Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Thursday, November 29, 2007

Mencari Penilai-Penyunting



Saya sedang mencari penilai dan penyunting. Tahun ni, Alhamdulillah, saya ketemu dengan beberapa penulis yang bagus yang telah menolong saya menghasilkan beberapa skrip komik yang baik (tunggu saja nanti ya). Kini, projek di dalam tangan saya bukan komik saja, tetapi kerja prosa (fiksyen) yang perlu dinilai dan disunting. Kesemuanya di bawah khalayak pembaca remaja. Ada sebuah manuskrip ini, yang ditulis oleh bekas MPR beretnik India yang buat saya, sebuah cerita yang sangat baik dan lain daripada apa yang pernah saya baca. Hasil kerjanya saya sampaikan kepada seorang penulis mapan. Tetapi tidak tahu kenapa, dengan pelbagai alasan, suntingan kerja itu belum siap-siap. Saya berharap sangat, tulisan fiksyen ini dapat ditangani oleh seseorang, agar cerita ini dapat dimanfaatkan untuk khalayak nanti.
Kalau ada sesiapa yang kenal penyunting mapan yang biasa dengan Gaya Dewan, sila hubungi saya: fadliakiti@yahoo.com

Monday, November 26, 2007

Bhg. Istilah DBP Tidak Relevan?

nota fadz: Saya amat marah dengan padangan Dr. Wan ini. Ini adalah satu contoh kenapa saya rasakan Ahli Parlimen yang mewakili kita asyik beretorik yang bukan-bukan. Lebih-lebih lagi tentang bahasa. Banyak yang boleh diceritakan, tetapi satu yang saya tahu, kalau saya ada peluang mengundi di Gerik, saya memang tidak akan menyokong calon Dr. Wan.
DBP alami kemandulan minda
KUALA LUMPUR 26 Nov. – Seorang ahli Parlimen menyifatkan Jawatankuasa Istilah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengalami kemandulan minda apabila gagal mewujudkan istilah-istilah baru bagi memperkasa bahasa Melayu.
Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) kawasan Gerik, Datuk Dr. Wan Hashim Wan Teh (gambar) berkata, berbanding para sarjana terdahulu, jawatankuasa berkenaan tidak mahu membuat penyelidikan bagi mencari istilah-istilah baru untuk mengatasi penggunaan bahasa rojak akibat terlampau meminjam istilah bahasa Inggeris.
Sedangkan, kata beliau yang juga Pengerusi Institut Terjemahan Negara, para sarjana terdahulu begitu bersungguh-sungguh memperkasa bahasa Melayu dan sanggup menjelajah sehingga ke Sabah, Sarawak dan Indonesia semata-mata untuk mencari istilah-istilah baru.
Katanya, ketiadaan istilah baru menyaksikan istilah bahasa Inggeris seperti bajet, snek dan konsultansi dimelayukan tanpa batasan, sedangkan kamus Dewan terbitan DBP sendiri ada menyediakan perkataan yang sesuai dan ia perlu dijadikan rujukan rasmi.
‘‘Saya rasa jawatankuasa istilah ini telah mengalami kemandulan minda, tidak mahu membuat penyelidikan seperti sarjana-sarjana terdahulu mencari istilah. Sekarang ini istilah dalam bahasa Melayu tangkap muat sahaja. Saya berharap ia dihentikan,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan mengenai penggunaan istilah bahasa Inggeris kepada Setiausaha Parlimen Kementerian Pelajaran, P. Komala Devi di Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu, Komala berkata, bahasa merupakan sesuatu yang dinamik dan tidak statik di mana ia akan berubah dan masyarakat pula akan meminjam istilah tertentu dari bahasa lain.
Dalam konteks ini katanya, kementerian mendapati peminjaman istilah bahasa Inggeris adalah berkaitan bidang teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).

Friday, November 23, 2007

MASKARA 5 ACARA PENTING


Wanita dan hak bersuara di dunia patriaki,
suatu bondage yang sungguh mengghairahkan.



Salam semua.

Ya, Maskara datang lagi pada

1 DISEMBER 2007
8:30 Mlm
RUMAH PENA

Ada tiga perkara membuat malam itu sebuah malam yang penting.
Pertama, ia malam perempuan (ladies night),
Saya seorang pejuang perempuan maka malam itu sangat
bererti buat saya.

Kedua, pada malam itu,
saya akan serahkan belambak DVD/VCD dan
BUKU (hanya penulis wanita) saya kepada para pengunjung
dengan PERCUMA.

