Saya Sedang Membaca

Batu Ketiga Dari Matahari oleh Sahidzan, Encik Psychopath, Lucifer, april, KHRLHSYM, Ophan Bunjos, nasyrun, Zoul Yazix| Hikayat Tiga Negara Jilid 3terjemahan oleh Yuen Boon Chan, Woo Tack Lok | Message to Adolf oleh Osamu Tezuka | Atlantis: The Lost Continent Finally Found oleh Prof. Arysio Santos | To the Devil a Daughter oleh Dennis Wheatley | The Mind of The Malay Author oleh Muhammad Haji Salleh | Kronikel Bumi oleh Nurul Izwazi Mohd Nor | Cloud Atlas oleh David Mitchell |

Wednesday, July 11, 2007

Maskara 2: Antara Gugup & Gempita

I, who stand alone
Waiting to be devoured
by the masses

Maskara 2 berlangsung lagi pada 7 Julai 2007. Saya begitu terharu apabila kebanyakan daripada kawan-kawan saya seperti Adam, D', Ted, Azlina (dan kawannya, Nana), Jude (dan kawannya), Junaidi serta saudara saya, Fasha datang pada malam itu untuk memberi sokongan. Yang lain itu, biarlah saya fikirkan yang baik-baik sahaja, walaupun mungkin, saya akan fikir dua kali jika mereka menjemput saya untuk majlis-majlis mereka (haha, acah saja).


Acara itu begitu meriah, malah lebih 'peluh' dari acara Maskara yang pertama. Pembukaan daripada Attokz sebagai juruacara membuatkan malam itu penuh dengan rasa 'zaman-zaman silam istana Melayu'. Saya anggap, beliau antara juruacara yang terbaik yang pernah saya hadiri dalam majlis sastera Melayu, kerana skrip beliau, penuh dengan bunga-bunga dan kekuatan dan kelantangan beliau menarik para penonton ke pentas, membuat saya lebih berdegup kerana saya sendiri dijemput untuk membaca karya saya nanti.


Acara dimulakan dengan kumpulan Gemala Kasturi dengan mainan gendang dan serunai mereka yang mengasyikkan, mengena gaya Attokz yang menitah seperti hulubalang (tok dalang) di raja yang memberitakan majlis malam itu yang penuh kemeriahan.


Spyz memulakan pembacaan dengan sajak "Aku" Chairil Anwar. Spyz agak gugup, tetapi cuba membaca dengan lancar karya "Aku", di mana saya sedikit terkilan, kerana, walaupun idea pembacaan karya itu sebenarnya boleh membaca "apa-apa" yang diingini oleh penulis, semahu-mahunya, penulis itu membaca karyanya sendiri untuk dikongsi dengan penonton. Apa-apapun, percubaan Spyz itu perlu dikagumi kerana keinginan beliau memaparkan, dan sehingga kini, bahawa pengaruh Chairil Anwar itu setentunya ada dengan beliau, juga kita sebagai penggemar atau pun penulis susastera Melayu, dan sentiasa akan memberi penghargaan kepada penyair nusantara berwibawa ini.


el-Maniq dan Esis kemudiannya memberi satu persembahan yang provokatif, dengan menampilkan pentas itu sebagai 'tandas', lalu memaparkan satu persembahan pentas (bukan sepenuhnya pembacaan karya) tentang kepenggunaan dan kuasa kapitalisme terhadap rakyat (dengan simbol rokok). Ideanya kuat dan memberi himpunan fokus terhadap khalayak malam itu, walaupun mungkin, kita mahu mendengar dengan lebih 'berkuasa' lagi retorika yang berjalan pada malam itu melebihi MISI Faisal Tehrani, tetapi bagi saya, persembahan itu sudah cukup memaparkan idea yang mahu disampaikan oleh kedua-dua kumpulan duo dinamik itu.


