Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Tuesday, June 30, 2009

Pasca-Mod-En-Isme


Tajuk: Introducing Postmodernism: A Graphic Guide To Cutting-Edge Thinking
Oleh: Richard Appignanesi & Chris Garratt dengan Ziauddin Sardar & Patrick Curry
Terbitan: Totem Books
Tahun: 2007

Sinopsis:
Apa yang menghubungkaitkan Marilyn Monroe, Disney World, The Satanic Verses dan ruang siber? Jawapan: Pascamodenisme. Tapi apakah sebenarnya pascamodenisme? Buku grafik ini cuba menghuraikan dengan jelas konsep-konsep enigmatik juga sewel tentang pascamodenisme dan bagaimana pascamodenisme mendefinisikan kondisi budaya dunia bermula dari tiga dekad terdahulu.

Rasa:
Saya meminati buku-buku "pengenalan" ini. Grafiknya memikat (tetapi memerlukan pemahaman seni daripad konteks pemikiran barat) dan penyataan-penyataan yang disampaikan selalunya "senang". Saya katakan "selalunya senang" kerana kadang-kadang, dalam perjalanan membaca sebuah buku ini, kita akan "tersesat" atau "jahil" dengan beberapa istilah, di mana buku ini tidak akan memberikan pengertian kepada beberapa jargon falsafah/kemahiran subjek tetapi dianggap pembaca perlu sedia tahu atau sebuah kamus ada di sebelahnya. Kepada pembaca "blur" dan mula hendak mengenali pascamodenisme, lebih baik anda goggle dan baca entri wikipedianya, ia lebih senang difahami.
Pun begitu, buku ini cuba dengan semangat meringkaskan sebaik mungkin, segala isu dan kritikan serta ketistimewaan yang dapat dikhususkan kepada pascamodenisme, daripada pemusnahan bangunan Pruitt-Igoe pada 15 Julai 1972 (mengikut penaksiran pengkaji seni bina pascamoden, di sinilah waktu pascamoden bermula), kepada idealisme Foucault, Baudrillard, Derrida, Heidegger, dan pergerakan seni moden Picasso kepada Duchamp, Pollock dan Warhol, serta "Akhir Sejarah" Fukuyama kepada kepascaan 11/9 dan pascanya, buku ini cuba merangkul satu penafsiran yang bernas dan seimbang tentang pascamoden. Sebahagiannya boleh kita ikuti tetapi sebahagiannya masih tidak masuk akal dan memberi kita masa untuk "menghentamnya kembali". Pascamoden merupakan idea yang terhuyung-hayang, tetapi dalam masa yang sama tetap dinamis dalam sambil mengaitkan kewujudannya, semacam fizik kuantum. Ketidaktentuan ini berjaya disampaikan dalam buku ini, yang mungkin menyebabkan ketidaktentuan pembaca selepas membacanya.
Perkara-perkara menarik tentang buku ini adalah bagaimana ia mendasarkan ringkasan retrospektif kejadian yang berhubungkait dengan pascamoden, dan bagaimana realiti ini disampaikan dengan kemahuan atau ketidaksedaran manusia sekarang, dengan konsep globalisasi, similakrum, pemprosesan massa dan dengan kontreversi, kedatangan pengganas yang tidak diundang (buku ini menafsirkan pendapat Derrida bahawa pengganas merupakan cerminan atau "keinginan" pihak Amerika untuk "berlaku" terhadap mereka selepas perang dingin, "perang dunia ketiga yang maya" tamat).
Hal-hal ini sememangnya provokatif, dan kadang-kala bilazim (seperti intelektual ciptaan The Satanic Verses yang menolak "naratif agung" orang Islam terhadap sirah Rasulullah s.a.w.), kadang-kala bercampur (seni tidak lagi diiktiraf dari segi prestij atau jalanan, dan masalah kapitalisme dalam hal ini juga dinyatakan) menyatakan dengan betul kenapa orang menyukai dan membenci pascamoden sekali gus.
Walaupun mungkin buku ini tidak dapat menyatakan dengan sepenuhnya tentang pascamoden (seperti kegagalan memberi ruang suara feminis walaupun sengaja dinyatakan pada beberapa tempat), ianya sudah cukup untuk kita mengenali sedikit sebanyak tentang pascamoden, walaupun mungkin kita celaru apabila mengenalinya.

