Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Friday, February 29, 2008

Mengumpul Penulis Fiksyen Sains & Sains Fantasi

Salam sejahtera,
Saya mencari kawan-kawan yang ingin menulis genre di atas kerana kini kerana ada sebuah penerbit swasta gergasi membuka peluang kepada saudara saudari menghasilakn genre sebegini untuk diterbitkan.
Saya hanya perlu lihat determinasi saudara-saudari serta (kerja penulisan tidak terbengkalai di tengah jalan, kalau boleh sudah ada manuskrip) idea yang disentuh dalam cerita itu.
Sila beritahu saya secepat mungkin.
Tak, ni bukan main-main, ni betul-betul ...

Wednesday, February 27, 2008

Akademi Buku Malaysia

Esok, Jumaat, 29 Februari 2008, di Dewan Tun Syed Nasir di DBP Bangunan Lama, Tan Sri Khalid dan Rais Yatim akan melancarkan Akademi Buku Malaysia. Apa itu Akademi Buku Malaysia? Institut ini akan memberi peluang kepada editor/penterjermah/penulis untuk mempelajari tatacara dan kerja editor/penterjermah/penulis. Akademi Buku Malaysia akan dibuka tidak lama lagi ... Sudi-sudilah datang ...

Kate, enlighten me about k-ei8t



Tajuk: k-ei8ht
Oleh: Para Penulis Sindiket Sol-jah
Terbitan: Sindiket Sol-jah
Tahun: 2007

Sinopsis:
Sekumpulan cerita pendek yang berlaku di sebuah blok, dikenali sebagai K8 di mana seorang gadis bernama Kate mati sepertimana Kim Novak di dalam Vertigo.

Rasa:
Buku ini mempunyai niat yang sama dengan buku The Book of Other People yang diselenggara oleh Zadie Smith- menghimpunkan sekumpulan penulis untuk bercerita tentang watak-wataknya.

Jika watak-watak dalam buku Zadie Smith itu bercerita atau berlaku di mana-mana geografi dan latar masa yang tertangkap dek manusia, ruang cerekawala k-ei8t tertumpu di latar Blok K8 (nyaris kesemuanya), sebuah rumah pangsa kos sederhana di Kuala Lumpur. Ideanya tampak seperti sekumpulan penulis tua yang mengaku muda lalu bermain-main dengan satu retorik metafizika "apa kata jika dunia ini punya kebenaran dengan Efek Rama-rama?" (nyaris-nyaris- tetapi beginilah manusia filem Hollywood mendapatkan idea filem, kautahu?) sewaktu masing-masing sibuk merokok makan getah kunyah dan minum neskafe ais pada hari hujan derai di tepi flat di sebelah DBP. Tetapi, woooo, mainan kecil-kecilan (seperti idea peperangan buat Napolean) ini membuak kepada satu pengumpulan 'perkaitan alam' yang boleh membuat mayat-mayat para Asas50 meloncat-loncat.

Ini adalah kerana keberanian para Sindiket Sol-jah bermain dengan perkara-perkara yang dikira taboo atau 'melampau batas' nilai-nilai murni Dasar Kebangsaan Negara, walaupun mungkin tidak seberani mana.

Nilai itu satu perkara, yang paling baik ialah, para penulis Sol-jah di sini seakan banyak belajar (atau langsung memprotes) usaha Haruki Murakami membentuk dunia gabungan metafizika dan budaya pop dalam pencirian sastera pasca moden. Mungkin gaya dan tingkat kematangan Murakami dengan para penulis Sol-jah jauh berbeza, tetapi "pergi mampus dengan itu!" Yang penting adalah penciptaan mitos K8, dunia yang mengelilingi Kate sebelum/sewaktu/selepas Kate membunuh diri dan watak-watak yang dimainkan oleh para penulisnya, telah berjaya membuak satu dunia yang benar-benar tampak sureal tetapi sekali gus tampak real.