Azwan Ismail kemudiannya menghantar 'sihir' kepada kami semua dengan pembukaan sajak "Aku Sihir Kau"nya. Bagi saya, walaupun Azwan malam itu agak sedikit gugup, dan tidak selantang persembahannya pada pembacaan sek-san, beliau membuka keberanian yang baharu dengan sajak-sajak beliau yang sememangnya provokatif dan sangat mendalam. Sajak "Aku Sihir Kau" itu pun, memberi kekuatan lapisan yang dalam tentang kepelbagaian kuasa manusia mempengaruh, baik dari segi fizikal (politik, manusiawi) sehinggalah spiritual (tahyul - kuasa Tuhan). Pendalaman beliau denga puisi-puisi beliau boleh lagi didengar dengan sajak "Mari Berbunuhan" yang boleh saja diertikan sebagai sindiran pergaduhan/persengketaan bodoh, baik dalam mana-mana jenis persengketaan dua pihak yang berlainan pendapat, baik dua buah negara sehingga dua orang individu. Paling penting, beliau jujur dalam sajak-sajak beliau, walaupun menyindir, dengan memaparkan seadanya keinginan manusia itu, dalam kelemahan (atau boleh saja dilihat sebagai kekuatan) dalam menegakkan idealisme mereka masing-masing. Dengan itu, beliau mengakhiri pembacaan beliau dengan sebuah sajak 'beat', untuk memaparkan pengaruh beliau yang datang daripada kuasa kumpulan penyair itu.


Alif Firdaus pula telah membawa keseronokan (setelah pelbagai keseriusan dalam ketawa) bagi khalayak dengan persembahan silap matanya. Memang membawa geli-hati dan keseronokan warna-warni pada malam itu.


Kemunculan saya pula membaca, perlulah saya katakan, begitu gugupnya saya kerana, berhadapan dengan penonton sememangnya lebih menakutkan dari masuk bertemu dengan doktor gigi. Tidak perlulah saya, fakir yang hina ini menjelaskan kebobrokan yang saya lakukan pada malam itu.


Pyan Habib pula membawa semangat tinggi, seakan bukan mendeklamasi sajak, tetapi meluahkan manifesto keinginan dan penghormatannya terhadap malam pembacaan karya itu, susastera dan perjalanan susastera itu yang dilaluinya dahulu. Teringat saya dengan 'Bard' atau panglipurlara Istana dahulu, yang memberi kuasa puji-pujian dan semangat kobaran terhadap khalayaknya untuk mengerat semangat berperang/beringat-ingat atau apa-apa, Pyan Habib sememangnya seorang penyair yang sangat disegani kerana karismanya.


Selepas itu, beberapa pembaca yang turut membaca sewaktu sessi 'open mike'. Esis sekali lagi ke pentas dengan persembahan yang paling diingati, UKI bersama el-Maniq, memaparkan nafsu dan keinginan manusia itu tidak pernah ada akhirnya.


Mat Jan turut mengambil pentas dengan karyanya yang cukup membawa nostalgia tentang anak-anak muda cuba membangunkan sebuah kumpulan 'rocker'- satu persamaan dengan filem Mamat Khalid itu, dengan 'wit' dan mainan bahasa Mat Jan yang amat segar dan menyeronokkan.


Atokkz juga turut membaca karyanya yang begitu mengasyikkan dan sindiran, beliau ini akan mengikut rentak penyair tersohor kita usman Awang.


Roy turut membaca karyanya dari Mantra, suatu luahan jujur tentang manusia yang tidak hipokrit mendepani masyarakat yang normanya 'talam dua muka'.


Taf Teh pula (awek ini banyak namanya) meluahkan dua sajaknya dari Mantra, dua-duanya sajak kuat (walaupun kita agak tidak dengar suaranya) tentang kemanusiaan dan kesakitan manusiawi yang dirasai oleh beliau. Beliau adalah di antara penyair yang perlu diberi tumpuan pada masa-masa hadapan.


