Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Monday, September 24, 2007

Berbuka di Pavilion Bukit Bintang KL

Semalam saya berbuka di Pavilion. Waduh, hebat tempat itu. Seakan 'adik' kepada Siam Paragon di Bangkok. Macam biasa, sudah tentu saya cari kedai buku. Di situ setakat ini, ada Times Bookstore yang terletak di tingkat paling atas.
Saya tidak berapa lepak Times. Entah, saya ada masalah dengan syarikat Singapura atau saya tidak suka koleksi buku-buku bahasa Melayunya. Entah. Apa yang saya tahu, Times di Pavilion, satu kemasukan baharu franchais untuk kedai buku 'mega' di Malaysia (di KLCC selalu saya tak pergi). Saya perlu katakan, hanya ada tiga buah kedai buku yang selalu saya kunjung, Kinokuniya KLCC (paling saya gemari, kesemuanya yang saya mahu ada, kecuali buku saya!), MPH Mid Valley (kerana buku-buku yang paling 'latest' akan sampai di sini dahulu. Dulu, buku penulis Ring, penulis Nightwatch sampai ke sini dahulu, malah simpanan buku filemnya adalah yang terkini) dan Borders (sebab dekat dengan tempat kerja saya). Bolehlah saya kata, kedai buku Times di pavilion akan jadi tempat keempat yang saya akan selalu lepak. Saya pergi jenguk, 4 PERKARA adakah tempat ini akan menarik perhatian saya.. Kita lihat...



Ruang/Dekorasi


Nampak menarik, luas. Teringat Borders di Oxford dan London (tidak, Borders di KL 'cozy', itu satu 'plus'). Tetapi entah kenapa, Kinokuniya KLCC masih tersemat sebagai ruang persekitaran terbaik buat sebuah kedai buku.




Buku Filem




Koleksi yang menarik, tetapi masih belum dapat melawan Kinokuniya KLCC dan Borders (baik The Curve, BTS) dan MPH Mid Valley. Semuanya tanpa balut plastik. Tunggulah Times untuk lihat buku anda dirobek-robek oleh orang Malaysia yang suka membelek.





Buku Susastera


Borders mempunyai koleksi buku sastera yang menarik, dan mempunyai 'plus' kerana bulan 'bargain books'nya. Kinokuniya tempat di mana saya selalu membeli buku sastera kerana beberapa penulis yang saya suka dan gemar, atau jika saya perlu mencari seorang penulis, Kinokuniya tidak pernah mengecewakan. Times tampak menarik, malah ada beberapa judul yang jarang dilihat di Kino dan Borders ada di sini. Seperti yang saya terjumpa di atas.



Buku Susastera Melayu

Di sinilah Times perlu dikutuk kerana berjaya meletak novel pop di bawah Sastera Melayu. Saya tahu dahulu Borders pun begitu, tetapi kini Borders mempunyai koleksi beberapa buku susastera yang agak baik dan terkini. Terbaik adalah Kinokuniya. Saya harap rak ini akan diubah secepat mungkin dengan buku-buku yang lebih 'tepat' dengan tujuan rak itu.

Keseluruhannya, kalau saya berjalan-jalan di sini, sudah tentu saya akan menjenguk sebentar. Apa-apa pun, selamat datang Times. kita tunggu apa 'bargain' yang anda boleh beri sebaik Kinokuniya dan Borders.

Thursday, September 13, 2007

Ramadhan Menjelang

Semalam, saya berjalan-jalan (sebentar) di Kinokuniya selepas tarawih. Saya terjumpa suatu yang menarik hati saya:


Di sebelah kiri ialah novel 'besar' Faisal Tehrani tentang Tuhan dan Manusia (belum baca, tapi saya teruja, saya beli terus bukunya tanpa fikir apa-apa lagi) dan di sebelah novel kanan Faisal ialah novel 'chic lit' Nizam Zakaria, Seri Tertangguh. Idealisme kedua-dua novelis ini bagai langit dengan bumi (bukan saja novel Tehrani diletakkan di bahagian elit sastera dan Nizam di bahagian pop), dan saya seronok dan bersyukur pada bukan ramadhan ini, mereka boleh sebelah-menyebelah sebegitu seperti suami isteri yang tidur di atas katil. Untuk menambah perisa ironi ini di atas novel Nizam, sebuah novel pop tertulis: BUKAN TERLARANG.