Sunday, June 21, 2009

Mampukah Kita 1 Malaysia?

Malam semalam saya melepak ramai-ramai di rumah kawan Cina saya di Subang Jaya. Kami sedang (atau dia dan kawan-kawannya) menonton Astro Star Search di siaran program Cina Astro. Untuk makluman, program ini sudah berkumandang lebih lama daripada Akademi Fantasia. Saya bertanya banyak perkara kepadanya sambil menonton siaran pertandingan pencarian bakat itu. Antaranya ialah, saya dapati kebanyakan pencipta lagu dari Malaysia (yang sudah tentu Cina Malaysia) yang mencipta nama di Taiwan, dan berjaya merangkul anugerah prestij di Taiwan atau Hong Kong sebagai pencipta lagu, jarang sekali dikenali oleh rakan-rakan kaum lain di Malaysia. Kawan saya dengan naif menyatakan, "Adalah, tersebar dalam akhbar Cina!" Saya protes, "Ya, tapi bukan dalam akhbar Inggeris, Melayu ataupun Tamil!" Kawan saya terdiam. Saya persoalkan lagi, kenapa perlunya "perpecahan" antara pengiktirafan atau kesungguhan kaum lain di dunia luar Malaysia dinyatakan dan hanya tertumpu pada satu-satu "media" sahaja. Bagaimana orang Malaysia lain tidak dapat "berkongsi" kejayaan itu (selain yang tipikal nasional seperti sukan, filem dan pembelajaran) jika ianya tertumpu untuk disampaikan hanya buat kaum itu sahaja. Apa salahnya kita tahu, seperti yang sedang berlaku di TV3 dan TV2 di mana beberapa program Tamil/Cina yang melangkau sempadan, memaparkan orang Kita (baik Melayu/Cina/India) yang mengembara negara-negara lain dan mengenali budaya mereka, drama Cina berbahasa Melayu, sepertimana sebuah siaran program tempatan Tamil di mana seorang India tempatan jalan-jalan cari makan di kawasan selatan India di TV3. Siaran Astro itu pun tidak ada satu sari kata Melayu langsung, bagaimana kita mahu tahu, dan kenal lagi tentang kawan-kawan kita dan budaya mereka?

Monday, June 15, 2009

The Harmony Silk Factory: Pecahan-pecahan Mitos Mencipta Makna


Tajuk: The Harmony Silk Factory
Oleh: Tash Aw
Terbitan: Harper Perennial
Tahun: 2005

Sinopsis:
Ini sebuah kisah Johnny Lim, seorang usahawan kain, samseng dan pencipta Mesin Todi Yang Menakjubkan, serta kisah perkahwinannya dengan Snow Soong. Pada 1940, sewaktu Jepun bersedia menduduki Tanah Melayu, Johnny dan Snow memulakan sebuah pengembaraan bulan madu mereka ke Pulau Dara Tujuh yang misteri, ditemani oleh seorang profesor Jepun, dan Peter Wormwood, seorang lelaki Inggeris yang menjelajah tanah Asia tanpa hala tuju. Beberapa tahun kemudiannya, Wormwood mengimbas kembali pengembaraan yang dilaluinya, sedang anak tunggal Snow menjejak kebenaran ibunya serta ayah kandungnya yang amat dikagumi dan dibenci oleh orang ramai.

Rasa:
Tash Aw merupakan satu-satunya penulis fiksyen Malaysia (yang sudah lama menetap di England) dalam bahasa Inggeris yang berjaya mengecapi pengiktirafan antarabangsa (mengikut sekumpulan penulis perantau negara India dan China), dan amat membanggakan, novel sulungnya mendapat pengiktirafan sebegitu tinggi. Sememangnya saya kira Aw adalah inspirasi buat semua penulis Malaysia bahawa tidak ada sempadan yang tidak boleh kita rintangi. Permulaan Aw membuka peluang buat novel-novel Malaysia diperlihat oleh orang luar, yang kemungkinan membuka peluang untuk penterjemahan lebih banyak novel Melayu/Cina/India tempatan ke bahasa-bahasa asing buat pasaran seluruh dunia sepertimana yang berlaku terhadap beberapa negara.