Nimoiz TY juga turut akhirnya memberi persembahan dengan sajaknya yang menyindir tentang manusia yang susah mahu ikut tatasusila lagi, menutup tirai pembacaan karya hari itu.
Bagi saya, kepelbagaian Maskara 2lah yang membuatkan majlis itu sungguh meriah (daripada karya sehingga makanannya), kerana kebagusan susunan persembahan yang membuatkan penonton tidak penat dan resah. Walaupun saya agak terkilan apabila beberapa penonton biasa yang saya tanya, mereka menyukai 'kelantangan' dan 'persembahan terbaik jatuh kepada'. Apakah mereka ingat ini satu peraduan seperti AF? Memang itu baik, memberi nilai terhadap beberapa persembahan, tetapi mereka juga perlu ingat, malam itu ialah malam PEMBACAAN. Yang penting, dan paling penting ialah pembacaan karya itu SAMPAI kepada khalayak, walau bagaimana kelakar atau seriusnya pembacaan itu. Adakah bila pembacaan itu tidak ada 'lawak', maka persembahan itu 'membosankan' seterusnya? Dari situ sahaja, kita boleh membaca khalayak jenis apa yang kita 'produce' dalam budaya mengaprisiasi susastera. Memang ia tidak salah, tetapi kerana itu, kebagusan Maskara bila mencampur-baru seronok, geli hati berserta karya-karya serius, melankolis serta provokatif, untuk memaparkan kepada khalayak biasa yang sentiasa mahukan keseronokan, dalam hidup manusia ini, lapisan realitinya lebih dalam dari apa yang mereka sangkakan, dan itulah yang berjaya dipaparkan oleh Maskara 2 malam itu.

Tuesday, July 10, 2007


Mantra sudah keluar.
Kata-kata Sakti
untuk
Sakit-sakit Kita

Penyumbang

Nizam Zakaria

Rahmat Harun

Clarissa Lee

Taf Teh

Azwan Ismail

Fairul Nizam

Mukhsin-X

Mak Bedah Kg. Tok Alang

Nazri M. Annuar

Fadli

Batsheba

kG


Hubungi projek.provokasi.puisi@gmail.com untuk mendapatkan naskhah Mantra anda.

Tajuk: Bintang Bukan Saja di Langit
Oleh: Hamzah Hussin
Terbitan: Penerbit UKM
Tahun: 2006


Sinopsis:
Novel ini memuatkan pengalaman peribadi Hamzah Hussin bergelumang dalam kancah perfileman Melayu era Cathay Keris di Singapura. Kehidupan anak wayang ditampilkan dengan penuh manis, pahit dan glamour. Namun, mereka juga sedar, kegemilangan yang dikecapi tidak berkekalan, kemasyhuran yang dinikmati boleh lenyap sekelip mata. Inilah dunia mereka pada suatu masa dahulu.


Rasa:
Apa yang dapat saya katakan apabila dapat membeli buku ini? Menyeronokkan dan bersyukur. Ini adalah kerana novel ini adalah legasi terakhir Hamzah Hussin kepada peminat filem Melayu, sejarawan filem serta pembaca novel sebelum Hamzah meninggalkan kita.

Idea novel ini memabawa pelbagai nostalgia dan garapan klasik tentang 'pada suata masa dahulu di singapura', di mana kita dibawa mencelah setiap pintu dan tingkap, setiap sudut dan bilik 'bintang-bintang' pujaan kita suatu masa dahulu. Gambaran mereka, cara hidup mereka, perasaan gundah mereka dilakarkan dengan penuh kejujuran, tanpa sentimentaliti atau romantik, tetapi digambarkan dengan setampak mungkin, dan kadang-kala sensasional ataupun kasar. Mereka, para-para 'bintang' Cathay Keris ini 'dibogelkan' dengan pendirian dan keinginan negatif mereka, kadnag-kala membawa simpati kita, kadang-kala mencuitkan, kadang-kala menyiksa.

