Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Wednesday, August 13, 2008

'Kejantanan' Saga Horizon


Sungguhpun novel ini dipersembahkan melalui perspektif seorang lelaki, yang mana anda boleh jangka pastinya sarat dengan adegan-adegan lasak bersifat kejantanan, Fadli tidak lupa menyelitkan nilai kemanusiaan, seperti semangat setiakawan, kekeluargaan, dan pengorbanan seorang ibu yang amat pedih untuk dilakukan. Walaupun kisah yang disuntik dengan nilai kekeluargaan tidak mendominasi cerita, nilai ini menjadi intipati dalam perjalanan cerita yang membawa kepada akhirannya, menjelaskan sebab dan akibat pertempuran manusia-mandroid. Malah punca kekejaman mandroid terhadap manusia kemudiannya dapat difahami dan melarik rasa simpati pembaca apabila penulis menyingkap layanan dan sikap manusia terhadap mandroid-mandroid itu sendiri, sebelum bermulanya era peperangan ini. - Bunny baby


ps: Terima kasih Bunny Baby:) Ulasan anda begitu teliti dan jujur.

Tuesday, August 12, 2008

Elarti 02

Elarti ke-dua sudah ke-luar:


Sila beli di:
Kedai Buku Silverfish!

atau pesan melalui:
projek.elarti@gmail.com

Tuesday, August 5, 2008

Penulis Muda DiKecam Tidak Patriotik

"Anak muda sekarang dianggap buruk oleh orang tua. Saya malah sebaliknya, mengapresiasi generasi sekarang. Anak muda sekarang dituduh tidak menghargai perjuangan 1957, saya pikir ini bagus. Cukuplah generasi tua saja yang merasakan kesengsaraan masa itu. Mengapa generasi muda dipaksa merasakannya juga? Itu bukan tujuan kemerdekaan. Kalau anak muda melupakan perjuangan, itu bagus." - Yasmin Ahmad

Di dalam artikel Fokus Dewan Sastera Ogos 2008, Malim Ghozali PK membicarakan tentang ketandusan idea penulis muda (termasuk sayalah!) menyelami tema yang besar-besar, dan paling tampak ialah - patriotisme. Secara tersirat, saudara Malim menyindir penulis muda 'kurang patriotik'.


Ada beberapa perkara yang dinyatakan oleh saudara Malim yang menggambarkan fenomena benar persada penulisan sekarang (dan bukan tertakluk atas bahu penulis muda sahaja) iaitu pelambakan novel-novel cinta. Dengan premis ini, Malim menjentik pembaca bahawa golongan penulis muda tidak akan ke mana-mana kerana membawa isu yang relatif terarah kepada hal-hal kecintaan, walaupun dipertonjolkan dalam pelbagai bentuk dan gaya.


Saya cuba mengunyah sepenuhnya kata-kata Malim di dalam artikel majalah itu, yang sememangnya saya tahu, adalah hasil 'sempurna' beliau setelah dilayarkan kertas kerja 'separa siap' kepada peserta penulisan sastera anjuran DBP beberapa bulan yang lepas di Port Dickson. 50 novel yang kononnya di'selidik' turut termasuk dalam artikel yang berkenaan hal penulis muda itu. Di sini saya tertangkap sesuatu -


Penulisan saudara Malim terarah kepada pengkajian deduktif, di mana saudara Malim sendiri sudah membuat keputusan, lalu membandingkannya dengan 50 'senarai novel' yang dipilih dan dibaca. Jika beliau melakukan induktif, mental aliran qualitatifnya tentu mundur kerana mencapai satu 'keputusan' yang tidak boleh pun diambil sebagai satu keputusan yang benar-benar tepat. Ya, Malim tidak berjaya membuat saya bersetuju bahawa penulis muda ketandusan patriotisme.

Senarai 50 novel itu pun seakan tergerak untuk memilih novel-novel cinta yang sepatutnya tidak diambil sebagai semangat sebenar 'sastera' penulis muda. Malah, kebanyakan penulis terdiri daripada penulis bermusim yang sudah mula menulis dari 80-an lagi (yang kini, tidak mungkin penulis muda generasi sekarang, tetapi penulis muda Jalur Pertama) seperti Ahadiat Akashah, Abu Hassan Morad dan Mohd Ghazali Tocheh. Malah paling mengejutkan, Sasterawan Negara Abdullah Hussain turut tersenarai dalam penyelidikan ini oleh sebab novel Konserto Terakhirnya! Apakah tujuan 50 novel yang tersenarai? Adakah kerana jualan laris mereka? Adakah kerana Malim secara rawak 'senang' memilihnya? Dan kenapa pemilihan disengajakan tertumpu kepada novel cinta? Adakah kerana novel-novel itu senang dihabiskan oleh saudara Malim? Perlu diteliti di sini, bahawa karya seperti Mills and Boons tidak mungkin boleh disatukan dengan novel Jane Austen ataupun Amy Tan seumpamanya. Ia sememangnya jauh panggang dari api. jadi kaedah apa Malim memilih novel-novel ini?