Secara umum, saya menyukai novel sulung anak kelahiran Taipei ini. Rekonstruksi demi rekonstruksi budaya berlaku, walaupun mungkin agak "kurang ajar" (beberapa mitos Malaysia dicampur aduk atau dibengkokkan, seperti keris Hang Jebat, Bintang Tiga, orang Melayu dan beberapa legenda/mitos lain), tetapi perlu dalam konteks cerita (kita membaca sebuah cerita yang "dibuat-buat" - mengambil semangat naratif tukang karut, dengan soalan: apakah yang kita dengar/baca itu betul-betul pernah berlaku?) Pergerakannya atau persoalan utamanya terletak dalam hal misteri eksotik (pengembaaraan Snow dan Johnny, perjalanan Peter Wormwood) serta pencarian identiti (seperti mana kebanyakan novel Malaysia "pasca kolonial" baru-baru ini) yang berlaku dalam suara pencerita "anak" si samseng Johnny Lim "yang pelik". Segalanya di mata pencerita tampak terasing dari tempat yang di kelilinginya, mengambil semangat keterasingan pihak luar (penjajah) memahami jiwa tanah yang diduduki juga keterasingan anak Malaysia yang sudah lama tidak mengunjungi tanahnya (seperti Tash Aw) dan cuba memahaminya.

Percubaan memahami ini yang dicurahkan dan dilakukan dalam bentuk fragmen (tiga bahagian) di dalam novel, di mana kita dapat membaca suara anak Johnny, kemudian Snow dan akhirnya Peter Wormwood. Saya mendapati hal ini ada persamaan dengan Bedar Sukma Bisu dalam eksplorasi pencarian "jiwa" atau roh tanah yang dipijak. Jika dalam Bedar, Faisal mengikat mitos, dunia mistik dan rekonstruksi sejarah dengan individu-individu di sebuah pulau dengan amanat "yang lurus" untuk benar-benar memahami "jiwa" tanah yang dipijak, Tash lebih cenderung mencelarukan "sejarah" kelahiran anak Johnny sebagai simbolisme kecelaruan kemerdekaan Malaysia lalu anak ini (kita?) perlu mencari jawapan tentang ayahnya dan kelahirannya. Saya menyukai struktur plot Faisal yang membentuk ceritanya seperti sebiji epal yang dikupas dan dikupas untuk menjumpai "biji"nya sedang bijinya sudah tersedia diketahui sedari awal (plot awal), semacam satu buku yang tiada awal dan akhir. Sedang Tash membentuk sesuatu cerita seperti yang dibuat oleh Micheal Odjante dalam The English Patient di mana fragmen-frgamen cerita yang keterasingan antara satu sama lain membentuk satu "teka-teki" yang penuh. Malang bagi Aw, Odjante "mencantumkan" cerita-ceritanya dengan bahasa lirikal yang mantap. Aw tidak mempunyai kekuatan itu. Lalu kadang-kadang pergerakan cerita daris atu bahagian ke bahagian lain tampak sedikit tidak bertempat, kaku dan "dingin" untuk dimesrai pembaca. Kadang-kadang kita "penat" membacanya. Hanya bahagian awal, penceritaan oleh anak Johnny yang bergerak menarik (diisi dengan analogi dan "tall tales" tentang ayahnya), serta halaman-halaman terakhir sewaktu Peter mula menunjukkan tanda-tanda nyanyuknya.