Sebenarnya, novel ini ada sesuatu, lebih-lebih lagi kepada peminat atau penggemar yang ingin mengetahui 'cermin-cermin hitam' yang diselindungi oleh media selama ini tentang perangai artis-artis, pengarah filem serta pengarah studio. Hamzah Hussin semacam Capote menulis Answered Prayer. Kelainannya hanya ialah, Capote lebih berani dengan memaparkan nama kawan-kawan/kenalan yang ditulis di dalam buku itu (sehingga menyebabkan masyarakat yang terkait di dalam buku itu naik 'marah'), sedangkan Hamzah lebih 'beradab' dengan meletakkan nama samaran terhadap nama-nama watak bintang di dalam novel 'separa fiksyen' ini.

Tetapi, buat penggemar filem Melayu lama, kita sudah boleh kenal, siapa Maria Menado, Husin Hanif, Latifah Omar atau Wahid Satay di dalam novel ini. Di sini, seperti mana Capote melakukannya dalam dua novel terakhirnya, novel ini memaparkan 'bitterness' serta 'membuka tin-tin cacing' tentang kawan-kawannya dulu tanpa segan-silu dan penghukuman, semuanya mereka dibayangkan seadanya mereka sewaktu hidup. Semacam capote, seakan-akan sebelum Hamzah meninggal, arwah sudah mahu mengkhabarkan satu sisi dunia yang tidak dapat dicapai imaginasi manusia merasainya selain arwah, lalu perkara itu di'rekodkan' untuk di'tayangkan' kepada pembaca.

Tetapi novel ini bukan novel 'masterpiece' Hamzah, jauh sekali sebuah novel yang baik. Mungkin kerana ia tidak diberi masa yang cukup atau Hamzah sudah terlupa atau memang disengajakan beberapa cerita 'ditiadakan', novel ini semacam sebuah filem yang tidak cukup cerita, banyak sekali 'plot holes', melompat-lompat, semacam satu eceran yang tiada berarah dan diletakkan secara sengaja dengan idealisme 'naik muat sahaja' lalu dipanggil "ini sebuah filem".

Ada banyak perkara yang boleh diperdalamkan lagi di dalam novel ini tetapi semacam dengan sengaja Hamzah membiarkan ia tidak berlaku. Arwah tidak mencucuk apa-apa harapan, malah novel ini pesimis terhadap kehidupan orang Melayu di Singapura. Tidak ada rasa kemahuan para pembaca untuk benar-benar terikat atas mana-mana bintang di dalam novel, kerana mereka semacam ada 'merata-rata' di dalam novel ini, tidak sekata dan tiba-tiba muncul dan tiba-tiba menjerit dan menangis, ia agak susah untuk para pembaca benar-benar menyelami liku hidup golongan anak wayang ini. Maka novel ini semacam satu cerita yang tiada hujung pangkal tetapi dibiarkan berterabur maka pembaca tidak perlu peduli tentang apa yang dibacanya, hanya merasakan santai terhadap 'keteraburan' bintang yang ada dalam novel ini.
Novel ini mungkin tidak memberikan kepuasan yang sepatutnya, tetapi sekurang-kurangnya akan menjadi tempat rujukan (walaupun disangsikan kerana idea 'separa fiksyennya') bagi para penggemar filem Melayu menyelusuri asam garam bintang-bintang Jalan Ampas.

Wednesday, July 4, 2007

Konspirasi


Tajuk: Konspirasi
Oleh: Ramdan Che Hassan
Terbitan: DBP (KaryaNet)
Tahun: 2006


Sinopsis:
Adam, seorang pascasiswa di sebuah IPTA menemui satu penemuan yang bakal menggegarkan dunia sarjana serta pertalian antarabangsa seantara negara. Penemuan untuk tesis sarjananya suatu bisikan silam yang pernah didengari tetapi tidak pernah ditutur secara umum. Adam menemui sebuah kumpulan rahsia yang 'menguasai dunia'. Dan dia mempunyai misi untuk membongkarnya.

