Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Tuesday, April 29, 2008

Wawancara Astro Awani






Ketua Editor Alaf21, Kak Wan mengejutkan saya. Dia kata, esok (30 April) saya perlu ke Awani untuk ditemu ramah pada 11:45pagi tentang novel terbaharu saya, SAGA HORIZON. Alangkah berdebarnya saya!

Sedikit gambar sewaktu di sana:



Di bilik menunggu.
Bersama ibu, bergambar di luar setelah selesai azab rakaman.




1. Parkir Wisma Bursa Saham di Jalan Raja Chulan sangat mengerikan.

2. Saya ke sana bersama ibu, emm, ya, saya tak memandu ...

3. Saya nak sangat bergambar bersama Dang Suria, tetapi gubra semacam, bila habis sessi rakaman terus lari ke pintu.. aduh...

4. Dang Suria cool dan profesional. Memang hebatlah. Patut boleh sebaris Larry King kalau dia mahu (bukan Oprah ya).

5. Fiza, pengendali(?) rancangan WW memang baik hati. Terima kasih buat dia kerana menjaga ibu saya dengan baik (saya takpe).

6. Pertama kali kena touch-up untuk rakaman. Dulu sewaktu saya masuk rakaman rancangan Shortcuts arahan Amir Muhammad tak ada mekap-mekap ni. Huhu, rasa ngeri bila kena mekap. Tetapi rupanya, penyampai berita Astro Atma sang lelaki tu pun bermekap. Patutlah wajah deme sentiasa berseri-seri depan kamero, ohhhh...

7. Apa yang kita lihat di TV tak semestinya benar dalam realiti. Yang pendek jadi tinggi! Itu satu perkara menarik yang saya perhatikan di studio rakaman sewaktu itu.

8. Sekali lagi, mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Kak Wan kerana memberi peluang, kepada Fiza dengan layanan baik, kepada Dang Suria kerana kelancarannya, dan ibu kerana membantu saya ke sana :)

Sunday, April 27, 2008

PERHATIAN: Memohon Bantuan



Salam semua,


Saya dalam proses menghasilkan novel fiksyen sains yang seterusnya. Saya mempunyai satu masalah besar, iaitu, saya tidak ada pengetahuan sejarah/latar/sosio budaya Kampung Kota dan Beruas (kawasan yang dipanggil Belukar Sambang). Dengan itu, saya harap ada yang dapat menolong saya dalam:

1. Memberi saya tempat tinggal untuk beberapa hari di Kampung Kota dan Beruas untuk kajian saya selama di sana.

2. Memberi saya kemudahan pengangkutan kerana saya tidak boleh memandu.

Di harap ada yang sudi menolong. Buat duit biayaan, kita boleh rundingkan. Emelkan kepada: fadliakiti@gmail.com

Wednesday, April 23, 2008

Bacaan Naskhah Hikayat Nakhoda Muda

Kultus Taburan Bunga sebelum majlis bermula.
Satu budaya unik!

Peserta pertama yang berjaya menambat hati saya untuk terus kekal di tempat duduk serta benar-benar menghayati naskhah klasik ini. Pembukaannya benar-benar menggetar jiwa dan saya percaya ramai yang terdiam dengan 'penceritaan'nya.


Em, saya suka kat awek ni ...


Peserta paling menarik pagi itu. Bro yang paling selamba dan sporting.
Pakai baju kerja lagi! Tapi saya tertarik dengan tali lehernya.


Tai dolar Amerika!
Kau dapat tangkap 'pun'nya?


Antara peserta terbaik pagi itu, dan memang pun,
dapat tempat kedua. Sangat menghiburkan.



Peserta V mengayun suara sambil
mengayun tangan.


Nenek bersimpuh sambil membaca.
Spek mata asli ke nek?

Peserta X menarik perhatian penonton.


Tuan Pengerusi yang bijak memberi
bimbingan kepada penonton tentang jalan cerita hikayat yang dibaca.

Pentas berbentuk pelamin, menarik!
Rasa seakan 'raja sehari' untuk sehari.