Mainan plot yang diusahakan sendiri sudah membuat kesongsangan naratifnya memikat: persoalan yang mula dibuka akan 'kematian Kate' dan 'tujuan' untuk mencari bagaimana Kate dibunuh ditransenden kepada komponen-komponen watak yang tidak 'sedar' pun kepentingan kewujudan Kate. Di sini, apa yang dapat dicapai oleh para penulis Sol-jah ialah bukannya mencari justifikasi dalam kematian Kate seperti genre sebuah novel penyiasatan tetapi makna dan kepentingan individualisme real dan sureal yang mengelilingi kematian Kate itu. Secara pendek, hidup, baik dimulakan dengan kematian atau kelahiran, perlu dirayakan (baca: the mystery of death opens up the mystery of life itself). Secara tidak sengaja, cetusan naratif ini membuak satu keinginan berbunga yang sangat humanis dan sangat optimis akan kehidupan 'sementara' yang diberi Tuhan ini. Dan secara ironisnya, walaupun pada waktu 'mati' seperti yang dipaparkan dalam cerita Usman tulisan Vovin.

Antara kesusahan dalam pembacaan k-ei8ht terletak dalam pembauran gaya dan wacana satu-satu cerita, walaupun cerita-cerita ini berkait dan mengait. pada satu cerita kita disedari dengan watak yang menggunakan naratif kata ganti diri "Aku", dan tiba-tiba berubah kepada "Dia". Kemudian, dalam setiap cerita, terbuka satu penelahan yang sangat individualis dengan struktur yang sangat bermain-main dalam kata-kata, latar dan penerusan cerita. Ini adalah perkara-perkara cabaran yang dihadapi oleh saya sewaktu membaca. Tetapi saya sedar juga, oleh kerana kepelbagaian suara dan bau watak-watak ini dengan cerita-cerita mereka yang mereka anggap penting pada waktu kematian Kate, terjadilah satu pemahaman bahawa pengalaman mengenal manusia memang melalui cabaran dan memerlukan pemahaman yang berbagai dan terbuka. Sebenarnya, ini adalah 'kenakalan' mainan penulis Sol-jah. Ia semacam satu mainan roda Freud-Jung dan pemahaman simbol terhadap psikologi manusia- cerita-cerita di dalam k-ei8t yang anda pilih 'dekat' kepada anda ("oh, saya suka yang ini") sebenarnya adalah cerminan identiti dan keinginan secara tidak sedar anda kepada diri anda, manusia lain dan dunia yang mengelilingi anda; satu pemahaman sebenar terhadap kesenian surealis dan kuasa yang dicetuskan kepada penerima.

Buat saya sendiri, saya mempunya beberapa cerita yang saya gemar. Tetapi bolehlah saya rumuskan bahawa walaupun ada beberapa cerita yang tidak matang, ia telah ditolong dengan perkaitan cerita-cerita lain yang kuat dan berjiwa yang telah dengan secara sendirinya mengangkat kepentingan cerita yang dibuat main-main itu, lalu di sini, membentuk satu dunia yang bulat dan terisi. Dan ini adalah kekuatan k-ei8t.

k-ei8t mungkin dipersenda-sendakan sebagai karya 'mainan', karya eksperimen budak-budak yang baru kenal menulis, bahan 'ikutan barat', dan lain-lain lagi definisi yang dicalitkan terhadap genre 'memberontak' sebegini, tetapi mengikut perjuangan Sindiket Sol-jah, walaupun mungkin tidak sebohemian perjuangan Beat, telah memberi tanda bahawa k-ei8t adalah tujuan murni para ahli Sindiket Sol-jah untuk mengubah bentuk dan latar daif kesusasteraan Melayu sekarang yang statik, dan mereka sudah lima batu tercapai ke situ.

Tuesday, February 12, 2008

3 Kupas Kismat

nota: Maaf, saya mengambil masa yang lama untuk 'tidur'. Dalam proses hibernasi saya, sebenarnya saya sudah menghabiskan 3 buah buku. Dan tangan saya gatal untuk menulis tentangnya, walaupun sedikit kerana impak yang membawa saya terus menghabiskan ketiga-tiga buku ini.

Tajuk: Where Monsoons Meet: A People's History of Malaya
Oleh: Musimgrafik
Terbitan: SIRD
Tahun: 2007 (terbitan pertama: 1979)

Sinopsis:
Sebuah buku grafik yang memperkenalkan sejarah tanah Malaya dalam bahasa Inggeris, dari awal abad ke-14 sehingga kemerdekaan Malaya daripada penjajah.

