeknya. Mahu tidak mahu, Fatini sudah pun "terlibat", dan proses menulis buku ini adalah hasil "keterlibatannya". Saya tidak peduli jika Fatini mempunyai agenda (selain daripada agenda utama: mahu buku ini terjual laris), kerana kita jumpa hal yang sama berkaitan ini dalam penulisan pertama Ann Rule dalam menyelami pembunuh psikaotik, Ted Bundy dalam bukunya The Stranger Beside Me, yang mana Ann Rule pernah ditegur oleh jirannya Ted Bundy, atau seintim Truman Capote menyelami penyaksian In Cold Blood, atau sepuitis pensaksi Jon Swain dengan Kambodia dalam River of Time. Sudah mungkin Fatini tidaklah sehebat Alex Haley menerusi The Autobiography of Malcolm X, tetapi sekurang-kurangnya Fatini, dalam kerja kewartawanannya, dia mendapat sesuatu yang berharga dalam menyelami hidup Natrah. Daripada hanya "sebuah kerja" yang tiba-tiba menjadi "kerja nasional" yang digembar-gemburkan kepentingannya, Fatini mendapat sesuatu yang lebih baik daripada itu, dengan jujur:

"... saya ingin sekali membantu Natrah mencari kebahagiaan untuknya, tetapi semasa itu, 20 tahun yang lalu, saya tidak tahu caranya. Sebagai wartawan saya tidak disukainya. Natrah memang tidak menyukai wartawan kecuali Kak Buang ... hanya mahukan cerita dan wang ... Pada pandangan Natrah, saya mungkin termasuk dalam kelompok wartawan jenis ini ... Saya tidak berhasrat membetulkan tanggapan ini, kerana bagi saya masa akan menjelaskan, kebenaran akan muncul sendiri."
(Natrah, hlm. 415)

Inilah penemuan yang menarik yang pembaca akan temui. Pada mulanya, Fatini merasakan, pekerjaannya itu sebuah misi kebangsaan, yang akhirnya Farini menerima, hal-hal kemanusiaan lebih besar daripada hal bangsa. Antaranya yang dikupas, bagaimana Natrah membenci rusuhan yang dibuat atas namanya, bagaimana rakyat Malaysia serta masyarakat dunia, (sehingga kini) mempunyai ketidaktentuan dalam memahami seseorang individu atas nama individu, dan bukan berkenaan perkara yang nasional terhadap individu itu (cth. Bagaimana rakyat Belanda melihat Malaysia sebagai Indonesia, seperti bukti surat jemputan pengebumian Natrah buat saudara angkatnya di Malaysia). Ini dapat dilihat dengan secara kekok percubaan Fatini untuk mendapat jawapan balas daripada Natrah. Fatini mungkin lupa, bahawa jati diri sebenar Natrah sememangnya "Melayu" kerana ketidaksanggupan Natrah menjawab soalan-soalan peribadi yang "mengaibkan" (ini satu perasaan yang amat keMelayuan) kepada orang yang tidak dikenalinya (sedangkan kita tahu, masyarakat Barat amat terbuka, ini dapat dilihat dengan buku-buku biografi Barat yang amat terbuka menceritakan perhubungan luar nikah dan hal-hal yang amat intim dan seksual). Malah, jika dikaji, kita hanya DAPAT memahami Natrah yang SEBENAR apabila Natrah mengunjungi kakak angkatnya, Puan Kamariah pada akhir 90-an. Di sini, dialog intimasi antara Natrah dan kakak angkatnya memaklumkan isi hati sebenar Natrah. Malah, sembilan bab terakhir buku ini (bermula dengan pemilihan Mansor untuk melupakan Natrah) merupakan bab yang terpenting dan berkuasa dalam buku ini. Malah, saya mengaku, saya menangis sewaktu membacanya. Fatini berjaya menghayati sikap sebenar Natrah dalam babak akhir riwayatnya, falsafah sebenarnya tentang hidup dan agama, yang mana pada detik-detik akhirnya, baharulah Natrah benar-benar mendapatnya.