Saya berada di sini semalam.
Terus terang majlis ini memberi sesuatu buat saya dan tidak pernah saya rasakan, bagaimana Tok Selampit atau Tukang Cerita bercerita. Majlis bacaan naskhah klasik Melayu ini boleh menjadi satu acara kultus (cult) yang menarik diikuti oleh orang Malaysia. Penyampaian, aturcara dan peserta yang memasukinya sendiri sudah berjaya mencipta satu aura 'kelainan' dalam memahami penceritaan, teks lama serta proses mendengar kisah-kisah lama Melayu (dan jangan terkejut, cerita yang disampaikan sebuah cerita 'cross dressing' setaraf komedi Shakespeare!). Acara siram bunga melur(?), dengan perkakas seakan mahu masuk meminang serta bunga dan daun serai membawa satu dunia mistikal kepada penonton. Saya seakan dalam dunia kayangan, dunia mistikal Melayu. Saya seakan mahu bergurindam panjang dan bertutur "ewah" jika pencerita berjaya menarik perhatian saya.
Hanya mungkin, majlis berjalan terlalu panjang buat saya (satu petanda baik sebenarnya kerana memaparkan ramai peserta, dan mengejutkan ramai orang muda yang sanggup menyertai dunia mistikal ini yang mungkin sudah lama ditelan zaman). Kalau boleh, eloklah ada sessi saringan di mana perserta untuk majlis itu dipilih (dibuka untuk tontonan orang ramai). Saya percaya, lebih ramai yang tahu tentang majlis ini, lebih ramai yang tertarik mahu jadi pendengar/pencerita.
Bayan ada melaporkan tentang majlis ini dengan lebih terperinci:
http://psittacula.wordpress.com/2008/04/24/baca-naskhah-dan-erti-kepuasan/
Hanya saya terkilan, peserta yang benar-benar menambat hati saya hanya mendapat hadiah sagu hati kerana 'tidak mengikut gaya pencerita zaman dahulu'. Saya percaya para ketulenan (purist) tetapi saya juga percaya pada perubahan, improvisi dalam proses penyampaian (lebih-lebih lagi khalayak sekarang sudah berubah mentaliti dan budaya mereka) cerita. Persoalan bahawa Tukang Karut bercerita pada orang istana atau rakyat mahu berperang (ingat, konteks cerita Nakhoda Muda yang dibaca lebih sesuai buat orang istana atau rakyat biasa yang hanya mahu berhibur lalu ambil manfaat, bukan mahu berperang) memang benar dari segi sejarah, tetapi:

1) rujukan sumber pertama kita hanya terhad pada beberapa pencerita yang masih hidup, yang mana gaya mereka yang diikuti pencerita sekarang (yang mengikut tradisinya), yang tak mungkin merangkumi kumpulan pencerita lain yang mempunyai pelbagai lagi gaya penceritaan pada masa dahulu

2) tidak mungkin pencerita pada masa dahulu mengikut satu mazhab sahaja (mengikut tema cerita) dan menarik perhatian dengan gerak laku dan suara, mesti ada yang bersikap serius bila bercerita, bernazam dari awal hingga akhir atau pelbagai lagi yang mungkin tidak kita ketahui.

Saya tidak menolak 'traditionalist', malah ia satu alat yang perlu DIPELAJARI dahulu oleh peserta sebelum improvisi, tetapi saya tidak menolak pencambahan gaya lakonan teater moden buat penonton sekarang yang lebih sofistikated. Ini kena dengan seorang Tok Dalang wayang kulit yang saya kenal, mengatakan perlunya percubaan 'baharu' dalam penceritaan supaya menarik perhatian penonton sekarang yang memahami budaya 'sekarang'. Mungkin tidak perlulah ditekankan sangat, tetapi perlu memberi ruang pada mereka yang sanggup bereksperimen dan menunjukkan kelainan.
Apa-apa pun, saya tentu akan mengikuti majlis bacaan ini pada tahun hadapan. Ini adalah kerana peserta 'juara' dan 'naib juara' sudah membentuk 'pengikut'nya, sebagaimana bila seorang petinju terkenal akan beradu tenaga dan diikuti oleh pengikutnya. Melihat dinamisme ini, baik daripada penyampain peserta, reaksi penonton adalah satu yang sangat memikat.

Sunday, April 20, 2008

Opera Angkasa


Tajuk: Opera Angkasa
Oleh: Nazri M. Anuar
Terbitan: PTS
Tahun: 2007

Sinopsis:
Arman dan krew kapal angkasa Rajawali menjalankan khidmat pengangkutan kargo antara planet. Polisi mereka mudah: anda bayar, kami angkut. Tiada sebarang soalan ditanya. Suatu hari, mereka menerima tugasan yang disangka mudah. Tugas mereka: membawa pulang Faridah Hanum, anak saudara seorang senator yang pulang bercuti.

