Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Monday, April 30, 2007

Retrospektif Novel FS Malaysia


Saya belajar sesuatu daripada SM Zakir, Rubaidin Siwar dan Rahman Shaari. 'Cereka Sains'. Makna Cereka Sains lebih menarik daripada Fiksyen Sains kerana, perkataan 'cereka' berasal daripada 'cerita rekaan', di mana jiwanya lebih tempatan daripada fiksyen.

Artikel saya tentang novel fiksyen sains (diminta untuk menfokus kepada novel-novel keluaran DBP dan usaha DBP yang sememangnya ada dalam mengangkat FS tempatan) alhamdulillah, tersiar dalam Dewan Sastera Mei 07. Walaupun saya agak sedih kerana beberapa perkara yang saya utarakan dipotong (untuk memberi tempat pada dua penulis mapan, SM Zakir dan Nisah Hj. Haron), saya masih berpuas hati dengan memaparkan (walaupun kajian saya masih diteruskan dengan cikgu Zul) atuk kepada FS kita, iaitu Mohd. Arifin Mohd. Siri serta Mishar, pengaruh siri TV 60-70an terhadap novel-novel FS zaman itu, 'novum' dalam Pulau Berukera (di mana saya memaparkan dengan lebih panjang di alam artikel sebelum ini), Rahmat Haroun (memberi pengiktirafan beliau sebagai Bapa Moden FS Malaysia) serta peranan www.karyanet.com.my.

Saya akan menyiarkan artikel yang belum disunting (dengan bahasa tunggang-langgang) pada awal Jun supaya anda sendiri boleh membandingkan artikel yang keluar dalam DS bulan ini dengan artikel sebenar saya, di mana saya memberi pengiktirafan kepada beberapa nama penulis lain, yang walaupun judul novel terbitan DBP mereka tidak diketahui, mereka telah menyumbangkan sesuatu dalam persada FS (atau CS) kita.

Artikel ini saya tujukan khas kepada sahabat karib saya, Muhammad Azwan, kerana dorongannya yang sentiasa menekan saya bahawa saya boleh. Walaupun saya masih tidak berpuas hati, syukur, ini memadai.

Thursday, April 26, 2007

Bengkel Cerpen Kavyan


Nota fadz: Sila ambil perhatian. Iklan daripada seorang kawan baik saya:-

Remaja dan belia berusia 15-35 tahun dipelawa menyertai "Bengkel Cerpen Kavyan" anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) pada Ahad, 27 Mei 2007.

Bengkel sehari ini bertujuan membimbing peserta pelbagai kaum mengenai teknik menghasilkan cerpen bermutu; berdasarkan contoh, latihan intensif, bedah karya dan dialog bersama pembimbing.

Peserta akan dibimbing oleh presiden Kavyan, Uthaya Sankar SB yang merupakan cerpenis yang prolifik dan giat mengendalikan siri bengkel penulisan.

Jumlah peserta adalah terhad dan sesiapa yang berminat wajib mendaftar nama terlebih dahulu.

Hubungi infokavyan@yahoo.com.my untuk maklumat lanjut dan pendaftaran.

Friday, April 20, 2007

Gerakan Freemason Sedunia

Tajuk: Gerakan Freemason Sedunia: Falsafah Freemason Yang Telah Didedahkan dan Ditolak
Oleh: Harun Yahya
Terbitan: Saba Islamic Media
Tahun: 2005

Sinopsis:
Buku ini memuatkan pendedahan tentang pergerakan Freemason, dan falsafah disebalik persatuan rahsianya yang penuh berahsia daripada pandangan seorang sarjana Islam.

Rasa:
Buku ini bukan sambungan ‘Da Vinci Code’. Bukan. Tetapi mempunyai gaya ‘konspirasi’ yang agak dekat, dan langsung tiada semangat cereka (oh ya, kedengaran Dan Brown menang sedang menulis sebuah buku baru tentang persatuan Freemason, iaitu ‘The Soloman Key’).

Pada mulanya, buku ini semacam sebuah lagi buku dakwah, dengan retoriknya yang panjang-panjang membidas Freemason, Yahudi, Kurafat dan Munafiq. Tetapi semua ini berubah (dan bagi saya, berjaya mencapai objektif buku ini, iaitu memaparkan falsafah sebenar Freemason dan keinginan falsafah mereka ini disebar luaskan) pada dua bab akhir buku ini, memaparkan dengan terang-terang (walaupun para skeptik akan masih mempersolakannya) apakah roh sebenar persatuan ini, apa yang mereka mahu ubah, dan bagaimana mereka mahu melakukannya.