Semenangnya ini ialah cabaran Aw kepada pembaca. Sebenarnya novel ini perlu dibaca sekurang-kurangnya dua kali. Ini adalah kerana Aw, bukan seperti Faisal, langsung tidak menyimpan kod-kod tertentu untuk kita membuka "rahsia" yang tidak dinyatakan dalam novel ini (tetapi sangat jelas untuk kita ketahui), malah fragmen antara bahagian itu disengajakan untuk kita "tidak tenteram" memahami apa yang Aw hendak bawakan kepada kita. Hanya apabila kita sedar, membaca sesuatu yang tidak tertulis dan tidak dinyatakan untuk mengikat apa yang tidak tertulis dalam teks, kita sedar tujuan Aw yang sebenar. Ada yang melihat perkara ini sebagai genius, ada yang tidak.

Pun begitu, novel sulung Aw memang memenuhi semangat misteri yang selalu kita cari dalam mana-mana novel yang mengajak kita mengembara di dalamnya. Saya amat menyukai 100 halaman pertama novel ini yang berjalan sangat laju, mengujakan dan tidak pernah tidak merasa resah (cipta/reka mitos Johnny Lim). Aw mempunyai kekuatan untuk "disattach" dirinya daripada watak ciptaannya, maka watak-watak dalam novelnya semacam "hidup kendiri" - dengan penting lagi untuk mereka (watak-watak) melakukan apa yang mereka lakukan tanpa ada nukilan keterlebihan emosi yang terlalu (kadang-kadang memaparkan watak-watak ciptaan Aw agak dingin) oleh penulis. Keindahan Aw ialah dalam penciptaan dunia eksotik Tanah Melayu yang mengkagumkan atau menjijikkan orang luar yang melihatnya.

Saya menunggu untuk membaca novel kedua beliau. Tetapi buat masa ini, saya berpuas hati membaca sebuah novel Malaysia yang sudah diiktiraf di latar antarabangsa.

Wednesday, June 10, 2009

Bedar Sukma Bisu: Bukan Karya Yang Bisu

Tajuk: Bedar Sukma Bisu
Oleh: Faisal Tehrani
Terbitan: Dewan Bahasa dan Pustaka
Tahun: 2007

Tajuk Terjemahan: The Prau With The Silent Soul
Terjemahan: Zawiyah Baba
Terbitan: Institut Terjemahan Negara Malaysia
Tahun: 2009

Sinopsis:
Kisah disampaikan dengan membuka dan menyingkap masa lampau, semasa, serta masa depan sebuah dinasti pembina bedar (kapal) di Pulau Sukma apabila Haiqal, anak Wefada terjerat dalam arus konflik lautan dan ribut yang bergelora. Di sini kita akan dikenalkan dengan kecekalan Wefada serta rahsia Pulau Sukma, Ben Qortubi dan mengapa Bedar Sukma Bisu menjadi semangat intim yang menggerak Wefada dan orang-orang yang disayanginya, baik yang masih berjalan di atas semenanjung emas, atau yang sudah hilang mengikut alunan Bedar Sukma Bisu di tengah Laut Cina Selantan.

Rasa:
Saya menghabiskan sisa-sisa novel ini sewaktu kursus induksi saya di Sungai Congkak. Saya sudah membaca novel bahasa asalnya (Melayu) setahun yang lepas dan meneruskan bacaan terjemahannya selepas membelinya di Pesta Buku Antarabangsa KL 2009. Suatu perkara yang ingin saya katakan - jika keindahan yang saya dapat gamit dalam bahasa mudah yang diterjemahkan oleh Zawiyah Baba, novel ini sememangnya sebuah novel yang indah.

Ini adalah kerana, kadang-kadang bahasa asal apabila diterjemahkan, akan mematikan estetika bahasa serta stilistik yang diangkat oleh penulis asal. Tetapi terjemahan novel ini menunjukkan, walaupun amat mudah membacanya, sentuhan dan rasa indah terimbau dalam novel ini. Bayangkan jika anda membaca novel bahasa asalnya, berlipat ganda lirikal prosa yang ditampilkan oleh Faisal Tehrani kali ini.

Beberapa hal sebelum saya teruskan, saya amat mengkagumi dan bersyukur bahawa ITNM sudah mula berusaha menterjemah novel kita ke bahasa asing. Tetapi kemungkinan kerana mengejar masa, ada beberapa kesalahan ejaan yang dijumpai di dalam novel ini, mencacatkan sedikit persembahan novel ini kepada pembaca. Sila lihat sahaja blurb di kulit belakang apabila tertulis, "The prau with the silent soul is certain to stir the reader's emations".