Ketiga, hanya pada malam itulah, saya akan menjual
sebuah buku saya yang diterbitkan secara
'underground' (syyyyy, jangan bagitau KDN),
vintagelah, dan tidak akan muncul lagi selepas ini.
(saya tidak akan mempamerkan buku ini, sila bertemu
dengan saya untuk mendapatkan buku edisi terhad ini)

Jadi,
JOM KITA KE SANA!

pertanyaan lanjut:

Syyy, jangan bagitau orang saya jual buku haram.
Sila lihat gambar di atas jika saya dapat tahu korang
bagitau.

Wednesday, November 21, 2007

Fantasi Yang Dipinggirkan

nota fadz: Sebuah nukilan Vovin tentang genre yang dipinggirkan di kalangan masyarakat tempatan (atau golongan itu ada, tetapi 'senyap', dan hasil karyanya tidak pernah diperbincangkan oleh para pengkritik sastera).
ANTARA FANTASI & BACKSTREET BOYS
oleh Vovin
Ada bagus dan tidak berapa bagus jika anda seorang peminat (atau penulis) karya-karya fantasi. Okey, aku tak merujuk fantasi seperti mana yang Haruki Murakami buat dan fantasi gaya Neil Gaiman juga berapa tidak tepat dalam konteks entri aku.

Aku maksudkan high-fantasy seperti, errr..Lord Of The Rings (sudah tentu), Night Watch, karya-karya David Asprin malah Terry Pratchett serta David Eddings. Fantasi dalam pemahaman peribadi, yang bersifat grandeur (jika aku tak salah memilih perkataan).

Untuk baiknya, fantasi berada di luar kelompok perang antara orang sastera dan orang pop (terutama Malaysia). Di kala orang sastera sibuk membedil orang pop hingga berkecai, mencarik, membakar dan mengkafirkan segalla karya pop yang tidak mengikut mazhab mereka, aku boleh katakan penulis fantasi berada di dalam medan tersendiri dan memerhati peperangan itu. Fantasi selalu tidak dipandang tinggi seperti karya sastera dan tidak juga hina seperti karya pop (bak kata pendapat semasa).

Tapi sebagai peminat karya fantasi, (high fantasy), mereka tidak akan berada di kasta teratas hiraki sastera.

Ambil sahaja contoh bila aku menunjukkan novel pertama Saga Song Of Ice and Fire dari George R.R Martin kepada seorang teman. Untuk orang yang sudah hadam dengan Shahnon Ahmda, Anwar Ridwan, Camus, Kafka, Joyce dan seangkatannya, novel itu hanya dipandang sinis. Laksana seorang budak kecil menunjukkan buku “Sang Kancil dan Sang Buaya” lagaknya. Tak mencabar minda. Tak provokatif. Tak intelektual. Tak ada falsafah.

Tapi tanya kepada peminat setia novel-novel fantasi, rata-rata akan memperkatakan tentang Song Of Ice and Fire sebagai satu masterpiece fantasi selepas era Tolkien. Malah jika dilihat karya Tolkien perlukan orang sehebat Peter Jackson untuk menjadikan versi filem best. Aku boleh katakan Song Of Ice And Fire perlukan orang yang sepuluh kali genius dari Peter Jackson untuk merealisasikan intipati buku-buku itu. Membacanya membuatkan seseorang itu berkata “whoaaaa! Genius”

George R.R Martin, sama seperti penulis fantasi yang lain mungkin tidak mempersembahkan falsafah sebagaimana Shahnon Ahmad, Anwar Ridwan, Camus, Kafka, Joyce dan seangkatannya lakukan dalam penulisan mereka. Mungkin tidak seintelek pemikiran penulis-penulis ini. Tetapi aku berharap, sekurang-kurangnya bacalah Song Of Ice and Fire dan lihat bagaimana kompleks dan berserabutnya pemikiran politik persembahan George R.R Martin.

Untuk orang-orang yang slow dan rigid, aku tak membayangkan penolakan karya-karya sastera ‘berat’. Bukan itu maksud aku. Cuma kadang kala falsafah itu datang dari banyak medium. untuk kita menilai hidup, tak semestinya hanya datang dari karya depress tentang lelaki menjadi lipas .

Ia mungkin datang dari lagu Backstreet Boys.

Cuma…siapa pseudo intelectual yang sudi mengaku dia dengar Backstreet Boys*.