Saya membicarakan ini kerana agak terdesing dengan pemilihan Malim dalam perenggan 'bangga'nya tentang penjumpaannya terhadap petikan Life of the Mississippi tulisan Mark Twain akan 'gaya memaparkan patriotisme unik', iaitu satu pemerhatian geografi yang cantik akan Amerika! Pertamanya, Mark Twain sudah lama arwah dan tidak boleh dibandingkan sebagai penulis muda angkatan Amerika jika mahu membanding-bandingkan dengan penulis muda negara Malaysia (di mana penulis muda Amerika yang patriotik sekarang?). Kedua, kalau Malim mahu mencari 'gambaran cantik yang membuat kita sendiri tergila-gilakan negara itu', Tash Aw dalam novel 'perjalanan sejarah'nya, The Harmony Silk Factory sudah menggambarkan pelbagai geografi dan kencantikan halus Kinta dan Pulau Pinang, yang tentu membuat pelancong barat terpusu-pusu mencari tapak inspirasinya. Oleh sebab itu, senarai 50 judul itu tidak dapat saya terima kekuatan sampelnya.


Jika Malim menggunakan hal-hal dalam induktif dengan teliti, sudah tentu keputusan hipotesisnya berlainan. Definisi marhaen tentang pengkajian induktif ialah melihat secara tertumpu terhadap satu susunan bentuk, corak atau fenomena hidup (di sini, karya penulisan penulis muda), lalu meneliti satu-satu makna literal dan konsekuensi sosial, serta tujuan satu-satu fenomena itu dicetus (di sini secara umumnya memberi makna apa isi novel itu dan kenapa ia ditulis), dan kemudian, dengan melihat 'perhubungannya' dengan penulis-karya serta karya-karya lain, dapat membentuk sebuah corak atau hipotesis baharu tentang sebuah fenomena atau masalah sosial dalam satu-satu masyarakat.

Dengan pemahaman induktif, apa yang saya jumpa memaparkan yang sebalik dengan apa yang Malim jumpai. Memang, perkara yang Malim jumpa tampak di permukaan, kadang-kadang superfisial, apa yang dijumpai di 'dalam' perhubungan dan isi karya itu, tidak diberitahu oleh Malim.


Pertama, Malim sendiri sudah tersalah bila merujuk secara harfiah akan karya-karya penulis muda. Penulis muda sekarang faham, bahawa kebanyakan penulisan bertema sejarah dan perjuangan sudah banyak dilakukan pada 80-an. Jika mereka mahu menyorti, umpamanya kisah penentangan orang Sarawak terhadap rejim keluarga Brooke (mengambil tema secara dasarnya), mereka akan jumpa Pemberontakan Jong Chian Lai atau Astana(?) HM Tuah Iskandar (serta beberapa yang saya pernah terlintas). Mereka tahu, dalam situasi dan fenomena sekarang, termasuk ilmu bantu serta novel-novel terkini yang sudah dibaca, agak janggal untuk kembali menulis sebuah Salatus Salatin atau Sandera. Mereka perlu, seperti yang ramai melakukannya sekarang, menggunakan beberapa gaya baru seperti yang paling popular sekarang: magik realisme (Menyeberang Sungai Sejarah), reinventasi sejarah dan seperti mengambil aliran pascakolonial secara ekstrem- oksidentalisme. Penggunaan gaya-gaya baharu ini bukan sahaja menampakkan kematangan penulis muda melakukan 'karya baharu' tetapi mengikat setia janji mereka terhadap 'cinta pada negara' yang ranum di dalam diri tetapi membuak peristilahan dan penafsiran segar.


Apa yang saya sedari, kebanyakan novel sekarang memang melalui satu penafsiran semula sejarah yang total oleh pada penulis muda tempatan. Seperti hasil baik Nisah Haron yang terbaru, Tawarikh Cinta. Novel itu sendiri sebuah novel yang cuba menyelami kembali hal-hal 'hikayat' dan 'sejarah' yang berlaku pada zaman dahulu, dengan intepretasi baharu akan 'apa sebenarnya yang berlaku' terhadap episod-episod sejarah Melayu. Idea Nisah ialah, juga penulis yang seangkatan semangat ini ialah untuk membuat pembaca muda 'melihat kembali sejarah silam' dan 'menyoal kembali intipatinya'. Menyoal dan menganalisa dengan kritis (Nisah tidak mahu dirinya sahaja yang mencari, tetapi mengajak pembaca juga menggali dan tidak terikut dengan generasi lama yang 'mengikut' sahaja) ini membentuk satu estetika 'memahami' yang lebih kukuh tentang nilai bangsa dan sejarah, dan bukankah dengan kemantapan pemahaman baharu ini membentuk satu kultural nasionalisme yang baharu yang lebih ampuh di kalangan pembaca?