Hal sebegitu diharap tidak mencacatkan minat para pembaca Inggeris untuk mengupas emosi dan semangat novel kemenangan Faisal ini oleh sebab banyak "rasa" dan "fikiran" yang menarik disampaikan oleh penulis.

Seperti saya, selepas selesai membaca novel ini, saya menganggap novel ini merupakan sebuah novel yang menggunakan ciri-ciri realisme magis Melayu yang pertama kali berjaya direalisasikan oleh seorang penulis Melayu (maaf, bukan Hujan Pagi). Sememangnya novel ini diulit dengan kemistikan dan mitologi Melayu dan Islam yang sehaluan pekembangan kemodenan dan pembangunan masyarakat setempat. Hal ini perlu dalam mengupas rahsia plot di dalam novel yang kompleks ini yang terikat kepada persoalan warisan dan akar umbi jati diri Melayu, lalu disulam dengan hal-hal "semasa" iaitu perniagaan, pendidikan, teknologi, psikologi dan pencambahan manusia Melayu dengan budaya asing yang mendepani mereka.

Sememangnya "isi" novel ini tidak boleh dibuat main-main, tetapi syukur saya titipkan, perjalanan saya menyelusuri separuh daripada novel ini adalah satu pengalaman santai-santai seakan naik di atas sebuah perahu yang sedang melintas samudera. Ini adalah kerana pemilihan Faisal untuk memperkenalkan watak-watak utamanya dengan perlahan, teliti serta melafazkan isi sukma tersendiri dengan konflik kekeluargaan masing-masing, baik dari sejarah (Penjajahan Jepun) atau politik keluarga.

Saya tercuit akan hal Faisal memilih bedar, atau "prahu" sebagai "alat kominikasi" antara watak dan pembaca dalam novel ini. Perahu ini bolehlah diambil simbolisme "perahu" dalam syair Hamzah Fansuri yang berkait dengan tasawuf. Faisal sekarang menebarkan hal-hal yang berkenaan dengan kejiwaan Melayu dan apa yang membuat jiwa Melayu itu bergelora, tangkas dan bisu. Ini dipercantikkan lagi dengan elemen Ben Qortubi yang "sama-sama" menyelami "peradaban" dan "jiwa" orang Melayu dengan mengenali dan seterusnya membangunkan dinasti pembikinan bedar Melayu (yang boleh kita lihat, Faisal merujuk pertukangan kapal di Pulau Duyung, Terengganu). Segala hal-hal "sejarah" yang Faisal gerakkan dalam cerita ini sebenarnya membuka lampiran kedatangan dan perkembangan Islam dan ketamadunan Melayu itu sendiri di tanah semenanjung "emas". Faisal juga menampilkan bagaimana "Melaka tidak dibina dalam satu hari" serta bagaimana ketamadunan yang dicapai oleh orang Melayu itu datang sejujur-jujurnya daripada jiwa yang berpegang kepada kebenaran Quran dan Sunnah, dan hal-hal ini yang disampaikan, direalisasikan ke dalam bentuk ukiran, pertukangan dan pelbagai lagi "kepakaran" orang Melayu waktu itu.

Dengan semangat optimis dan sedikit utopia ini, dinasti keluarga Wefada, dengan kebenaran syariat, makrifat dan hakikat telah menyusun ke dalam hal-hal pengurusan perniagaannya serta kajian akademiknya, satu idealisme Faisal bahawa Islam menyerapi dan merumpun (malah sudah lama ada pun) dalam setiap hal-hal kebendaan manusia Melayu, lalu dengan kesungguhan "amali" ini, membawa "syarikat keluarga"nya dan dirinya kepada kejayaan. Tetapi dalam setiap kejayaan itu, Faisal imbangi dengan tragedi-tragedi dan konflik-konflik yang berlegar dalam dunia keluarga dan perniagaan Wefada. Hal ini sangat menarik untuk dikupas, kerana untuk pertama kalinya saya membaca watak-watak Faisal yang benar-benar manusia (walaupun berideal tinggi), yang tahu jerih dan perih, serta ada kelemahannya malah memaparkan sisi-sisi seksual yang tidak melampau ("tanter girang") yang saya kira amat bersesuaian dengan psikologi perwatakan tokoh.