Kita dapat menelusuri hidup Natrah seperti yang Fatini tulis, yang amat suka mempautkan diri (kebergantungan) kepada kekuatan orang lain. Natrah memautkan dirinya kepada Che Aminah untuk cinta setelah ibunya "membuang"nya, kemudian memautkan dirinya kepada Wolkenfelt untuk melarikan diri daripada keluarganya, kemudian Bellermans untuk melarikan diri daripada Wolkenfelt, dan akhirnya seorang lelaki Ambon, malah ada tiba suatu masa, Natrah memperlihatkan kebergantungan kepada wang sebagai jalan melepaskan diri daripada hidupnya yang buruk di Belanda (malah terlihat buruk selepas dokumentari televisyen itu). Perpautan ini menjadi "a cycle of distruction" terhadap nasib Natrah yang dimulakan oleh ibu kandungnya sendiri. Hal ini bersamaan dengan semangat Blance Dubois dalam drama A Streetcar Named Desire oleh Tennesse William yang menyatakan dengan tragis terhadap hidup menderita Blance yang tiada kesudahan, memaut secebis kegembiraan atas orang yang tidak dikenalinya. Fatini menyatakan pada akhirnya, atas lawatan terakhir Natrah ke Kemaman dan Singapura, Natrah dapat mengakhiri kebergantungannya. Akhirnya, Natrah tampak memahami apa yang dia mahu dalam hidup.

Sememangnya secara peribadi, saya sedikit sedih untuk melihat Natrah melihat agama sebagai hal plural (mempercayai kewujudan Tuhan dan agama, tetapi bukan secara institusi), tetapi jauh lebih penting dalam hal ini, Fatini berjaya mengupas "isi hati" Natrah yang mana Fatini lakukan dengan lancar dan penuh perasaan (passion). Dan hal ini hanya boleh disampaikan oleh seorang perempuan. Jiwa "perempuan" Natrah inilah yang terpenting untuk membuat kita mendekati Natrah, dengan pemilihannya pada waktu akhir dan penerimaannya dengan segala yang berlaku terhadap dirinya. Melalui tulisan Fatini, kita merasa dekat dengan Natrah, dengan tulisan Fatini, kita mereka nostalgik untuk Natrah, dengan suara Fatini, kita tidak dapat melupakan Natrah.

Dengan hal-hal kecil ini, dapatlah kita menelusuri hidup Natrah yang berliku, yang juga secara Natrah tidak sedar, mengubah tempo dan jalan sejarah politik Melayu waktu itu, yang juga, walaupun masih ada cara yang baik lagi untuk menceritakan cerita Natrah, Fatini membuat kita meyakini, sejarah negara dan sejarah individu masih penting untuk kita pegang, bukan sahaja untuk difahami, tetapi untuk dirasai.

Thursday, April 15, 2010

Alhamdulillah, Saya Menang :)



Yey! Tak pernah tau menang hal-hal kebangsaan ni.. hehe.. Terima kasih para penyokong, panel juri (Datuk Baha Zain dan Shaharom TM Sulaiman tu! GULP) dan ITNM.. sahlah, bahan karya Faisal Tehrani ni berhantu ah, sesiapa yang sentuh, mesti dapat emas.. macam sentuhan Midas!

Tahun depan buat lagi eh ;)

KUALA LUMPUR 15 April - Wartawan Utusan Malaysia, Mohd. Khuzairi Ismail muncul pemenang Peraduan Ulasan Buku Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) yang berlangsung dari 21 Februari sehingga 13 Mac lalu.

Wartawan Eksekutif di Meja Rencana itu memenangi peraduan berkenaan menerusi ulasan buku 'Keberanian Menggapai Harapan' dan membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000.

Tempat kedua pertandingan itu dimenangi pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Muhammad Fadhli Al-Akiti menerusi ulasan buku The Prau With The Silent Soul dan membawa pulang wang tunai RM3,000.