Namun ketika menjalankan tugas itu, mereka dikejar oleh pelbagai pihak termasuk lanun angkasa, pemburu upahan dan anggota kerajaan yang korup. Rupa-rupanya Faridah Hanum bukan gadis biasa. Gadis itu menjadi buruan kerana mewarisi kalung Raja Bersiung, salah satu daripada ‘empat Pusaka Kemusnahan’. Kalung itu adalah kunci yang mengaktifkan tujuh armada di tujuh galaksi. Sesiapa yang memilikinya dapat menguasai alam semesta.

Rasa:
Tahun ini merupakan tahun kebangkitan novel fiksyen sains dan fantasi. Antara yang mendahului adalah novel ini (sebenarnya novel Nuriazam Ismail, Sindrom VX mendahului buat terbitan PTS, selepas dua novel anugerah Dr. Zaki, novel Rahmat Haroun Fitrah Kimiawi dan novel kontreversi Kombat Faisal Tehrani) yang terbit hujung tahun lepas.

Opera Angkasa baik dijadikan novel 'suam-suam kuku' para pembaca yang baharu mula mengenal novel fiksyen sains, kerana elemen Opera Angkasa lebih sai-fai (walaupun beberapa perkara dalam novel ini menghunus kepada sains, latar luasnya bersignifikan pada advencer, bermakna, jika dibuang elemen-elemen sejarah dan fungsi teknologi angkasa, cerita advencer ini boleh sahaja dimuatkan dalam mana-mana latar alam, baik fantasi atau realiti. Pun begitu, pembaca akan terkejut dengan 'sejarah alternatif' masa hadapan serta budaya dan bahasa yang dicipta dalam novel ini, yang merupakan kekuatan 'tambahan' dalam menghidupkan latar dan ruang mileu cerita, geh!) dan menggunakan bahasa yang senang difahami. Paling penting, novel ini sangat menghiburkan, dari awal hingga ke akhir. Selepas habis sahaja membaca novel ini, saya memberi satu kredit pengalaman terhadap novel ini: "It's a joyride!"

Novel kedua Nazri ini sememangnya penuh dengan keseronokan, sangat sesuai dibaca oleh pelbagai usia. Ya, Nazri menunjukkan satu cara bagaimana novel yang kebiasaannya diiktiraf khas buat kanak-kanak juga akan 'menghiburkan' para dewasa yang mahu mencari bulan-bulan dan planet-planet. Beginilah novel kanak-kanak/remaja yang sepatutnya ditulis, boleh dibaca oleh kedua-dua golongan, seperti novel Harry Potter. Apa yang menjadi resepi berjaya Nazri ialah menjalinkan mekanisme keterujaan menggerak cerita dan daya tarikan pada setiap pergerakan aksi dan wataknya, suatu kebiasaan yang dibuat oleh penulis kanak-kanak Inggeris dalam 'menggerakkan' keseronokan pembaca muda.

Kuasa kedua Nazri terletak dalam melakarkan watak-watak yang warna-warni, walaupun karikatur tetapi memberi pendapat bahawa pembaca harus merasa 'terikat' akan watak-watak ini. Membuat kita 'sayang' dan senang mengiktiraf keberadaan watak. Kuasa sebegini ada dalam tulisan Charles Dickens dalam menggambarkan perwatakan, sifat, dan aksi sebuah watak dalam novelnya. Kita sedar, Nazri di sini lebih mengeksplotasi plot dan watak yang (nyaris saduran) dekat menghomaj Firefly, drama siri advencer koboi Joss Whedon. Tetapi dengan dialog-dialog mencuit hati (walaupun buat pembaca yang serius) yang diguna oleh Nazri, budaya dalam lingkungan cerita (lebih-lebih lagi Bumi Baharu dan madrasah Tuan Guru, Faridah Hanom) serta ketentuan Nazri yang pasti terhadap lukisan watak-wataknya yang terjaga teliti kesinambungan psikologi, sejarah dan pilihan mereka, novel ini sememangnya patut dijadikan filem sahaja kerana keberkesannya dalam setiap konflik dan aksi.