Inilah simbol-simbol 'kenegaraan' yang selalu disengajakan oleh penulis muda tetapi mungkin tidak terlihat oleh pengkaji tua. Ya, tanda-tanda pencarian semula sejarah, jati diri, segala kemungkinan dan elemen yang menghala kepada 'patriotisme - cintakan negara' ini dicari, baik kepada yang membawa pemahaman yang radikal dan kiri (seperti beberapa karya filem Amir Muhammad atau tulisan politik Farish Noor), juga kepada pengisian semula akan sejarah bangsa seperti yang dibuat dengan halus oleh Nisah. Beberapa judul seperti novel futuristik fiksyen sains, Wira Pesona Avatari memaparkan nilai patriotisme cara lain pula. Bayangkan sebuah permainan realiti maya yang menyatukan bangsa Malaysia, dengan kecekapan mereka tentang hal sejarah Malaysia (mereka perlu tahu serba-serbi dan bukan sahaja sejarah!) membentuk satu ide iaitu perpaduan dalam bergerak ke arah masa hadapan.

Saya juga percaya novel kemasyarakatan seperti Julia atau Cinta Hari-hari Rusuhan juga mempunyai intepretasi tersendiri akan patriotisme. Bayangkan sahaja ini - walaupun sekecil mana (mikro) atau sebesar mana (makro) sengsara masyarakat selepas merdeka, mereka tentu mempunyai reaksi tersendiri terhadapnya. Paling penting, ada rasa 'kesyukuran' yang tersimpan dalam novel-novel ini lalu watak-watak novel selalunya TIDAK meninggalkan Malaysia, dan bukankah itu sudah cukup buat golongan berhati sekecil itu untuk memahami apa negara itu buat mereka? Jika kita bandingkan dengan novel-novel moden Filipina, terutamanya F. Sionil Jose, kita tersedar bahawa acapkali watak-watak kecilnya yang menyintai negaranya akan menganjur perasaan negatif terhadap bobrok politik orang atasan lalu 'membawa pergi' diri mereka keluar dari duduk kelana di Filipina daripada sanggup ke titik terakhir. Perubahan yang mereka bawa (sekecil atau sebesar mana) tidak membawa ke mana-mana, mereka manusia pesimistik terhadap negara, mengambil jalan penghijarahan untuk menemukan identiti baharu yang lebih sesuai buat roh mereka. Sedang novel-novel moden kita acapkali memaparkan watak bekas pelajar balik ke Malaysia dan mahu membuat perubahan, dan akan duduk tetap walaupun ide kontreversi mereka diancam. Bukankah ini optimistik dan memaparkan rasa kesyukuran terhadap sistem 'stabil' negara, walaupun kita faham, ini ialah suara sekata yang daif mengikut dominan permintaan Kerajaan.


Oleh sebab itu, saya dapati, ada beberapa elemen yang berkait secara tidak sengaja dengan patriotisme dalam penulisan karya muda dalam pebagai genre:


- Pencarian sejarah: berunsur akan hal-hal mencari titik kegemilangan asal-usul tanah Malaysia, perbicaraan semula kegemilangan-kemusnahan tamadun lama, dan pencarian Melayu atau Malaysia seperti Lagukan Senandung Itu, Manikam Kalbu, 1515, Tawarikh Cinta, Siri Saga Artakusiad - ya, ini diperakui sendiri oleh penulisnya, Menyeberang Laut Sejarah, Cowrie Emas, Opera Angkasa, dll.)

- Pencarian/paparan sosio budaya dalam acuan novel kemasyarakatan iaitu memaparkan yang baik tentang Malaysia terhadap individu, juga yang buruk tentang Malaysia terhadap individu tanpa diskriminasi. Ini sendiri menjadi mesin bebas yang mengkritik kerajaan lalu berperanan menjadi mesin politik yang tersendiri, antara ciri patriotisme, satu semangat mahu pengubahan yang lebih baik buat negara. Cinta YB, Julia, Karina, Tunggu Teduh Dahulu, Cinta Hari-hari Rusuhan dan kebanyakan novel cinta sudah tentu mempunyai acuan ini.


Memang, ada pelbagai genre dan genre novel cinta yang terserlah selalunya diambil selidik (dan dikecam). Langsung, novel-novel baik yang dihasilkan oleh penulis-penulis muda selalunya tidak dikaji dengan mendalam. Malah, genre baharu dalam fiksyen spekulasi seperti fiksyen sains, ngeri dan fantasi, jika diselidik dengan betul, kita akan memahami, lapisan patriotismenya seangkatan patriotik yang diingini Malim (lihat novel Dendam Siber, Cinta Sang Ratu, A.D.A.M., siri saga Tombiruo). Malah, jika kita sedikit rajin dan kritis lagi, kita akan menjumpai pelbagai lagi tema-tema besar yang sengaja diisi dengan tersirat oleh penulis muda mutakhir dalam penghasilan novel.