*Satu justifikasi bahawa nyanyi lagu Show Me The Meaning Of Being Lonely dalam karaoke di Seri Petaling adalah kewl. Awwww!!!

dari:
http://www.dunia-vovin.com/2007/gua-minat-buku-fantasi.htm#comment-2821

Monday, November 5, 2007

Dewangga Sakti: Kembara Molek Lagi Lucu

Tajuk: Dewangga Sakti
Oleh: Serunai Faqir
Terbitan: PTS ONE
Tahun: 2007

Sinopsis:
Jaka Suria, seorang budak yang licik dan kuat bermain tiba-tiba terpaksa mengembara untuk mendapatkan ubat penawar buat ibunya yang sakit tenat, sekuntum bunga bernama Cempaka Biru. Bermulalah perjalanan Jaka yang berliku-liku dan mendebarkan. Tetapi, tanpa Jaka ketahui, ada sesuatu yang akan mengejutkan Jaka dan tujuan dia mendapatkan Cempaka Biru.


Rasa:
Novel kanak-kanak ini adalah sebuah hasil kerja yang menarik. Saya tidak mengambil masa yang panjang untuk membacanya kerana ia bergerak dengan laju dan tidak memenatkan saya dengan tatabahasa atau perkataan yang berbelit. Malah, beberapa bahagian dialog antara watak sangat mencuitkan hati, saya seakan membaca "The Hobbit" tulisan JR Tolkein (sebenarnya, buku "The Hobbit" sedikit lembap dan susah sedikit untuk dibaca kerana penjelasan tempat dan sejarahnya lebih teliti) versi Melayu. Tetapi, untuk melabelkan novel Serunai sebagai 'fantasi' agak tidak munasabah dari segi penakrifan genre. Novel seperti "The Hobbi"t ialah sebuah novel fantasi bercirikan 'fairy tale adventure' (rujuk kisah-kisah Brother Grimms) kerana penciptaan alam di dalam dunia "The Hobbit" (Middle Earth), walaupun disangkut-pautkan dengan mitos dan legenda Norse dan Anglo-Saxon adalah satu dunia yang jauh daripada realiti sains dan 'age of reason' zaman sekarang.

Untuk benar-benar memahami novel sebegini dalam alam Melayu, kita perlu kembali kepada kitab-kitab hikayat atau kisah asyik masyuk seperti Caya Langkara dan Cendawan Putih. Sememangnya, kitab-kitab itu sebenarnya dekat dengan takrif pengkaji sastera barat sebagai 'fantasi'. Tetapi, apa yang perlu diketahui ialah penciptaan cerita-cerita ini yang digarap dari dunia asyik masyuk punya agenda dan penjaluran 'subtlety'nya sendiri. Cerita 'fantasi' ini dicipta bukan sahaja untuk memberi simbol/takrif/sindiran terhadap nilai dan hidup orang Islam pada zaman itu (mengikut barat), tetapi ia sendiri punya 'kebenaran' alam ghaib yang sememangnya tersemat di dalam alam Melayu/Islam (alam ini mula ditolak oleh golongan kaum muda yang melihatkan perkara sebegini sebagai perkara melalaikan dan lebih teruk lagi, syirik. Zaman itulah golongan bomoh dicela dan doktor dijulang-julang sebagai mengikut zaman). Maka, ia susah benar untuk dicalitkan sebagai 'fantasi' per se. Ia mungkin boleh diletakkan di bawah sebuah genre baru iaitu mistik (punya elemen 'fantastique' seperti yang diulas oleh pengkaji sastera peranchis serta elemen 'haq' dalam sifat ghaib dalam alam Melayu yang hidup dan benar-benar wujud). Perkara ini sudah tentu perlu dibincangkan lagi.

Apa-apa pun, jangan ketinggalan dengan membeli dan membaca buku yang memikat ini. Novel ini adalah antara novel kanak-kanak Melayu yang terbaik yang pernah saya baca, lebih-lebih lagi ia sesuai bagi kanak-kanak lelaki, bukan sahaja untuk memberi mereka pengenalan akan ilmu tradisi silat, alam purba dan nilai-nilai moral (ada beberapa bahagian di dalam buku ini mensengajakan gaya didaktik, tetapi ini memang baik buat buku kanak-kanak), tetapi buku libur dan hibur ini mempunyai sebuah semangat, sebuah roh yang memberi sesuatu nafas baharu untuk pembacanya. Malah, jika disusur dengan teliti, kita tersedar bahawa buku ini bukan sahaja perlu dimiliki oleh anak-anak, ia boleh dibaca dan menghiburkan untuk orang dewasa.