Beberapa perkara dalam buku ini menarik, malah memaparkan bagaimana dengan senyap, pihak Freemason ini berjaya menumpaskan satu per satu negara supaya ‘tunduk’ di bawah falsafahnya. Paling menarik adalah bagaimana Harun Yahya mengaitkan teori Humanisme dengan ajaran aqidah ahli sihir Mesir dan Kabbalah, dan bagaimana ajaran ini disalurkan secara ‘senyap’ dalam pengajaran Darwinisme. Seakan-akan memang, kesemua ‘ajaran sains moden’ ini satu konspirasi yang terancang dan sangat cerdik.

Perkara yang saya belajar (ya, saya pun belajar sesuatu daripada buku ini) ialah, JANGAN jatuhkan sistem kesultanan Melayu kita, kerana golongan ini sebenarnya ialah sistem khalifah yang dibawa oleh Nabi (bukan sahaja Rasulullah) yang mempercayai satu ‘karomah’ itu hanya turun pada satu-satu keluarga yang tertentu dan keluarga ini memang bertanggungjawab terhadap masyarakat yang diperintahinya. Harun Yahya memaparkan, bagaimana, sebelum puak Freemason ini menjalari ajaran ‘humanisme’ (maknanya, pengkajian terhadap manusia yang sudah sempurna, iaitu kesemua manusia itu sempurna, dan mereka hidup tanpa dicipta oleh sesiapa, mereka berjaya kerana mereka menumpaskan makhluk lain), mereka menjatuhkan dahulu raja-raja mereka, kerana raja-raja ini dibawah naungan Pope Catholic, dan kedua, tanpa raja, sesiapa pun boleh menerajui negara (konsep humanisme).

Sebuah buku yang menarik, walaupun tetap didaktik pengolahannya.

Pengantar Kesusasteraan Bandingan

Tajuk: Pengantar Kesusasteraan Bandingan
Penyelenggara: S. Jaafar Husin
Terbitan: DBP
Tahun: 1994

Sinopsis:
Buku ini memuatkan sepuluh buah kertas kerja yang dibentangkan dalam satu seminar kecil yang dianjurkan oleh Bahagian Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka. Penerbitan buku ini merupakan salah satu daripada objektif Bahagian apabila seminar tersebut dirancangkan. Sepuluh kertas kerja yang ditulis oleh para sarjana dari universiti-universiti tempatan ini, mencakupi pelbagai aspek teori dan penerapan Kesusasteraan Bandingan.

Rasa:
Sebuah buku yang sangat baik jika anda baru hendak tahu tentang sastera bandingan. Menariknya, idea tentang sastera bandingan dan apa yang diperlukan di dalamnya (memperlihatkan dan memperbandingkan pelbagai jenis disiplin, genre dan bangsa penulis/pembaca) diperjelaskan bukan sahaja dengan pemerhatian-pemerhatian yang berdasarkan daripada teori-teori barat, tetapi rata-rata sarjana tempatan yang cuba memperlihatkan suatu keberanian dalam memahami sastera bandingan; penguasaannya, kepentingannya, cabarannya dari segi tempatan.

Satu daripada artikel di dalam buku ini yang ditulis oleh Zawiyah Yahya, amat bermanfaat dalam memahami ‘pembacaan’ mengikut kaca mata tempatan dalam memahami karya zaman kolonial (pembaca/penulis pasca-kolonial), meneliti dengan sedalam-dalamnya makna kedua-dua sisi, dari sisi kaca mata barat, serta sisi orang tempatan. Artikel ini sahaja sudah nyata buku ini perlu dibeli, juga artikel Lee Erwin, A. Wahab Ali, Shahlan Mohd. Saman dan Baharussin Ahmad.

Sebuah buku yang, walaupun tidak santai, mempunyai nilai akademik yang tinggi bagi sesiapa yang baru mahu mengenali sastera bandingan, atau pengkaji sastera ataupun peminat-peminat sastera.

Wednesday, April 11, 2007

Di Rumah Pena

Saya akan berada di:
RUMAH PENA pada
28 APril. 10 pagi
Sebagai panel berdiskusi tentang SUSASTERA.
Menggelabah!