Walaupun tampak menghiburkan, novel ini tetap mempunyai semangat yang sarwajagat, lebih-lebih lagi tentang manusianya. Nazri mementingkan kemanusiaan dan sifat optimisme dalam moral manusia (secara moral, manusia akan memilih jalan yang baik walaupun ketidaksedarannya mengatakan yang sebaliknya). Nazri melakar satu semangat biasa yang perlu dipupuk buat kanak-kanak, bahawa kemanusiaan dan kasih-sayang sesama manusia sentiasa wujud dan bergerak dalam pelbagai zaman, ia tidak pernah berubah. Dari seorang individu sehinggalah sebuah kumpulan. Watak-watak Nazri pasti dengan ketentuan hidup, bersemangat menghadapinya, walaupun pada masa-masa susah. Memaparkan romantisme Nazri kuat, sekuat mana-mana idealis yang positif terhadap kewujudan dan ketentuan manusia. Ini dipaparkan secara tersirat dalam hati Arman yang menghafal sajak Siti Zaleha Hashim tentang bulan, menggambarkan 'bulan' itu dekat di dalam hati dan fikirannya (kita boleh pergi ke mana-mana jika kita mempunyai imaginasi, iman dan tekad yang kuat) walaupun ia jauh di mata. Kuasa romantisme ini kuat dalam novel ini, tetapi tidak digambarkan dengan terlalu atau merosakkan jalan cerita.

Nazri juga permainkan elemen yang biasa dibikin oleh para sasterawan sekarang iaitu Occidentalisme serta intertekstualiti (atau homaj) terhadap karya 'klasik'. Mungkin garapan yang dibuat oleh Nazri lebih dianggap main-main, tetapi ia wajar dan kena terhadap fungsi cerita. Persoalan 'Melaka mengalahkan Portugis', Bahasa Melayu menjadi lingua franca sarwajagat, matawang RM dalam urusan jual beli angkasa raya dan pelbagai perkara lain lagi, secara tersiratnya mempunyai sindiran pasca kolonial yang lembut, meletakkan sepatu para dijajah kepada sepatu si penjajah (adakah dengan kita menjajah, merubah persepsi kita terhadap yang dijajah?). Tetapi elemen ini pun (dengan logiknya) dibohongi dengan lapisan yang kuat dengan kemunculan 'kuasa penjajah' dari luar yang lebih kuat daripada orang bumi, menjadikan pernyataan sindir ini kepada satu yang melangkau 'mockery' tetapi pembuakan perjalanan sejarah yang bergerak dengan ketidakketentuan yang lebih nyata (bahawa sejarah ini tidak nyata sifatnya, kitarannya tidak sama, elemen kegemilangannya berubah; walaupun secara saintifik, teori kuasa itu masih sama). Misteri kompleks ini tentang alam kosmo ciptaan Nazri dicipta dengan teliti dan empati.

Opera Angkasa sebuah karya yang tidak akan merugikan, baik kepada pembaca yang hanya mahu membaca suatu hasil hiburan kerana gaya "page turner"nya, juga kepada pembaca yang ingin mencari satu kelainan dalam sastera. Ia sebuah "joyride" buat kedua-duanya.

Wednesday, April 16, 2008

Sai Fai Sastera

Semalam, saya di The Curve untuk jemputan tayangan filem LOVE di Cineleisure buat para wartawan dan bloggers. Saya terjumpa Opera Angkasa di rak tersebut di Borders.



Opera Angkasa = Sai Fai = Sastera (juga novel Allahyarham Panah Arjuna yang berkonsepkan purbakala itu). Saya sangat iri hati. Syabas Nazri.

Sunday, April 13, 2008

Lepas Geram di Pesta Buku

Salam,

Selesainya Pesta Buku KL di PWTC semalam. Apa yang nak saya ungkapkan?
:)
Pagi semalam saya begitu berdebar-debar, iyelah, secara impromptu, Kak Wan, Ketua Editor Alaf21 meminta saya 'lepak-lepak' di Geraf Alaf21 untuk sessi tanda tangan dan ketemu pembaca novel terbaharu saya terbitan Alaf21, serta menemui peminat novel Alaf 21. Bayangkan! Sampai ayah saya yang menghantar saya pun nampak, "You look sooo excited!" Memang tak senang duduk pagi semalam!