Ada beberapa perkara yang agak 'salah' di dalam novel ini (disengajakan?). Plot seperti Jaka dikhatan dan keesokan(?) harinya beliau sudah mengembara (tidak bentan?). Kemudian ada beberapa bahagian di mana pihak penyunting dan pruf seakan terlepas baca. Tetapi perkara itu masih perkara-perkara kecil yang boleh dimaafkan. Secara keseluruhan, novel ini punya jati diri dan perkaitan sebaik kitab-kitab hikayat dahulunya tertulis, tetapi diberi sedikit nafas moden buat pembaca masa sekarang.

Penggunaan pencarian 'Cempaka Biru' tanpa banyak soal (mengikut gaya sufi, seorang anak murid tidak boleh bertanya kenapa, hanya ikut dan buat) mengingatkan saya terhadap rahsia bunga Za'faraan dalam hikayat Caya Langkara. Di dalam hikayat itu, pencarian-penyatuan watak dengan bunga Za'faraan itu mempunyai maksud pencarian-penyatuan agama Islam dengan umat zaman itu (pertemuan agama Islam). Simbol bunga Za'faaran itu sendiri ialah 'Islam' atau 'kesucian Islam'. Cempaka Biru di dalam novel ini pula bukan sekuntum bunga (seperti yang diberitahu oleh bomoh pada awal cerita) tetapi sebenarnya (selepas diketahui pada 3/4 cerita) sejenis batu hikmat yang khas untuk kerabat di raja. Waktu itu, Jaka sendiri akan dibuka kepada rahsia tentang dirinya (pencarian diri, kebiasaan dalam penyucian diri orang sufi, di sini, Serunai membuka kepada sebuah peristilahan yang lebih dekat dengan konteks dunia persilatan Melayu dan alam mistik mereka) dan kenapa ibunya 'memerlukan' batu itu. Di sini juga, kita diperlihatkan, pelbagai tingkat ilmu yang perlu dilalui oleh seseorang untuk mencapai ke pangkal 'kebenaran kejadian' mereka.

Kita juga sedar bahawa, setiap orang punya 'perkelasan' mereka sendiri tentang sesuatu perkara (perspektif yang berlainan mengikut hierarki kelas untuk memahami suatu ilmu) dan bukan semua orang boleh memiliki ilmu tertinggi atau ilmu 'hakikat'. Jaka akhirnya kenal apa itu Cempaka Biru sebenarnya dan apa gunanya, bukan seperti apa yang diperkatakan oleh bomoh itu, memaparkan kelainan tingkat pengilmuan yang Jaka lalui (bomoh itu mempunyai martabat dan pemahaman ilmu yang rendah, maka ilmu 'Cempaka Biru' yang didapatinya adalah sekutum bunga, sedang Jaka dan mereka yang menolong Jaka akan kenal 'kebenaran' Cempaka Biru). Di sinilah ilmu 'lembut' yang paling berkesan pernah ditulis oleh penulis Melayu tentang pengenalan 'ilmu'.

Saya sentiasa teringat akan kata-kata Imam Ghazali bahawa di dunia ini, terdapat dua jenis ilmu, ilmu yang dibaca dan ditelaah lalu kita capai ilmunya (seperti sains, bahasa, sejarah, fiqh) selepas membaca/menghafalnya. Ilmu yang kedua, ilmu yang lebih susah- ilmu yang kita boleh memahaminya hanya jika kita mengalami/merasainya. Ilmu seperti iman, cinta, kematian, mengenal Tuhan adalah ciri-ciri Ilmu yang tidak boleh kita kenal tanpa kita mengalaminya. Di sinilah kita lihat rahsia 'perjalanan' yang perlu diambil oleh Jaka Suria (bukan sahaja kerana takdir darahnya) untuk mengenal dirinya, tujuan hidupnya dan akhirnya apa yang perlu dia buat pada masa depan. Oleh kerana itu, saya amat menyukai pengkahiran novel ini yang datang dengan tiba-tiba (yang orang akan lihat seakan tersangkut). Separa dari istilah pengakhiran ini, dari penafsiran sastera barat, kita sedar, bahawa novel ini semacam sebuah 'coming of age' buat Jaka, men'dewasa'kannya dengan penjalanan yang jauh dan susah yang beliau rempuh (walaupun Jaka agak kenakal-nakal budaknya). Tetapi, separa lagi kita kenal bahawa Jaka 'perlu' mengambil kembara itu kerana dengan kembara itu sahaja, Jaka akan 'mengenal kebenaran diri'nya dalam konteks akali dan rohani (kerana itu, Jaka perlu 'baligh' dahulu pada awal cerita, beliau perlu dikhatankan). Di sinilah geniusnya hasil kerja Serunai Faqir.