Rasa:
Sebuah buku yang senang dibaca, mencuit sekali gus membuka pelbagai soalan dan persoalan tentang proses masyarakat Malaya (saya tidak kata Melayu di sini) memahami akan 'perbalahan' (simbol terhadap monsun) dan dinamisme kuasa luar yang membentuk Malaya, dari abad ke-14 sehingga perjuangan rakyat untuk membebaskan negara daripada hasutan penjajah.

Membaca buku ini semacam saya menelaah buku-buku grafik 'Introduction to' yang saya dipaksa beli oleh pensyarah saya sewaktu belajar sains sosial dulu (dan banyak menolong pun). Paling penting, ia memberi ruang dan satu sisipan 'lain' terhadap perjuangan rakyat Malaya, lebih-lebih lagi sewaktu pemerintahan British sewaktu ambang Perang Dunia Kedua.

Persoalan-persoalan yang dikemukakan segar, walaupun pada hujungnya, ia lebih berbau 'sosialis', ia masih membuka ruang buat pembaca menafsir pelbagai sisi sejarah dengan membandingkan sejarah yang umum diketahui di dalam buku teks sekolah. Perkara pentingnya ialah, ia berjaya membawa persoalan kritis tentang sistem 'divide and rule' British yang benar-benar telah mencipta sebuah negara perkauman yang dapat dirasa sehingga sekarang. Walaupun buku ini memakarkan satu pembukaan yang positif, beberapa tempat seperti memaparkan Onn Jaafar meminum wain dan para sultan mandi sama dengan orang puteh, walaupun fakta dan ilustrasi memaparkan 'sinis', fakta-faktanya masih seakan berbelah pada satu pihak dan menuduh pihak yang lain. Pun begitu, perkara-perkara inilah yang membuatkan buku ini mesti dibaca untuk mengupas dan mencari lagi kebenaran di balik sandiwara, baik topengan kerajaan ataupun pihak lawan tentang pembentukan Malaya dan apa yang membuat Malaya itu Malaya.




Tajuk: Watchmen
Oleh: Alan Moore
Terbitan: DC Comics
Tahun: 1986

Sinopsis:
Selepas Perang Dunia Kedua dan kedatangan Perang Dingin, dunia memang seakan-akan akan kiamat. Masuk watak-watak bekas adi perwira yang tiba-tiba diskandal apabila seorang daripada kawan mereka, The Comedian dibunuh. Lalu beberapa adi perwira bergabung dan menyiasat, dalang di balik rancangan jahat ini.

Rasa:
Saya meminjam buku ini daripada Azwan Ismail. Pada mulanya, saya tidak suka akan jalan cerita novel grafik ini yang terlalu banyak 'kata-kata', lebih-lebih lagi segmen komik pelaut di atas kapal yang karam di tengah lautan. Tetapi, setelah menyelusuri watak Rorschach, lebih-lebih lagi sewaktu beliau ditangkap, cerita novel ini mula 'menjerat' saya, lalu baharu segmen komik yang dilakarkan (dan mula tampak gelap dan gelap) mengikat terhadap novel grafik yang sememangnya antara novel grafik terulung abad ke-20.

Bukan sahaja psikologi dan sejarah watak di dalam novel ini yang dijaga dengan lancar dan baik oleh penulisnya. Tetapi ceritanya yang berlapis-lapis, mempunyai tema 'apokalips', 'sindir', 'sejarah alternatif' dan terutamanya sindiran terhadap mual Amerikana zaman itu sangat mengejutkan. Malah, pengakhiran novel ini adalah antara pengakhiran novel yang sangat memuaskan buat saya. Malah, penceritaan 'Heart of Darkness' di mana memaparkan bagaimana perjalanan manusiawi ke alam sisi gelapnya, memaparkan bagaiaman sejarah, walau bagaimana dikitar sekali lagi dan sekali lagi, memaparkan manusia yang bertabii merosakkan dan memusnahkan sebelum memusnahkan dirinya. Dan inti pesimis ini yang ingin 'dibetulkan' oleh sebuah watak dengan pemahaman yang sangat menakutkan.

Dan paling menakutkan, novel ini secara tidak sedar SUDAH memberi ramalan kepada Amerika akan satu 'serangan apokalips' yang terus boleh mengubah pandangan angkuh polisi dan jati Amerika, maka satu 'Orde baru' boleh tercetus dengan Amerika tidak mengambil tempat di dalamnya, tetapi, setelah 9-11, kita lihat dan sedar, Amerika masih bangkit untuk bertindak.