Perunding pembangunan perniagaan, Faizal Riduan yang mengulas buku 'Adab Dialog Dalam Islam' pula memenangi tempat ketiga dan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Pengerusi ITNM, Datuk Dr. Sharuddin Md. Salleh dalam satu majlis di sini hari ini.

Dalam ucapannya Sharuddin berkata, peraduan yang dianjurkan menerusi blog dan laman sosial Facebook itu berjaya meningkatkan jualan buku terbitan ITNM melalui laman E-Beli Belah institut berkenaan.

Menurutnya, peningkatan jualan buku itu berikutan komen positif yang diterima daripada pengguna blog dan Facebook tentang peraduan berkenaan.

''Ia juga telah meningkatkan rakan laman Facebook ITNM daripada 1,500 orang kepada 3,442 orang sehingga hari ini. Peraduan ini bertujuan menghargai pembeli dan pembaca buku terbitan ITNM selain mahu menggalakkan budaya mengulas buku berdasarkan bahan yang dibaca," katanya.

Jelasnya, sebanyak 75 penyertaan diterima daripada individu berlainan latar belakang dalam peraduan itu.

Menurut Sharuddin, peraduan itu diharap dapat memugar budaya membaca dan meningkatkan aktiviti intelektual di kalangan masyarakat sekali gus meningkatkan produktiviti industri penerbitan buku di Malaysia.

Katanya, ini kali pertama Facebook digunakan sebagai medium pengantara peraduan berdasarkan aliran semasa yang memperlihatkan kecenderungan penggunaan laman sosial itu di kalangan masyarakat dunia.

Peraduan itu memerlukan peserta menulis ulasan buku-buku terbitan ITNM sama ada di blog atau nota Facebook peribadi dan kemudian alamat URL paparan ulasan buku itu dipautkan ke laman Facebook ITNM iaitu www.facebook.com/klikITNM.

Sebanyak 70 markah diberikan oleh pengunjung Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010 yang mengunjungi gerai ITNM manakala 30 markah diberikan oleh juri profesional.

Sunday, April 11, 2010

Laman Blog Jurnal DBP

Salam, hanya mahu maklumkan ada dua buah jurnal Dewan Bahasa dan Pustaka yang mungkin mengambil perhatian saudara-saudari untuk dapatkan/sumbangkan, sila rujuk:

http://malayliterature.wordpress.com/
(jurnal sastera Melayu dengan kumpulan makalah,
ditiadakan lagi karya-karya terjemahan)

dan

http://jurnalbahasa.wordpress.com/
(jurnal bahasa dengan pengkajian lingusitik, khususnya
bahasa Melayu)

Layarilah!

Thursday, April 8, 2010

Stingarden: Kini Semua Boleh Berumah


Tajuk: Stingarden
Oleh: Sinaganaga (sinaganaga.blogspot.com)
Terbitan: PTS
Tahun: 2009

Sinopsis:
fregmen-fregmen cerita yang terbahagi kepada tiga bahagian, kisah penulis sewaktu kecil tinggal di setinggan di Kuala Lumpur, cerpen-cerpen tentang watak setinggan dan fregmen kisah satira tentang isu politik dan ehwal semasa negara.

Rasa:
Antara buku yang saya beli pada pesta buku tempoh minggu yang lepas. Sebuah buku yang licik dan menggelikan kepada mereka yang memahami dunia waktu itu - nostalgia kepada dunia setinggan, yang mana, kita hari ini mungkin kaitkan dengan penempatan PATI, ya, segolongan kita dahulu pun pernah menduduki tempat seperti Distrcit 9 ini (rujuk Mat Som dan lakaran kartun Lat awal 70-an).