Selamat meraikan ramadhan. Selamat berpuasa!

Tuesday, September 4, 2007

Nama Beta Sultan Alauddin



Tajuk: Nama Beta Sultan Alauddin
Oleh: Faisal Tehrani
Terbitan: Aberdeen
Tahun: 2007

Sinopsis:
Sebuah karya sejarah Raja Hussein, atau dikenali oleh rakyat Melaka dan sejarah sebagai Sultan Alauddin Riayat Syah, diceritakan oleh seorang datuk kepada tiga cucu lelakinya, membawa mereka kembali ke alam Kesultanan Melaka yang terbilang dan paling di puncaknya.

Rasa:
Jarang-jarang sebuah novel boleh mebuat saya terus membaca sehingga ke penghujung dalam satu hari.

Novel ini berjaya membuat saya menunggu dan membelek ke halaman terakhir dalam masa satu hari kerana kenipisannya dan juga gaya penceritaannya. Sebuah novel kanak-kanak, secara
pendek, novel ini sebuah tangan menarik dari penulis terkenal, Faisal Tehrani (saya agak cemburu, kerana dalam satu masa, beliau mengeluarkan lima buah buku berlainan di pasaran).

Novel ini 'mengangkat kembali' sejarah kegemilangan empayar Melaka dari sudut mata raja yang sangat disayangi oleh penulisnya, Sultan Alauddin, yang terkenal sebagai raja yang menyamar pada waktu malam mengelilingi bandar Melaka dan menangkap pencuri. Cara Faisal membawa cerita ini (walaupun tampak difregmenkan) amat menarik, mengikut gaya 1001 Malam, di mana pencerita membawa 'masuk sama' (di sini, pendengarnya ialah kanak-kanak, dan kita) di dalam sejarah yang sedang berlaku, lalu kita dapat merasa bahawa sejarah yang diceritakan itu benar-benar berlaku. Saya merasakan, novel ini dibikin sebelum Faisal menghasilkan magnum opusnya, 1515, kerana idea 'meneliti kembali sejarah' amat kuat dalam novel ini.

Walaupun ada pelbagai perkara yang boleh dipersoalkan (diketahui dalam sejarah, zaman pemerintahan Sultan Mansur Shah ialah zaman keemasan Empayar Melaka, maka kenapa pada zaman itu dan selepasnya penuh dengan pencuri - yang membawa maksud gejala kemiskinan dan ketidaksamarataan pembahagian kekayaan? Dan bagaimana Hang Jebat tidak meninggal lagi?), Faisal membuat kita percaya dalam dunia dan intepretasinya bahawa SEJARAH yang diciptainya dalam novel ini satu HAK (sekurang-kurangnya buat kita para pembaca) dan boleh dipercayai ceritanya. Secara tersingkap, Faisal mengatakan, "sejarah ditulis oleh orang-orang yang berkepentingan dan berpengaruh untuk menjaga darjat mereka dari diaib", satu perkara yang banyak kali ditekankan olehnya (satu perkembangan baharu dalam menilai sejarah negara kita sekarang).

Ada banyak perkara yang boleh diPELAJARI daripada novel ini- penjagaan maruah, nilai sahabat, keluarga, kepercayaan, kesetiaan, melakukan tindakan dengan berhemah, menjaga tradisi dan agama dan paling serius, meniti kejatuhan diri sendiri atau kematian orang lain. Perkara-perkara ini memang jauh berat dan matang, tetapi Faisal dengan bersahaja membawa tema-tema ini dalam penceritaan yang boleh ditelan dengan senang. Hanya saya tidak setuju dengan gaya Faisal, perlu memberitahu dan memberitahu sekali lagi bahawa pembaca generasi muda sekarang tidak bodoh. Memang pembaca generasi muda sekarang tidak bodoh, tetapi ia tidak perlu ditekankan di dalam teks, kerana seolah-olah, kalau novel ini masih hidup untuk 50 tahun lagi, generasi muda zaman itu akan persoalkan, "Apakah memang dulu tuk nenek kita betul-betul bodoh sehingga perlu diperkatakan tentang tahap intelektual mereka?" Biarlah 'tahap intelektual' itu menganjur sendiri secara natural, dan bukan dipaksa-paksa.