Sampai-sampai sahaja di gerai Alaf pada 9:20 pagi, saya dah tak sabar-sabar nak duduk. Kak Wan tersenyum, lalu minta saya duduk, siap pesan, "Jangan lari.". Novel-novel SAGA HORIZON yang tertinggal beberapa (ada rupanya) di rak lalu diletakkan di meja. Melihat novel-novel itu, saya sedikit terkilan. Pada Sabtu sebelumnya, Azian, Reza dan Sardah Appalasamy, ketiga-tiga kawan saya, cuba mencari novel itu di gerai Alaf 21, tapi tak jumpa. Saya masih boleh ingat wajah Azian yang hampa "Dah cari kat atas, tak ada!" Saya harap, Azian terjumpa juga novel itu selepas meninggalkan saya di gerai saya bertugas Sabtu itu.

Pagi itu, Kakak (bukan: Maharani!) Aisya Sofea sampai, serta Damya Hanna (namanya sangat farang! Dan oh ya, dia sangat baik hati orangnya), duduk berserta saya di meja tengah. Rasa teruja sebab duduk dengan 'selebriti' Alaf 21 (dan di situ saya lihat kehebatan novel cinta menandingi novel genre lain). Kemudian, Kak Norzailina Nordin, selebriti chef serta penulis tersohor Alaf (dengan novel-novel terkenal Permata Hatiku, Zuriat, Arjuna Hati, Impian Terindah, dll.) duduk di sebelah saya. Secara serius, dek kehadiran Kak Norzailina yang rendah diri, baik, imformatif, membimbing, serta berkongsi kek 'resepi rahsia'nya, saya tidaklah terasa bosan dan gelabah. Malah, sepanjang saya 'lepak-lepak' di Gerai Alaf, keseronokan saya menjadi-jadi kerana berbual dengan Kak Norzailina.

Jadi, pagi itu, mulalah orang berkunjung beli dan ketemu novelis. Masa itulah, hati berdebar saya naik ke tahap maksimum, rasa macam nak pengsan saja! Sememangnya Aisya, Damya dan Norzailina yang senior menunjukkan keselambaan mereka melayan peminat.

Kemudian, ada seorang adik perempuan yang comel lote datang, pembaca pertama novel saya yang meminta saya tanda tangan (thanx cute sis, will never forget your face!). Kerana rasa teruja saya sudah tahap melampau, saya meminta mengambil gambar bersamanya:


Bart Simpson & The Cute Girl

Kemudian, kawan-kawan datang. Ketemu kawan-kawan lama, kawan-kawan penulis, kawan-kawan nak jadi penulis, kawan-kawan blogger, kawan-kawan penyunting, kawan-kawan Serunai Faqir, kawan-kawan Vovin, kawan-kawan sasterawan, kawan-kawan tempat sekerja, dan paling teruja, dapat ketemu kembali kawan lama saya Lina Azra dan ibunya (thanx Auntie!) yang datang ke Pesta Buku semata-mata mahu ketemu saya!


Lina Azra & Me

Dan sudah tentu, pengalaman yang paling berharga adalah ketemu pembaca-pembaca baharu yang akan mula menerjah novel SAGA HORIZON termasuk ahli Kelab Alaf 21. Tanpa sokongan mereka, tanpa kehadiran mereka, tanpa senyuman mereka, siapalah saya (ya, ia adalah klise yang benar dan hidup sepanjang mana-mana adanya perhubungan pembaca-penulis). Saya juga berharap, SAGA HORIZON akan memberi sesuatu kepada mereka, walau sekecil mana pun.

Oh ya. Satu lagi. Tenaga kerja Alaf 21, memang baguslah. Nama saja deme pakai tema pakaian 'bercuti', tapi dedikasi mereka, Ya Rabbi. Merekalah 'the true stars' Alaf 21, tak penat-penat melayan pengunjung dan penulis. Buat itu, saya tabik hormat spring pada mereka semua. Syabas!


(Some of) the dedicated superheroes.
Yes, one of them is the typesetter and designer
of my novel. Guess which one.

Berbalik pada Pesta Buku KL 2008, mengancam, menyeronokkan, memenatkan. Gembira sebenarnya, kerana nampaknya, orang Malaysia dah mula suka baca buku, dan bukan sahaja itu, suka baca buku Melayu! Dan lagi mengejutkan, walaupun pembeli novel saya, terdiri daripada kalangan lelaki (kebanyakannya adik sekolah menengah [dah tentu minta ibunya belikan], universiti [ya Iszmir, saya ingat anda], dan bekerja), ada juga yang terdiri daripada kalangan perempuan! Malah yang mengejutkan, kebanyakannya yang membeli adalah perempuan! Dan secara kekerapan, perempuan yang dalam lingkungan 19-28. Ini sesuatu yang sangat mengejutkan saya.