Lalu ada segolongan manusia yang akan membantunya mendedahkan kumpulan rahsia ini, dan segolongan lagi akan melakukan apa-apa sahaja untuk menghancurkan misinya serta dirinya selama-lamanya.



Rasa:
Jujur saya katakan, saya tidak dapat mempercayai bahawa novel ini adalah novel sulung penulisnya, Ramdan Che Hassan. Apa yang mengujakan saya terutamanya ialah, inilah novel, buat pertama kali, telah membuat saya tak berhenti membacanya, dari awal perenggan sehinggalah ke akhir cerita. Dan itu satu rekod yang saya sendiri tergamam memikirkan 'keajaiban' novel ini, semacam suatu ganja yang menagih, atau sebuah filem yang sangat menyeronokkan. Bagi pengulas barat, mereka memanggil 'sifat' ini sebagai "unputdownable", "thrill ride" atau "page turner". Dan Ramdan tahu bagaimana mahu mengikat pembacanya, tidak membiarkan mereka terlepas, dan terus sahaja teruja membaca dan membuak rasa 'ingin tahu' lalu memberi kepuasan terhadap pembaca yang tak terfikirkan.



Bukan itu sahaja "magic trick" yang dipunyai oleh Ramdan. Beliau juga telah berjaya membawa beberapa ilmu bantu yang berilmiah, tetapi berjaya disadurkan ke dalam novel ini dengan santai dan biasa ke dalam ceritanya. Ceritanya, aduh, mengujakan. Tidak pernah lagi saya membaca sebuah novel ngeri (thriller) yang membuat saya tertanya-tanya dan berdebar dari awal hingga akhir. Malah, bagi saya, penulis novel ini telah menyamai kehebatan penulis ngeri terulung Malaysia, Ramlee Awang Mursheed. walaupun mungkin tidak sehala dan sekata dengan beliau, Ramdan mempunyai keterujaan yang tersendiri.


Suatu perkara yang penting dalam novel-novel sebegini ialah menjaga perhatian pembaca tentang psikologi watak di dalam cerita. Ini juga sangat dibuat dengan baik oleh Ramdan. Walaupun buat saya, yang sudah banyak membaca novel-novel ngeri sebegini, saya sudah agak apa yang sudah dan akan berlaku. Saya sudah dapat mengecam, siapa yang baik atau jahat di dalam novel ini. Tetapi ini tidak membuat saya bosan terhadap novel ini. Ini adalah kerana, kepandaian Ramdan mengaitkan beberapa watak, beberapa adegan serta beberapa 'nuansa' yang ada dalam novel ini semacam sebuah filem jenayah/mafia/penyiasatan/noir/aksi Hollywood atau Hong Kong yang saya pernah tonton (dipanggil membuat rujukan atau "making reference", pengidealisasi biasa dalam novel-novel pascamoden kini), malah paling penting (seperti filem Hot Fuzz(2007) baru-baru ini), menaikkan 'par' adegan itu atau psikologi itu atau mempermainkan klise adegan itu- ini yang membuat saya terkekeh-kekeh apabila membaca novel ini. Semacam karya ini hasil daripada tim Robert Rodriguez dan Quentin Tarantino yang 'menggaru gatal' mahu menulis sebuah novel campuran genre Ian Fleming, Dan Brown atau Tom Clancy.