Ini juga terlihat dalam gaya TV pendidikan Faisal dalam beberapa petikan dalam novel ini seperti si cucu Umar yang 'tidak mahu jadi seperti remaja sekarang', sesuatu yang disuap terang-terang ke dalam mulut pembaca untuk "Ya, saya pun nak jadi macam tu" - yang saya kira agak menjengkelkan. Bukankah elok Faisal biarkan sahaja tahap 'masuk campur' pendengar cerita itu yang lebih natural seperti ayat si cucu Abu Bakar: "Terasa benar kami ini remaja bandar. Tak tahu apa pun pasal silat-bersilat ini...", gaya yang begitu lebih bersahaja dan membawa kesedaran kepada pembaca.
Satu lagi perkara yang saya kira agak menarik dalam novel ini ialah keberanian Faisal dalam mengangkat isu perkauman di antara kaum kerabat Melayu dengan Mamak (Tamil?) dan perjuangan 'etnosentrisme' dalam novel ini. Walaupun orang akan mengambil kira perkara ini sebagai kontreversi, Faisal memaparkan bahawa sudah jadi turun-temurun dalam bangsa Melayu, persoalan darah menjadi penting bila orang luar yang diberi kuasa masuk campur cuba menjatuhkan kedaulatan darah Melayu yang turun-temurun mentadbir Alam Melayu ini. Rencam kosmopolitan-global Sultan Mansur (mengahwini pelbagai bangsa, mengingatkan kita kepada Raja Iskandar Zulkarnain) amat kontra dengan krisis perkauman yang sedang berlaku pada zaman pemerintahan Sultan Alauddin (seperti sejarah, Macedonia berpecah selepas kematian Raja Iskandar). Perkiraan bahawa krisis berlaku bukan sahaja kerana kelemahan pentadbirnya, tetapi kerana takdir yang sudah tertulis untuknya. Si pelaku itu hanya perlu melalui jalan dan bilik yang sudah disediakan dengan waspada, dan berserah bahawa hidup dan matinya di tangan Tuhan.

Paling menggembirakan saya ialah, penceritaan Sultan Alauddin belajar tasawuf dengan seorang sufi. Inilah 'hightlight' novel ini buat saya, memaparkan di mana Sultan Alauddin mendapat kebijaksanaannya, keadilannya serta ketinggian adabnya (kaitan sultan waktu mendepani musuhnya dan diracun - sebuah penggambaran yang memang kena untuk seorang sultan berdaulat). Saya tidak tahu di mana Faisal mendapat idea tujuh sin itu dalam segmen tuk guru Nuh Ha Min menguji sultan, tetapi ia sangat menyeronokkan dan kena dengan pengajaran ilmu tasawuf. Kita akan teringat akan Nabi Musa a.s. yang diuji Nabi Khidir a.s. dengan tiga perkara, dan cerita seorang mursyid Sufi menolak anak muridnya ke gaung. Kita akan sedar bahawa, setiap individu yang diuji oleh tuan gurunya mempunyai tahap dan ketelitian peribadi yang berlainan, mengikut tahap keluhuran hati serta penciptaan individu itu. Dan 7 sin dan kereta lembu itu memang 'fit for a king' seperti Sultan Alaudin.

Secara kesimpulan, walaupun novel ini nipis dan agak mahal (RM13.50 untuk 145 halaman), ia agak berbaloi bagi mereka yang mahu mengenal kembali seorang sultan, yang seperti Faisal katakan, disalah tanggap oleh sejarah. Malah saya selepas ini mahu berkunjung juga ke Pagoh, membaca Yasin dan Tahlil kepada seorang sultan yang halus pekertinya, dan mangkat semata-mata untuk rakyat, rasul dan Tuhannya.