Saya percaya, kisah kanak-kanak Sinaganaga merupakan kisah yang unik, yang ditempuhi oleh beliau dengan "suka". Inilah ironi yang dimainkan (di sebalik kemunduran dan kemiskinan yang mengelilinginya) dan merupakan unsur terkuat dalam buku ini, melihat kisah dengan mata anak-anak, tanpa jegil kedewasaan, tanpa menyesal tentang kehidupan.. Kita jumpa pelbagai prosa yang mencuitkan dan jujur tentang kehidupan zaman 70-an itu. Dan ini disampaikan dengan selamba oleh Sinaganaga. Saya perturunkan sebuah petikan sebagai contoh:

"Sungguh! Tivi rumah kami guna bateri! Suatu hari. Emak beli Tivi. Yang jenamanya seperti spesies haiwan pemaging."
(hlm. 29, Stingarden)

"Sense of wonder" kanak-kanaknya menjadi di sini. Kita "dihilangkan" rasa "melarat" penulis kerana penulis mengimbau dengan perasaan dan semangat berkobar anak-anak (melihat TV di ruang tamunya yang juga tempat tidur mereka anak-beranak). Malah ayat disengajakan tersekat-sekat seperti frasa (Suatu hari). Ini sudah tentu "kepala" seorang anak-anak, kita kata.

Inilah bahagian yang paling ampuh, seronok, dan punya cebisan menyentuh (pada sesiapa yang memahami zaman dunia daif buat penduduk setinggan waktu itu) dalam buku ini.

Bahagian keduanya punya sesuatu kelainan, disampaikan dengan cerpen-cerpen pendek tentang mainan kanak-kanak. Cerita-cerita ini mencari psikoseksual kanak-kanak yang bercampur lelaki perempuan (dan masih tidak mahu membesar cepat) di padang main mereka (ruang lorong dan celah-celah rumah setinggan). Mungkin, hal ini, melakarkan untuk pertama kalinya budaya ruang mainan kanak-kanak urban (ini zaman 70-an), yang kemudiannya berevolusi kepada ruang mainan di pangsapuri. Di sini, kemungkinan asasnya. Kita boleh lihat, ada benang halus yang menggariskan perbezaan jantina antara anak lelaki dan perempuan, dan bagaimana mereka mempelajari peranan serta tempat mereka di dalam masyarakat. Ini yang menarik.

Bahagian ketiganya pula satu rembesan kisah "politik" yang disampaikan secara simbolik. Saya kira, tulisan ini ditulis pascareformasi dan mendekati Pilihanraya Umum 2008. Ianya disengajakan berbentuk "acah-acah", satira mungkin (cuba menyatakan pemahaman watak terhadap isu politik semasa). Ini merupakan bahagian paling lemah dalam buku ini.

Apa-apapun, Sinaganaga merupakan seorang penulis humor yang segar, memberi kita kelincahan teks yang mencuit sekali gus menerangkan secara tersirat akan realiti sosiobudayanya. Lihat sahaja pada gambar-gambar yang diambil. Dan sememangnya saya setuju dengan Mamat Khalid yang merasmikan pelancaran buku ini, bahawa antara tiga buku yang dilancarkan, buku Sinaganaga ini sesuai untuk difilemkannya atas sebab pemahaman yang "bijak" berkenaan dunia melaratnya serta mempunyai cerita yang menyeronokkan dan ceria tentang sebuah realiti yang tidak selalu disentuh oleh penulis mapan.

Sebuah buku "dedikasi sebenar" untuk kota Kuala Lumpur.

PENGUMUMAN PENTING KEPADA PESERTA BENGKEL PENULISAN SCI-FI & FANTASI



Assalamualaikum dan Salam 1 Malaysia:

Kepada para peserta Bengkel Penulisan Sci-Fi dan Fantasi pada 13/6/2010. Mohon sediakan sebuah sinopsis atau rangka cerita atau rembesan idea yang hendak ditulis, lebih-lebih lagi untuk penulisan fiksyen sains. Idea berbentuk peta minda turut dialu-alukan.

Bawa idea/sinopsis/rangka cerita anda pada hari bengkel nanti. Atau e-mel kepada: fadliakiti@gmail.com sebelum 10/6/2010.

Terima kasih.

Fadli al-Akiti
Layari: http://ejenmanuskrip.blogspot.com/