Beberapa perkara menarik tentang Pesta Buku KL kali ini:

- Konvensyen Komik PEKOMIK yang akhirnya berjaya juga menarik gergasi komik Gempak yang tidak pernah mahu mengenali Pesta Buku untuk turun padang. Dan ya, semua orang akan bercakap tentang bentangan lukisan terpanjang itu, tetapi buat saya, apa yang lagi mengujakan ialah bila pengunjung pelbagai umur dapat 'melihat' estetika dalam komik yang di pamerkan di tengah ruang legar selama 10 hari itu.

- Ya, saya beli banyak novel juga. Mama dah bilang, jangan semakkan bilik lagi. Tapi saya tak tertahan, lagi-lagi keluar dengan Azwan sang penyair urban tu (dia siap hadiahkan saya beberapa kerana saya sudah kesuntukan duit, itulah kawan sejati namanya!). Apa yang saya beli/dapat:
1. Majalah "Sight & Sound" (Mac 2007), BFi [Pemberian Azwan]
2. "Mencari Kanisah Yang Hilang" oleh Alias Jundullah, Pustaka Nusrullah
3. Majalah "Dewan Sastera" (April 2008), DBP
4. "Melah Melia 2" oleh Ainun Naufal, PTS [Pemberian Ainin Naufal]
5. "Lembah Angin" oleh Ahmad Mahzan, PTS
6. "Aweks KL" [Ya, Azwan ada di dalamnya]
7. "Takluk Jagat Bhg. 1: Bisikan Ariasha" oleh Zaki Zainol, PTS
8. "Arjuna Hati" oleh Norzailina Nordin, Alaf21
9. "Menanti Kasih" oleh Norzailina Nordin, Alaf21 [Pemberian Norzailina]
10. "Everville" oleh Clive Barker [Pemberian Azwan]
11. "The Inhuman Condition" oleh Clive Barker [Pemberian Azwan]
12. Mata Kucing oleh Nizam Zakaria, Marshall Cavendsih
13. "Ideas That Changed The World" oleh Felipe Fernandez-Armesto
14. "Antara Dendam dengan Perjuangan" oleh Ali Jusoh, DBP
15. "Spirits of the Dead - Tales & Poems" oleh Edgar Allan Poe
16. "Karya Nan Indah" oleh Faisal Tehrani [Pemberian Faisal]
17. Kamus Peribumi "Keris", DBP
18. "Urana Exham" oleh Kusyi Hirdan, PTS
19. "Introducing Heidegger" oleh Jeff Collins & Howard Seline
20. "Introducing Romanticism" oleh Duncan Heath & Judy Boreham
21. "Introducing Lacan" oleh Dorian Leader & Judy Graves
22. CD Mesut Kurtis "Salawat"
23. CD Sami Yusuf "My Ummah"
24. "Sebening Rindu" oleh Azhan Kamal
25. Sebuah buku Naquib Al-Attas yang sudah terlupa judulnya kerana ayah pinjam nak baca.

- Melihat pengunjung menyerbu gerai DAWAMA-DBP. Alhamdulillah, saya turut gembira. Mungkin juga kerana kehadiran Faisal Tehrani di gerai Al-Ameen (strategi yang amat berkesan kerana Faisal sentiasa sahaja dikerumun peminat) yang kadang kala bertandang di gerai DAWAMA-DBP. Ini suatu pembuka mata buat pihak DAWAMA. Memang saya tidak mahu bercakap banyak, tidak mahu komen tentang masalah pesta buku (dan bersuka ria sahaja sepanjang pesta buku), kerana saya tahu, ia sudah semacam satu perangai busuk orang-orang kita, bila buat apa-apa majlis pun, walau sekecil mana, pasti mahu dikomennya (perangai orang Malaysia kot). Tetapi ini mungkin suatu yang terpaksa saya 'busukkan' mulut saya. Pihak DAWAMA perlu, bila tahun-tahun depan nanti, mengumpul para penulis DBP untuk bertemu dengan para pembaca/peminat seperti yang mana dibuat oleh Al-Ameen, Alaf21, Creative dan lain-lain. Mungkin untuk tahun yang pertama, tidak ramai yang mahu menegur. Tetapi bila dibuat setiap kali pesta buku, insya-Allah akan berlakulah satu fenomena 'bertemu dengan penulis DBP'. Siapa yang tidak kenal Saleha Husin? Tentu ada peminat yang mahu bertemu dengannya. Dan nama-nama baru seperti Kholid Hamzah, Serunai Faqir, Soo Chai, Ibnu Ahmad Kurauwi, sudah tentu boleh ditunjukkan dan diraikan.