Tajuk: No God But God: The Origins, Evolution and Future of Islam
Oleh: Reza Aslan
Terbitan: Arrow Books
Tahun: 2007

Sinopsis:
Sebuah buku sejarah tentang Islam, daripada awal Rasulullah s.a.w. dan zaman Jahiliyah sehingga ke zaman sekarang dengan pemahaman antara pluralisme dalam Islam dan fanatikal dalam Islam di negara dan rakyatnya yang memenuhi muka bumi ini.

Rasa:
Buku ini dihadiahkan oleh Azwan kepada saya buat hari jadi saya. Baru kali ini saya membacanya. Saya perlu berterus-terang, buku ini secara peribadi lebih senang dan seronok buat saya daripada buku Karen Armstrong yang lebih bersifat akademik.

Buku ini semahu-mahunya memaparkan Islam seakan dari kaca mata seorang yang Islam tetapi mempunyai pendirian tidak 'menghukum' dan tidak meng'ajaib'kan agama suci ini. Maka inti-inti yang dipersembahkan memaparkan satu pengisian yang sekali gus jelas, kritis dalam bahasa yang senang dan lancar walaupun mengambil beberapa pengertian daripada para cendiakawan dan pengkaji Islam. Ramai pembaca Islam mungkin melancarkan kemarahan akan ini, lebih-lebih lagi apabila Reza lebih senang mengambil sumber rujukan daripada pengkaji barat. Tetapi perlu diketahui bahawa inti yang reza ambil, Reza ambil dengan segala waspada dan jaga-jaga dalam pengertian seorang Islam dan seorang saintis sejarah yang mahu memahami Islam. Malah, dengan penulisan sebegini dapat 'membuka mata' orang bukan Islam bagaimana Islam itu memang sebuah agama yang sempurna (dibuktikan oleh Reza dengan petikan-petikan yang dipilih secara teliti tanpa perlu menjaja perkataan 'sempurna' itu) yang didalangi oleh ahli hukum dan agama yang tidak sempurna (dipaparkan pada setiap detik sejarah, seperti sekarang yang didalangi oleh al-Qaeda dan para Wahabi). Malah penulisan sebegini, saya jumpai terdapat banyak dalam buku-buku pemahaman agama dan kupasan kritis yang ditulis oleh bekas-bekas pelajar pondok di Indonesia, memaparkan satu kematangan dan ciri penulisan yang tidak menuduh tetapi memaparkan kesemua fakta tanpa mengambil benar-benar satu sisi.

Walau bagaimana pun, pada bab terakhir buku ini, Reza membawa satu agendanya yang memperkatakan akan kesucian 'pluralisme' dalam Islam. Saya faham bahawa pluralisme yang ingin dibawa oleh Reza ini lebih bersifat universal (yang mana Reza membuktikan, bagaimana sarwajagatnya Rasulullah s.a.w. serta para sahabat, dan kemudiannya beberapa ulamak Islam memahami isu politik semasa yang disesuaikan dengan agama), membuka pemahaman orang Islam terhadap orang bukan Islam dan sebaliknya. Tetapi 'pluralisme' di sini juga mungkin akan dipersoalkan, lebih-lebih lagi dalam bidang estimologi peristilahan (seperti beberapa perkataan Arab yang dimasukkan dalam konteks budaya orang Melayu), pemahaman Aqidah, dan sejarah. Tetapi perkara-perkara inilah yang perlu diperbincangkan oleh para agamawan kita sekarang sebelum memberi keputusan yang terkakhir. Reza setia terhadap sebuah agama Islam yang 'berevolusi', dan ini sebenarnya yang mungkin sedikit dipersoalkan, apa sebenarnya yang ingin Reza sampaikan tentang 'pembaharuan'. Sungguhpun begitu, Reza telah memaparkan satu pembukaan yang baik dalam meja diskusi tentang masa depan Islam, dan apa yang perlu para ulamak buat untuk menjaga agama yang telah disempurnakan oleh Allah buat kekasih dan umatnya ini.

Monday, February 4, 2008

Maskara 6



Sebuah gambar yang sangat cantik ditangkap oleh Op (sori ya, tak mintak hak cipta sebelum wa cekau:), melakarkan pelbagai warna dan rempah pembaca/pendengar Maskara 6 pada 2 Februari lalu. Cuba teka, di mana saya?

Sunday, February 3, 2008