Monday, April 2, 2007

Singing In The Well

Tajuk: Singing In The Well
Oleh: Reinaldo Arenas
Terbitan: Penguin
Tahun: 1990




Sinopsis:
The first in a series of five novels, based loosely on the author's own experience coming of age in Cuba just before the revolution. A poignant testimony to imagination, rich in details of rural life. By the author of "Before Night Falls."
Rasa:
Novel ini ialah novel pertama Reinaldo Arenas. Novel ini bukan sebuan novel yang senang dibaca. Anda akan teringat akan Jorge Luis Borges bila membaca novel ini (mainan pemecahan cerita yang berterabur di dalam satu bab, malah memang novel ini tidak ada bab yang persis). Lebih memeritkan, novel ini memaparkan hidup seornag budak kecil yang melarat di dalam sebuah rumah kampung di Cuba.
Apa yang berlaku ialah, demi melaui hidup yang siksa dan penuh kesusahan, diinjak dan dicerca kerana pengamatan budak itu (alter-ego penulis) terhadap alam dan kehidupun, budak itu berfantasi. Dan fantasi budak itu, seakan benar-benar berlaku, sangat menyentuh perasaan, menyeronokkan pada satu detik, dan tiba-tiba, bolah saja menyedihkan dan sangat menyeramkan. Semua perasaan ini penting, kerana Reinaldo mahu memaparkan 'kebenaran' kemanusiaan di mana manusia tidak boleh cantik dan sempurna sahaja, disaluti dengan nilai-nilai murni, tetapi manusia sebenarnya kotor, menakutkan dan penuh hiba. Tetapi yang paling penting, Reinaldo tidak pernah menuduh kenapa manusia siksa dan menyiksa, kerana itu adalah lumrah yang ada dalam kehidupan, baik sebuah keluarga atau negara.
Sebuah novel yang sangat mengharukan dalam tiap teksnya yang penuh emosi dan kekuatan perkataan.

Suluh Peraba

Tajuk: Suluh Peraba
Oleh: Rahman Shaari
Terbitan: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Tahun: 1996

Sinopsis:
Sebuah persatuan bernama 'Suluh Peraba' yang diketuai oleh Mohammad Odai, serta Asmal dan Mohammad Abdad dicipta untuk memasyarakatkan masyarakat Melayu satu idea baru bahawa bomohisme adalah alasan adat yang tiada fungsi bagi memperbetulkan kesakitan rohani dan fizikal masyarakat. Tetapi ada sesuatu yang berlaku di antara Odai, Asmal dan Abdad, dan masalah-masalah mereka yang tersimpan di dalam keluarga mula menular menjadi rumit dan menyesakkan, sehingga mereka yang tidak percaya dengan bomoh ini terpaksa meminta 'kepakaran' golongon bomoh sekali lagi.

Rasa:
Antara keseronokan membaca novel-novel Rahman Shaari ialah dengan gayanya yang tersendiri. Rahman, suka memecahkan teksnya kepada dua bahagian, kadang-kala terhadap prediket, subjek teks, kadang-kala terhadap keseluruhan cerita novel itu sendiri.
Suluh Peraba mungkin tidak semenyengat Burok dan tidak secantik Mufarakah, tetapi novel ini ada sesuatu, walaupun saya tidak setuju dengan beberapa penerimaan penulis itu, atau watak-watak yang menyelusirinya tentang bomoh dan ubat tradisional.
Nama Suluh Peraba itu sendiri mempunyai 'dua makna' di dalam novel ini. Dalam garapan cerita Mohammad Odai dan apa yang dilaluinya, telah merumuskan dengan baik apa isi 'suluh peraba' terhadap novel ini. Orang boleh sahaja samakan dengan hipokrisi penguasa politik, masyarakat atau secara tersirat, penulis sendiri yang terlihat akan mempercayai kekuatan rasionalisasi tetapi faham, bukan kesemua sifat manusia boleh disukat dengan rasionalisasi.
Secara senyap, novel ini seakan mahu mengungkapkan bagaimana tahayul dan dongengan- mitos ciptaan masyarakat tercipta kerana 'cerita' yang dicipta oleh masyarakat itu sendiri. Bagaimana yang diselindung tampak benar dan hak menjadi batil, tetapi itu pun mempunyai konotasi mitos yang tercipta tidak dapat dibebaskan oleh masyarakat itu. Seperti yang dilalui oleh Mohamad Odai, antara watak paling menarik dalam novel ini, dialah yang mencipta 'dongengan'nya yang juga telah menyebabkan kejatuhannya, hanya kerana sikapnya yang lemah bila berdepan dengan seorang perempuan. Muslihat di sini, walaupun mahu menutup 'malu'nya, telah menjatuhkannya secara diam, dan dia tak sedar pun ia berlaku.
Walaupun novel ini agak mengambil masa saya, dan beberapa babak Zakee agak membosankan dan tidak sekuat babak-babak Mohammad Odai, novel ini, walaupun tampak biasa, dapat juga menyengat sesiapa yang cepat percayakan tahayul, godaan serta gosip-gosip luar yang terbiasa dalam ciptaan mitos masyarakat Melayu.