Ideanya sendiri baharu dan segar (walaupun mungkin ada yang mengatakan novel ini mirip novel-novel Dan Brown), membawa seorang anak jati Kuala Lumpur mengembara ke merata negara dalam beberapa hari untuk mencari tesis-tesis penting yang dapat membantunya (bukan sahaja meluluskan sarjananya!) menyelongkar rahsia sebuah pertubuhan yang merbahaya, tetapi menjumpai pelbagai persoalan seperti cinta, maruah negara dan kekuatan diri. Apa yang penting di sini ialah, bukan sahaja idea globalisme itu dapat ditawan oleh orang tempatan yang naif seperti Adam, tetapi hala tuju yang menghantui Adam di dalam perjalanannya, dan pilihan-pilihan yang perlu dibuatnya. Persoalannya tampak seperti kecil, tetapi secara didaktik, novel ini mengajar nilai sebuah patriotisme kepada sebuah negara dan bagaimana manusia cuba dan perlu menghargai tanahair tempat tumpah darah mereka. Secara tersirat, novel ini menyertai pandangan Samuel Huntington di dalam The Clash of Civilizations tentang negara-negara membangun dan rasa 'gerun' mereka terhadap globalisme dan negara maju (dan apa reaksi sosial dan politik yang mereka lakukan terhadap fenomena ini). Tetapi Ramdan telah membawa satu skop yang unik di mana Adam ini menafikan stereotaip seorang watak naif yang pesimis terhadap negara maju atau 'melawan' tamadun globalisasi yang 'menyerang' tanahairnya. Adam lebih cerdik, beliau bersama-sama (saya tidak kata asimilasi) dan bermesra dengan manusia-manusia dunia maju ini seakan mereka kawannya, dan mencapai kepercayaan mereka serta bantuan mereka. walaupun perkara ini tampak janggal, tetapi gaya dan cara Ramdan mencipta Adam dan situasi-situasi di dalam novel memberi kita keyakinan bahawa Adam dan pencapaiannya, baik yang menyiksanya atau menggembirakannya benar-benar boleh berlaku.


Malah membawa idea ini (yang juga dikira kehadapan), melakarkan Malaysia, dalam pendirian tidak berpihak mereka pada mana-mana blok dunia, menjadikan Malaysia sebuah negara kerdil yang boleh berdiri bersama dengan gergasi besar dunia tanpa rasa rendah diri atau jengkel. Malah, pendirian Adam sebenarnya dalam novel ini, secara seloroh, memaparkan persoalan kepengaruhan dari segi budaya, agama, politik, pegangan dan kenegaraan di mana Adam, dalam situasi kehilangan/pencarian/perjumpaannya, membuka pendirian Adam terhadap identitinya terhadap dunia dan dunia terhadapnya. Idea ini jarang-jarang sekali dibuat dengan senario tirai dunia dengan acuan logik dan keinginan tempatan. Maka kerana inilah, novel ini benar-benar besar tujuannya.


Ada beberapa perkara yang agak 'berlubang' secara sengaja atau tidak sengaja dalam novel ini. Pertama adalah prolognya yang bukan sahaja membuka persoalan dengan impak yang besar tentang penyerbuan dan penipuan seorang perisik perempuan, yang tidak memberi apa-apa 'clue' terhadap kewujudannya di dalam novel setebal 270 halaman ini. Ada juga beberapa adegan yang boleh dipersoalkan dan seakan-akan 'terpotong' daripada perjalanan cerita. Paling menjengkelkan ialah kekurangan sumber atau banyak jalan pintas yang digunakan oleh penulis dalam menerangkan bagaimana tesis-tesis yang dianalisa oleh Adam dapat diselesaikan dan dicapai jawapannya (tentang suatu konspirasi terbesar yang dapat menggegar keamanan dunia), bukan seperti huraian teori yang dan jitu dan memukau yang kita baca dalam novel-novel Dan Brown, Robin Cook atau Micheal Crichton. Tetapi ini bukan masalah besar terhadap perjalanan mengujakan Adam mengelilingi dunia untuk mencari satu persoalan yang menolongnya. Paling penting, Adam akhirnya menemui identitinya dan dirinya terhadap keluarga, agama, bangsa, dan dia perlu mengelilingi beberapa benua untuk mendapatkannya. Dan bukankah itu mengujakan?


Novel ini dicetak terhad. Dapatkan versi e-bukunya di http://www.karyanet.com.my/.