Saya juga menyedari, inilah novel Faisal yang paling "mainstream" oleh sebab semangat protes dan kontreversi yang selalu diangkat oleh Faisal agak berkurangan atau "bisu" dalam novel ini, kemungkinan kerana mengikut syarat peraturan pertandingan DBP. Siap dengan promosi Malaysia yang mencapai piawai Kementerian Pelancongan:

"It would be really good if you went to Malaysia. It is heaven for foreign students and the Malaysians have put into practice an Islamic financial system which is very progressive. If you study carefully what is proposed by Malaysia, I think you'll find it truly amazing. You can study for example ..."
(hlm. 158, baris 4, novel terjemahan)

Malah novel ini sememangnya sebuah novel pro-kerajaan yang lunak, membelai setiap dasar-dasar kerajaan malah menambah nilai dasar-dasar itu dengan idea-idea kreatif lanjutan yang Islamis. Sebenarnya buat saya, paparan yang agak akademik ini, yang mula berlaku pada bab ketiga dan seterusnya apabila Wefada ingin menerangkan idea-idea bernasnya, ia semacam menjadi satu makalah sarjana mini yang agak rimas untuk dibaca, yang "memperlahankan" tempo pembacaan dan keseronokan kita yang telah mengikuti perkembagan cerita tokoh-tokoh dalam novel ini.

Apa-apa pun, novel ini merupakan novel terindah Faisal, penuh dengan kuasa-kuasa mencetus perasaan, menyerap jiwa untuk Wefada meneruskan perjalanan getirnya dalam hidup. Ianya sememangnya sebuah novel yang bermula dengan mimpi dan berakhir dengan mimpi.

Friday, June 5, 2009

Buat Allahyarham S. Othman Kelantan




Apabila seorang sasterawan meninggalkan kita
dan mula mengembara ke khaliqnya,
sekumpulan burung swan akan menciap-ciap
lagu gelincir bulan
sambil mengayuh kepaknya meninggalkan alam,
mencecah jari-jari matahari.

Swan itu mengerti
sasterawan perlu kembali
ke alam asalnya,
tetapi merintih
kehilangan peradaban dunia.
(1/8/08)

Selibasi


Ditoksikasi
Runut raga
Sistem selam
tubuh-tubuh telanjang
dalam
garis-garis kepala

Peritnya
Malaikat Maut
menyeringai
ekornya
menyedut
pundi-pundi
teknologi
eruptasi.
(30/7/08)

Lacrimarum


Masa untuk mati sayang,

Saat Sangkakala meniup semboyannya,
Malaikat Maut mengibar
dalam nano hiper saat
memeluk Iblis

Iblis menangis ...
tidak ada anak Adam lagi
hilang sesat di tengah hutan.

Lalu roh Iblis dicabut
sakitnya –
sakit setiap hancur pilu seksa anak Adam.
Dan hanya Iblis yang dapat kendong.
(22/8/08)

Thursday, June 4, 2009

Sindiket Sol-Jah ke Kelantan

Lalu mereka pun berhimpun menemui Buddha di bawah
pohon Bodhi.

Begini caranya nak memasyarakatkan sastera kita dik!

Malam tu, tayangan filem berkait dengan Opera Cina,
boleh?


Gambar eksklusif Bang Naga!


Malaysia tak terbina dalam 1 hari bang!
Apa-apa pun,
Hari itu merupakan hari yang paling menggembirakan saya
walaupun keesokannya saya terpaksa melapor diri ke Sungai Congkak pula!

Gegambar Kelantan


Kelainan saya dan Pak Wadi Leta mungkin hanya
satu, saya tidak pandai berpuisi seperti beliau,
tetapi beliau seperti saya, tak boleh memandu :)



Do not weep for me,
for I am not gone, but live
to tell tales about u
my friend.