- Adanya beberapa syarikat penerbitan yang menyambung tugas DBP dahulu serta Utusan kemudiannya yang sudah mula membuka peluang kepada fiksyen spekulatif, terutamanya genre fiksyen sains dan fantasi untuk bertapak, terutamanya PTS. Saya sendiri telah memborong kebanyakan novel fiksyen sains dan fantasi mereka, dengan tidak melihat pun jika ia mungkin tidak memberi kepuasan. Itu yang lebih penting, seperti mana itu yang penting buat PTS utarakan genre ini (malah dipaparkan sebuah banner besar akan kemunculan novel-novel ini). Kerana suatu fenomena 'mengambil masa'. Bila sebuah 'meletup', yang lain akan menyusul dan menyusul. Itu pun, saya kedengaran, banyak juga novel-novel ini terjual. Ini adalah suatu permulaan.

- Buku Aweks KL menerjah Pesta Buku KL. Juga buku 'wajib beli', New Malaysian Essays vol. 1 di mana tulisan Saharil (saharil.com) adalah antara tulisan yang terbaik setakat ini dihasilkan oleh penulis kita buat tahun ini.

- "Books empower" bukan "Book empowers" kata Sharon Bakar. Suara sasterawan Inggeris Malaysia sudah mula didengari, walaupun mungkin hanya bermula dengan teguran tatabahasa cogan kata.

Begitulah kiranya kesimpulan Pesta Buku buat kali ini. Saya pasti, ramai yang akan tertunggu-tunggu seperti saya buat tahun hadapan.

Sunday, April 6, 2008

SAGA HORIZON

Saya sedang gembira (lihat gambar di bawah):





Novel terbaharu saya sudah ada di pasaran, dijual di Pesta Buku KL, di Alaf21 (ruang legar di aras tanah serta tingkat 1, TR3) dengan harga RM15. Alhamdulillah syukur nikmat. Ianya sebuah novel sains fantasi yang menyentuh tema post-apocalypse yang jarang-jarang dibikin oleh penulis tempatan (kecuali Rahmat Haroun dan Nazel H Mohamad).


SINOPSIS:

Pada 3024 A.D... Manusia melata bumi diburui Jembalang Bertulang Besi, entiti yang menakutkan. Makhluk asing? Mereka tidak tahu, tetapi manusia kini bukan pemerintah bumi lagi. Datang seorang perwira bernama Rogue dan beberapa manusia lain yang memerangi jembalang-jembalang ini kerana dendam kesumat. Rogue bertemu Jafni, kemudian Sobri, dan akhirnya UMMI. Mereka dan Rogue akan bersama-sama merungkai rahsia di sebalik kezaliman Jembalang Bertulang Besi, rahsia yang akhirnya menggoyah jiwa mereka akan satu kebenaran yang menakutkan tentang manusia dan pilihannya.

Ucapan terima kasih saya buat Moon dan Fiera sebagai editor saya, Kak Wan Ketua Editor Alaf21, Abang Ba'in perekabentuk dan En. Nordeen yang membuka peluang buat saya. Saya terhutang budi kepada kalian.

Saya akan berada di gerai Alaf21, aras tanah PWTC untuk sessi bertemu pembaca, insyaAllah!

Sessi bertemu Fadli al-Akiti, penulis SAGA HORIZON
Tempat: Gerai Alaf21, Aras Tanah, PWTC
Tarikh: 13 April (Ahad)

Masa: 10pg - 9 mlm
Pakaian: Bebas! hahaha!

Thursday, April 3, 2008

Tangan di Awangan




Di dalam tanganku
seekor anak pipit
rebah melihat awan
bermimpi terbang

Aku melepaskannya
hanya untuk
merakam

bulu luruh
ulna fraktur
lurut semut

sedang sang pipit
tetap melihat awan
bermimpi terbang

temu kayangan.