Penggunaan 'naga' di dalam cerita ini juga mengingatkan kita kepada cerita-cerita sufi (dan cerita ksatria Eropah) bagaimana ahli-ahli yang berjaya melawan nafsu diumpamakan sebagai 'berjaya menunggang naganya'. Walaupun Jaka Suria, protagonis di dalam novel ini 'nakal' dan tidak tampak bahawa beliau 'menunggangi nafsu'nya (disengajakan, kerana novel ini novel kanak-kanak), kita sedar secara 'subtle' bahawa sebagai seorang yang 'menjumpai kebenaran diri', dia perlu mendepani dan membunuh nafsunya dahulu.

Kuasa Serunai Faqir tidak berakhir di situ sahaja. Penggayaan watak-watak Serunai menyeronokkan. Ini penting dalam novel kanak-kanak, supaya pembaca dapat merasa dan berserta dengan watak dalam sebuah novel. Serunai banyak menggunakan humor di dalam penggayaan ini dan kadang kala slapstik melampau, yang saya kira, sebaik yang dibikin oleh Roald Dahl, hanya ia lebih bercirikan tempatan.

Novel yang 'berhenti tiba-tiba' ini perlu disambung, malah perlu disambung dalam beberapa judul lagi untuk memberi kepuasan yang penuh. Malah, saya berharap bahawa Serunai mengikut tradisi Tolkein yang mencipta "The Hobbit" kemudian "Lord Of The Rings". Ini adalah kerana premis dan kenyataan novel ini mempunyai ciri ini- ia bermula dengan perjalanan yang kecil, agak nakal dan menyeronokkan, dan tiba-tiba kita sedar ia sebuah perjalanan yang penting, besar, malah halangan bertambah sarwajagat lalu mempersoalkan masalah-masalah agung seperti tragedi, politik dan peperangan. Novel seterusnya boleh sahaja menyusul ke arah itu. Apa-apa pun, saya berharap sangat (malah sangat optimis) bahawa siri novel ini akan menjadi sebuah siri novel kanak-kanak klasik Melayu akan datang dalam genre mistik yang penting dan diikuti zaman berzaman.

Sunday, November 4, 2007

Beraya Ke Rumah Kawan Azwan

Saja nak buat kalian semua iri (dengan niat baik). Ini ialah rumah kawan saya, Azwan, seorang maha guru penyair (memanggil dirinya sebagai penyair miskin, yang sememangnya lumrah bagi puak jenis ini di Malaysia). Beliau banyak mengajar saya tentang sastera, dan lebih-lebih lagi tentang puisi. Sebenarnya beliau lebih 'alim dalam muzik dan puisi, dan saya, filem (bukan sastera), khususnya filem seram. Tetapi kami banyak bertukar-tukar pendapat dan berbincang pelbagai topik, khususnya filem dan sastera. Beliau pernah mengucapkan kata mutiara ini kepada saya (kerana saya benci dan tidak faham puisi):

"Kalau anda tidak kenal lagi akan puisi, anda tidak kenal lagi akan sastera"

Bertemu dengan beliau memang menyeronokkan. Dan memang, semacam 'dadah' buat saya yang inginkan kawan berbicara tentang perkara yang saya suka. Pendek kata, bayangkan murid yang tergila-gila bayang akan gurunya, suaranya, ilmunya, cintanya (yang membawanya dekat dengan Ilahi, jangan kau ingat yang bukan-bukan pula!), lalu bila pintu zawiyah gurunya dibuka buat jemaah datang untuk berzikir khawajagan, segala rasa cinta itu akan terisi sekali lagi. Hah, macam itu lah.

Satu lagi tentang rumah kawan saya ini, ia semacam air pancur keilmuan indah. Di setiap dinding, sudut dan bilik ada buku! Dan bukunya bukan calang-calang (yang saya sendiri tidak berani membacanya). Inilah taman firdausi buat saya. Saya selalu berseloroh dengan dia, kalau saya tinggal sewa di situ, alamat saya tak pergi kerjalah, dok menelaah dan menelaah setiap sudut dindingnya.
The 'Beat' Avenger.
"Beat it!" he said.



Vovin sedang mengamati judul buku-buku
yang berderetan mencakar bumbung di dalam rumah Azwan.